Memang Akmal (bukan nama sebenar) cukup sinonim dengan gelaran playboy dan mata keranjang sejak sebelum berkahwin lagi. Malahan ramai yang tidak menjangkakan bahawa akhirnya Akmal memilih seorang ustazah untuk menamatkan zaman bujangnya. Sebelum itu, rata-rata teman wanitanya adalah wanita jelita dan seksi.
Setelah diselidiki rupa-rupanya Akmal terpaksa mengikut kehendak keluarga untuk mengahwini Hasanah iaitu anak teman baik ibunya. Hasanah merupakan seorang wanita lemah-lembut dan sejak kecil telah diasuh dengan cukup sempurna ilmu agamanya. Tatkala ibu dan ayahnya meminta Hasanah berkahwin dengan pilihan mereka, langsung Hasanah tidak membentak.
Dunianya hanyalah ibu dan ayah serta pusat tahfiz milik keluarganya. Jadi apa yang dirasakan baik oleh keluarganya, maka baiklah untuk Hasanah. Hasanah meletakkan seluruh kepercayaan kepada bakal suaminya untuk membahagiakan dirinya hingga ke syurga.
Dalam tempoh enam bulan pertama, segalanya tampak indah di mata Akmal, maklumlah masih dalam fasa berbulan madu. Biar pun begitu setelah Hasanah disahkan mengandung dan mengalami alahan yang teruk membuatkan Akmal mula membenci isterinya. Dia merasakan isterinya sengaja berbuat tidak berdaya apatah lagi tidak mahu melayaninya untuk “bersama”.
Sudahnya, Akmal dengan sengaja memohon pertukaran untuk bekerja di Kuala Lumpur untuk menjarakkan hubungannya dengan Hasanah. Dengan erti kata lain ingin memanjangkan langkah untuk membuat onar di belakang isterinya. Akmal mula mencipta alasan agar Hasanah tidak mengikutnya bertugas di sana.
Kembali Dengan Perangai Lama
Setelah dipujuk akhirnya Hasanah akur untuk tinggal bersama keluarganya sehingga dia bersalin kelak. Sejak berpindah ke Kuala Lumpur, ternyata perangai lama Akmal kembali. Dia seakan melupakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bakal bapa. Rata-rata ramai beranggapan Akmal masih bujang kerana tidak pernah menceritakan tentang isterinya dan jarang pulang ke kampung. Dia juga dengan sengaja mengaku bujang di depan kawan-kawan.
Sikap acuh tak acuh Akmal membuatkan Hasanah berkecil hati dan sering berendam air mata. Tatkala rindu berkunjung, hatinya cuba memujuk untuk terus bersabar dengan sikap suaminya. Hingga ke satu saat tatkala perasaannya tak menentu, kesihatan Hasanah makin buruk dan dia terpaksa bermalam di hospital kerana tekanan darahnya terlalu rendah.
Akmal pula tetap memberi alasan sibuk dan tidak mempedulikan keadaan isterinya. Padahal di sana, dia sibuk berjoli dengan perempuan lain. Keluarga Hasanah sangat marah dengan sikap menantu mereka dan berjanji tidak akan berhubung lagi dengan Akmal. Sejak itu Hasanah juga seakan berjauh hati dengan suaminya, hidupnya kini lebih tertumpu kepada bayi dalam kandungannya.
Akmal mula hanyut dalam maksiat dan lupa dengan agama. Maklumlah tiada sesiapa yang memantau pergerakannya kerana berjauhan dengan keluarga di kampung. Tetapi Allah sentiasa ada, apatah lagi bersama Hasanah yang teraniaya. Suatu hari ketika Akmal sedang asyik bercinta dia diserang oleh sekumpulan lelaki, rupa-rupanya kekasihnya adalah isteri orang. Wanita itu hanya mahukan wang darinya.
Kecederaan Akmal membuatkan kakinya patah dan tidak mampu berjalan normal seperti dahulu. Kejadian ini benar-benar merubah Akmal, namun Hasanah sudah tidak mahu menerimanya lagi. Keluarga Hasanah memang benar-benar berdendam dengan apa yang Akmal lakukan.
Sebagai manusia, Akmal mengakui kesilapannya. Biar pun kecewa dengan apa yang berlaku, dia perlu teruskan hidup tanpa Hasanah dan jua anaknya serta bergelar dalam sekelip mata.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI