Nak Tahu Anda Tergolong Dalam Kategori Bidadari Dunia Atau Syurga, Sila Baca 3 Pengajaran Hadis Ini!

Share

Isteri yang selalu tak puas hati dengan layanan suami memang pelik. Kalau marah tak bertempat. Depan kawan atau saudara mara sesuka hati aibkan suami sendiri. Tetapi apabila masalah berakhir. Benci itu jadi sayang, berpeluk lagi sampai terlupa mulutnya galak mengata suami dengan maki hamunnya yang melampau.

Tabiat kasar isteri kepada suami di tempat awam kadang-kadang membuat orang yang melihat rasa geram. Bagaimana pula jika yang melihat para bidadari? Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seorang isteri menyakiti suaminya di dunia maka bakal isterinya di akhirat dari kalangan bidadari berkata: Janganlah engkau menyakitinya, semoga Allah mencelakakan kamu, dia hanya sementara bersama kamu, sebentar lagi dia akan berpisah dan kembali kepada kami.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Pernahkah anda bayangkan bidadari berkata-kata ketika terjadinya konflik dalam rumahtangga?

Bukan bermaksud membela para suami dan menganggap semua suami betul. Tetapi hadis ini hanya berlaku apabila suami dizalimi oleh isteri!

Kalaulah sekiranya isteri yang dizalimi maka hadis ini tidak akan berlaku!

Agama kita menggesa supaya dilakukan dialog secara berhemah dan bertakwa apabila berlakunya konflik. Tidak mungkin perkahwinan terbebas dari ujian, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersedih disebabkan perbuatan isteri-isteri baginda yang langsung ditegur Allah melalui ayat-ayat Al-Quran.

Sesungguhnya kehidupan rumahtangga Rasulullah SAW menjadi teladan kepada kita, sedangkan Nabi pernah bersedih inikan lagi para suami biasa!

Pengajaran Dari Hadis Tentang Bidadari Untuk Suami

1. Bukan saja perempuan berhati lembut dan cepat terasa, suami juga sama. Jangan disangka wajah yang tenang itu tidak menyimpan luka, lelaki biasanya tak tonjolkan perasaan walaupun sakit hati dengan perbuatan isteri.

Jangan merasa perempuan saja yang banyak memaafkan pasangan, boleh jadi suami lebih banyak lagi. Dia diam untuk menghindari perang dan dia tak mampu mengatasi perang itu kerana peperanganya di luar rumah belum ditumpaskan.

Kerja mencari nafkah itu bukan perkara mudah, suami memilih untuk menyerah kalah bila berada di rumah agar dia mendapatkan kerehatan selepas tercedera mental dan fizikal di luar rumah.

Jangan lupa hati suami kerana anda terlalu fikirkan hati sendiri, jangan lupa emosi suami ketika anda sibuk mengubat luka emosi sendiri!

2. Bidadari di dunia lagi berbahaya dari bidadari di akhirat. Konflik rumahtangga akan membuka peluang bidadari lain masuk ke hati suami.

Suami beriman sememangnya berusaha menjaga kesucian hati, menghindar jika wanita lain cuba mendekati, menutup pintu-pintu ke arah zina dan maksiat tetapi bukankah dia manusia biasa yang sesekali mungkin terlupa?

Jika ada wanita yang lebih solehah, penyayang dan pemaaf apakah anda akan sentiasa di hatinya? Jika isteri mempunyai tabiat maki hamun tetapi teman wanita amat santun, bagaimana isteri boleh menolong suami supaya tidak beralih hati? Sampai bila suami boleh tunggu isteri berubah sedangkan isteri tak hargai kemaafan suami?

Isteri-isteri Nabi SAW pernah diancam dengan turunnya ayat ke 5 surah Al-Tahrim yang bermaksud:

“Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan menggantikannya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadat, yang gemar berpuasa, yang janda dan perawan.”

Benarlah realitinya bahawa suami anda bukan Nabi jadi tak payah risau dengan ancaman ini, tetapi setiap peristiwa yang terjadi pada diri Nabi wajib dijadikan teladan dan contoh dalam kehidupan kita.

Diulangi lagi hakikatnya ayat ini hanya untuk suami yang dizalimi jika sebaliknya isteri yang dizalimi maka ayat ini tidak berlaku!

Malangnya isteri akan kata dia yang dizalimi dan tidak mengaku dia yang menzalimi suami. Tak kan setiap konflik isteri saja yang betul? Oleh itu, setiap pertengkaran yang terjadi eloklah setiap pasangan sentiasa mencari kesilapan sendiri sebelum menuduh.

Dan alangkah cantik jika isteri sentiasa mengingati ayat yang pernah menumpahkan air mata bonda kita ummul mukminin Hafsah dan Aisyah RA ini!

3. Hadis tentang bidadari ini sebenarnya satu suntikan semangat untuk para isteri berlumba-lumba menjadi yang terbaik sebaik bidadari syurga tanpa menafikan fitrahnya adalah manusia biasa!

Jangan biarkan anda dipengaruhi oleh suntikan motivasi yang tak masuk akal, seperti menuntut kepatuhan yang membuta tuli kepada suami walaupun suami zalim! Kezaliman suami mesti diubah bukan ditaat, ia bukan ketaatan tapi kebodohan akibat buta agama! Agama kita tidak ajarkan wanita menjadi hamba kepada lelaki, isteri bukan hamba suami tetapi umpama saudara kandung yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah.

Anda bukan bidadari syurga yang kerjanya taat dan patuh kepada lelaki ahli syurga, anda hanya bidadari dunia yang patuhnya terbatas hanya apabila suami bercirikan lelaki ahli syurga bukan ahli neraka!

Tulisan: Dato Dr Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam

Published by
Netty Ah Hiyer