Kata orang masa bercinta itu semua indah belaka. Segala keindahan dan kecantikan pada dirinya seperti tidak cukup untuk kita nikmati. Kita mahu banyak dan banyak lagi. Satu-satunya jalan halal untuk mendapat itu semua adalah dengan perkahwinan.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga penulis ruangan NOTA UNTUK ISTERI dalam majalah MINGGUAN WANITA.
Jika ikut logik akal, apabila sudah begitu keadaannya tentu apabila berkahwin semuanya jadi lebih indah dan lebih cantik. Namun hakikatnya tidak begitu.
Yang menjadi kerisauan pasangan yang baru berkahwin, kadar pereputan cinta itu berlaku dengan sangat drastik dalam masa lima tahun pertama perkahwinan. Ini dibuktikan dengan meningkatnya kadar perceraian pasangan dalam usia perkahwinan yang sangat muda.
Mengikut kajian, tempoh dua tahun pertama dalam perkahwinan akan menentukan sama ada pasangan itu akan terus bahagia atau tidak. Apakah cabaran yang dilalui oleh pasangan muda ini? Tolak ketepi kekuatan cinta agung yang dibanggakan selama ini. Situasi indah semasa bercinta membuatkan pasangan itu terlupa menilai realiti sebenar yang bakal dilalui bersama selepas mereka berkahwin.
Ada kajian lain pula menunjukkan pasangan muda bercerai kerana tidak mampu berkomunikasi apabila berhadapan dengan cabaran kehidupan sebenar. Setakat menulis ‘I love you’ tidak mencukupi sebagai komunikasi untuk menyelesaikan isu kewangan, cahaya mata, layanan dan sebagainya.
Komunikasi dalam perkahwinan bukan sekadar boleh bercakap dan berhujah. Apa yang lebih penting ialah kesediaan untuk lebih mendengar dan memahami perasaan pasangan kita. Pasangan yang tidak berkomunikasi walaupun atas apa alasan sekalipun umpama memeluk bom jangka yang pasti akan meledak sedikit masa lagi.
Ramai suami dan isteri hari ini mempunyai pendidikan dan pendapatan sendiri. Ramai juga yang merasa mereka adalah sama atau lebih bagus berbanding pasangan masing-masing. Ini menyebabkan mereka rasa tidak perlu bergantung kepada pasangan.
Lanjutan kurang rasa kebergantungan ini mereka tidak ragu-ragu untuk merungkai semula perkahwinan itu atas nama kesilapan keputusan. Berbeza dengan pasangan generasi dahulu. Mereka juga menghadapi cabaran yang lebihkurang serupa tetapi rasa kebergantungan itu terlalu kuat. Mereka tidak ada pilihan ‘menukar pasangan halal’ tetapi lebih kepada memperbaiki, mengalah dan berkorban untuk pasangan.
Mungkin tindakan itu nampak tidak ‘cerdik’ pada pandangan generasi sekarang tetapi selepas mereka berjaya melepasi usia perkahwinan melebihi separuh abad, kitalah yang kagum dengan kehebatan cinta mereka.
Satu lagi isu yang selalu terlepas pandang ialah tentang keinginan atau cita-cita hidup. Memang bagus kita mempunyai keinginan tinggi. Kita mahu capai itu dan kita mahu dapat ini. Namun masalah timbul apabila keinginan itu terlalu tegar dan kita merasa perkahwinan menghalang daripada kita mencapai keinginan itu.
Dalam hal ini ada kata-kata orang cerdik pandai menyebut Jika mahu pergi cepat, pergilah sendiri. Jika mahu pergi jauh, kita pergi bersama-sama.
Semasa bercinta kita berjanji segala bulan dan bintang. Mendengar janji semasa bercinta memang mengkhayalkan. Namun mengharap semua janji itu dipenuhi setelah berkahwin bukan tuah semua orang. Harapan yang dibina kerana percaya kepada janji itu boleh menjadi racun bisa apabila ianya tidak dipenuhi. Akhirnya harapan itu tinggal sebagai cerita dongeng dan setiap hari yang berlalu ianya semakin memisahkan suami dan isteri itu.
Pipit terbang bersama pipit. Enggang terbang bersama enggang. Ada betulnya perumpamaan ini. Memang ada pasangan daripada dua status sosial berbeza dan dapat hidup bersama tetapi jumlahnya terlalu kecil. Berbalik kepada hal yang telah disebut sebelum ini.
Jika pasangan begini bahagia, pasti ianya memerlukan sifat mengalah dan memaafkan yang sangat tinggi. Sekiranya kita rasa sifat ini kurang ada dalam diri, lebih baik cabaran ini ditinggalkan. Biarlah kita membina kebahagiaan dengan pasangan yang sekufu dengan kita.