Nama Aje Kotor, Tapi Kota Lama Di Montenegero Ini Cantik Sangat!

Share

Kotor, Montenegro adalah pilihan Norashikin Tajuddin, seorang kaki ‘travel’ tegar. Montenegro adalah negara ketiganya dalam percutian di negara Balkan. Ikuti percutiannya ini.

Kotor, permata Balkan. Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya untuk masuk Montenegro tidak memerlukan visa. Montenegro adalah sebuah negara pecahan daripada Yugoslavia.

Negara ini bersempadan dengan negara Croatia, Bosnia, Serbia, Kosovo dan Albania. Saya memilih negara ni kerana jarang rakyat Malaysia terutama yang pergi bercuti ke negara ini sendirian. Kebanyakannya akan mengikut pakej dari agensi pelancongan.

Tujuan saya ke negara Balkan kerana saya hendak mencabar diri saya dan berkongsi cerita kepada semua terutamanya ‘traveller’ dari Malaysia.

Kita boleh ke negara Balkan tanpa pakej pelancongan. Ia lebih murah dan 100 peratus menggunakan pengangkutan awam.

Bandar ini nama sahaja Kotor. Tetapi sebenarnya bandar ini sangat bersih! Kotor merupakan sebuah bandar yang terletak di persisiran pantai Montenegro. Sebab itu cantik.

Old Town Kotor atau Bandar Kota Lama Kotor dibina antara abad ke-12 hingga ke-14. Ia terletak dalam satu kawasan seperti kampung. Sebab itu ia lengkap dengan hotel, restoran dan pelbagai kedai. Tetapi makanan halal hampir tidak ada di sini.

Tapak Warisan UNESCO

Kotor terletak berhampiran pelabuhan di dalam wilayah Eropah Tenggara atau lebih dikenali sebagai Balkan. Pemandangan di bandar ini sangat cantik. Di sini kita tidak perlu naik pengangkutan awam sebab semua lokasi menarik berdekatan antara satu sama lain. Kita boleh jalan kaki sahaja.

Bandar Lama ini masih tersergam indah meninggalkan sejarah tersendiri. Malah ia telah diangkat menjadi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, Dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Apa sahaja yang dikenali sebagai Tapak Warisan UNESCO sudah pasti confirmed cantik.

Paling menarik di sini adalah tembok yang mengeliling kota. Tembok ini dibina pada zaman Byzantine. Ia diperkuat di bawah Venetians apabila Kotor menjadi kota kubu terbaik di Adriatik. Seni bina bangunan di sini membuatkan saya terpegun sebaik memandangnya.

Kita juga boleh naik ke puncak Istana San Giovanni untuk melihat pemandangan Kotor yang sangat istimewa dan cantik ini.

Sepanjang berada di sini saya telah melawat Kampana Tower, Church of Our Lady of Remedy, mendaki St John Fotress, Cathedral of Saint Tryphon, berjalan di sekitar Bandar Kota Lama Kotor dan menaiki bot Monty B menikmati pemandangan sekeliling.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di sini ialah masa kami sampai di Old Town Kotor, cuaca sangat cantik. Tetapi kami tukar plan untuk membuat semua aktiviti pada esoknya. Tetapi esoknya hujan sepanjang hari. Jadi aktiviti kami semuanya terhad.

Selain daripada itu kami dapat melihat pasar pagi mereka. Telur ayam yang kami beli  berharga RM2 sebiji.  Dan kami juga dapat membeli ikan spesies trout terus dari nelayan. Dengan harga 2 Euro kami mendapat ikan yang segar.

Tip Ketika Bercuti Di Kotor.

1-Montenegro menggunakan matawang Euro.

2-Kebanyakan kedai-kedai seperti restoran, bank, bakeri, kedai cenderamata, farmasi, hotel dan lain semuanya ada di dalam Old Town Kotor.

3-Pengangkutan untuk jarak jauh seperti ke Albania / Dubronik dan lain-lain, bolehlah menaiki shuttle bus. Pastikan membeli tiket sehari awal di kaunter sebab kebanyakannya bas mempunyai jadual  sehari satu atau sehari dua perjalanan.

4-Bawa makanan secukupnya di sini sebab tidak ada kedai halal ini.

5-Bandar Kotor adalah bandar kecil. Jadi kita boleh berjalan sahaja untuk melawat tempat-tempat menarik.

 

Published by
Julie Roshana