Isi Kandungan
ToggleOrang cakap, kalau nak cari keberkatan dan rezeki melimpah ruah, kenalah bangun awal. Waktu pagilah dibuka pintu rezeki untuk setiap orang. Malah, orang tua cakap rezeki tak datang dekat kalau bangun lambat.
Jadi, bagi yang selalu bangun lambat, cuba-cubalah ubah sikap dengan bangun lebih awal. Kena bermula dari sekarang. Kalau rasa susah untuk bangun pagi itu, cuba tip yang dikongsikan oleh Abu Hurairah Asifa. Mungkin ia boleh membantu kita semua.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Amalan Hidup Berkat Bangun Solat 2 Rakaat Tahajjud, Hubungkan Silaturrahim
Pagi Yang Berkat, Inilah Waktu Di Mana Pintu Rezeki Terbuka Luas
Info Lebih Menarik Di INSTAGRAM MW
Tip Nak Bangun Subuh Awal
1. Tidur awal. Lepas pukul 10 malam adalah waktu paling baik untuk rehat. Dalam hadis menyebut tentang 1 jam pertama selepas isyak adalah waktu yang sepatutnya manusia itu rehat.
2. Kurangkan melihat handphone selepas pukul 10 malam. Yang menyebabkan kita susah nak bangun subuh adalah bebannya mata yang melihat banyak kejahatan di media sosial dan internet.
3. Maghrib dan isyak, wajibkan diri untuk berada di rumah. Demi untuk memastikan kita dapat solat maghrib dan isyak yang tak lewat. Masuk waktu, kita solat terus. Itulah kekuatan untuk bangun subuh.
4. Sebelum tidur, banyakkan zikir dan selawat. Baca doa sebelum tidur juga akan membantu kita untuk bangun subuh. Jangan tidur lepas tengok movie, lepas baca gosip rampas suami orang dan jangan tidur lepas komen buruk di fb orang lain.
5. Sebelum tidur, macam-macam kita baca. Baca doa, hadis dan Al Quran. Tapi, bila tersedar kita lupa nak baca doa. Sedangkan, bila kita baca doa, maka akan terputuslah tali yang mengikat dan memalaskan kita untuk bangun subuh.
6. Minta pada Allah untuk bangun subuh. Minta lah. Kerana kekuatan bangun subuh ini juga ada pada Allah. Bangunkan aku wahai Allah esok hari. Insya Allah, kita akan mudah bangun subuh.
Ini antara cara yang kita boleh lakukan supaya kita dapat bangun subuh.
Kerana, berkat pertama itu bermula dari subuh.
Kalau subuh kita pukul tujuh, mampu kah kita hidup hari ini, di mana kita hidup dalam akhir zaman yang sangat menyakitkan?
Mampu nak hadapi ujian dan kecaman.
Kekuatan itu ada pada subuh. Carilah keberkatan subuh.
MW: Zaman sekarang, selalunya nak tidur mesti ada telefon kat tangan. Kononnya pelali untuk bagi senang tidur.
Sumber: Abu Hurairah Asifa
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kehidupan Adalah Perjalanan Ke Syurga, Kena Rancang Dan Buat Persediaan
Isi Kandungan
ToggleKehidupan kita di dunia ini hanya sementara. Persinggahan sebelum ke negara abadi. Andai kita menjadikan syurga matlamat destinasi terakhir, kita perlu merancang dan berusaha supaya mampu mencapai matlamat tersebut.
Segalnya bermula dengan kehidupan. Ikuti perkongsian ini.
Pada saya kehidupan itu ada sebuah perjalanan yang di dalamnya wujud berjuta-juta perjalanan.Mudahnya, setiap apa yang kita lakukan merupakan satu perjalanan.
Ini kerana setiap perjalanan itu mempunyai titik mula dan titik akhir. Manakala setiap aktiviti yang kita jalani juga merupakan satu perjalanan sebuah hubungan. Bermula dari kita bangun pagi yang juga merupakan titik mula kehidupan seharian kita hingga kita memejamkan mata untuk merehatkan segala anggota di malam hari.
Titik Akhir Perjalanan Seharian
Tidur adalah titik akhir perjalanan kita dalam sehari. Meskipun begitu, kita perjalanan kita sehari itu, kita mempunyai banyak perjalanan. Makan tengah hari contohnya adalah satu perjalanan. Ia bermula dan kemudian berakhir.
Setiap perjalanan melibatkan hubungan dan setiap hubungan melibatkan perjalanan. Apabila kita berada di tempat kerja maka ia adalah satu perjalanan. Ianya dikatakan satu hubungan kerana kita perlu menjaga keterikatan kita dengan setiap perkara yang berkaitan dengan kerja.
Jaga Hubungan Dalam Perjalanan Kehidupan
Begitu juga dengan makan. Ianya satu perjalanan. Ianya juga satu hubungan diri dengan apa yang kita makan. Jika kita tidak menjaga hubungan dalam perjalanan makan, kita boleh tersedak atau tercekik. Setiap perjalanan yang ingin kita lakukan dalam sehari pula bermula dengan keinginan. Keinginan pula perlukan satu tindakan. Manakala tindakan pula memerlukan satu keputusan. Keputusan pula akan menjadikan hubungan mempunyai ‘rasa.’
Perjalanan adalah hubungan. Hubungan adalah perjalanan. Justeru, jika kita mahu menjaga sebuah hubungan maka kita perlu menjaga perjalanannya. Begitu juga jika mahu menjaga sebuah perjalanan maka kita perlu menjaga hubungan di antaranya.
Gagalkan Hubungan
Kita tidak boleh mahu menjaga sesebuah perjalanan tanpa menjaga hubungan. Ini kerana dalam perjalanan itu wujud hubungan. Kegagalan kita dalam menjaga setiap apa yang terhubung dengan kita sepanjang perjalanan akan memberi kehambaran dalam hubungan hingga menjadikan hubungan terkulai sebelum sempat ia mekar.
Sebelum sesuatu hubungan itu dimulakan, kita perlu ada keinginan yang pasti dan jelas tentang apa yang kita inginkan darinya. Setelah itu barulah kita boleh memulakan perjalanan. Dalam perjalanan sesebuah hubungan kita akan bertemu dengan pelbagai lorong-lorong kecil sebuah kehidupan.
Lagi artikel menarik:
Pernikahan Komitmen Seumur Hidup, Teliti Pilih Pasangan Supaya HIDUP Seperti Di Syurga
Ikuti kami di sini:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Buat Keputusan
Setiap kali kita bertemu dengan lorong-lorong ini, kita membuat keputusan sama ada mahu melaluinya atau hanya melewatinya. Setiap keputusan yang kita ambil pasti akan memberi impak sama ada positif atau negatif terhadap perjalanan yang sedang kita lalui itu.
Kita pasti memerlukan sedikit masa untuk mendapat kemahiran dalam mengendali ‘stering’ pemanduan. Namun kita tidak boleh berputus asa dalam belajar memandu kehidupan kerana semakin banyak cabaran yang yang kita jumpa semakin matang kita mengendalikan perjalanan-perjalanan kecil dalam sebuah perjalanan besar.
Tak Boleh Bersandarkan Emosi
Setiap perjalanan memerlukan kita membuat keputusan. Setiap keputusan yang diambil tidak boleh bersandarkan emosi kerana impaknya terlalu besar dalam setiap perjalanan. Apatah lagi jika tiba-tiba kita memutuskan yang keputusan awal kita untuk memulakan perjalanan dalam sesebuah hubungan merupakan satu kekhilafan kerana kita sebenarnya tidak bersedia untuk hubungan tersebut.
Ianya bukan hanya bakal mengecewakan tetapi merosakkan keseluruhan perjalanan. Perjalanan yang rosak cukup sukar untuk diperbaiki kerana kecacatannya sangat jelas.
Tak Bersedia Ubah Perjalanan Kehidupan Untuk Ke Syurga
Begitu jugalah cerita perjalanan kita menuju syurga Allah SWT. Kita memang berkeinginan untuk ke syurga. Kita sudah membuat keputusan untuk ke syurga. Tetapi dalam perjalanan kita untuk ke syurga, kita merasakan yang kita tidak bersedia untuk merubah perjalanan kehidupan kita yang sedia ada.
Kita tidak bebas melakukan apa sahaja kerana setiap perjalanan ada peraturannya. Apabila kita tidak bersedia untuk ke syurga maka tanpa sedar kita sebenarnya sudah bersedia untuk ke neraka kerana tidak ada tempat untuk didiami diantaranya.
Apabila kita mahu ke syurga tetapi tidak bersedia untuk mengikut peraturan ke syurga maka kita adalah orang-orang yang sangat mementingkan diri sendiri yang tidak sedar telah merosakkan diri sendiri apatah lagi hubungan ke syurga. Semoga kita benar-benar memutuskan untuk ke syurga dan melaksanakan perjalanan ke syurga.
Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Surip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadilah Orang Yang Sentiasa Bersyukur, Kita Susah Masih Ramai Yang Sengsara!
Isi Kandungan
ToggleBersyukur. Perkataan itu cukup mudah diluahkan di bibir, namun sejauh mana terkesan di hati? Bukan mudah untuk didik hati untuk bersyukur. Ikuti perkongsian ini daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor. FB: https://www.facebook.com/abuiqbalhakim
Ketika ini saya sedang mengetik komputer riba di perkarangan kampus Universiti Indonesia. Beberapa kali saya didatangi anak-anak kecil. Berusia lingkungan 10 tahun. Mereka menjual tisu muka. Harganya murah. Sebungkus RM1.50 sahaja.
Cari Rezeki Dengan Seragam Sekolah
Sewaktu saya menaiki jejantas, saya temui lagi anak-anak ini. Ada yang berusia remaja. Masih berseragam sekolah. Menjaja tisu juga. Isteri saya berkata, sebelum remaja lelaki berseragam sekolah menjual di situ, ada seorang anak kecil lelaki di tempatnya. Barangkali, mereka adik-beradik. Menjaja tisu demi segenggam rupiah. Demi bisa ke sekolah.
Bukan sekadar itu. Di sini, jika menaiki kereta di jalan yang jem, kita pasti berpapasan dengan para penjual ini. Bukan sekadar tisu, mereka menjual apa sahaja. Dari air mineral sehinggalah makanan ringan. Biar panas, mereka tahan. Ada ibu yang menggendong anak kecil, meraih simpati dengan wajah sayu. Juga nenek tua yang hitam. Ada yang mengecat diri sendiri lalu beraksi bagai ‘patung bernyawa’, sambil menghulurkan kotak minta simpati.
Bersyukur Kita Lahir Di Malaysia
Kita mungkin tidak dapat melihat senario berkenaan di Malaysia. Jika ada pun yang mencari derma, mereka bukan anak-anak kita. Wajah mereka wajah Myanmar. Namun, di sini (Indonesia), jauh di sudut hati saya merasa pilu. Ya, anak-anak kecil penjual tisu. Mencari belanja sekolah. Dengan seragam yang kusam. Di tepian jalan berjam-jam.
Di sinilah saya sering berpesan kepada diri, juga anak-anak. Betapa kita bertuah dilahirkan di bumi yang namanya Malaysia. Benar, ada kalanya kita diuji. Riak-riak politik yang menjentik. Pasaran saham yang menukik (menjunam). Harga barangan yang menanjak. Itu dan ini. Namun percayalah, kita masih amat jauh beruntung.
Rezeki Menanti
Kehidupan kita berjalan indah. Tidak ada anak-anak tertinggal sekolah. Benar, kita bising dengan pinjaman pengajian yang tinggi. Namun percayalah. Sehabis belajar, pekerjaan banyak menanti. Asal jangan malas atau memilih. Kita tidak perlu mengintai jauh ke luar negeri. Mencari rezeki, meninggalkan ibu bapa, anak isteri.
Kehidupan kita sedari anak berjalan mulus. Benar semuanya memerlukan fulus. Namun keluar sahaja rumah, pasti sore nanti kita bawa wang. Namun sedarkah kita, beberapa teman saya dari tanah seberang berkata. “Di negara kami, keluar pagi, sore nanti belum tentu saku terisi.”
Kehidupan kita memang mencabar. Namun kita masih mampu tersenyum. Banyak bantuan dihulurkan kerajaan. Khususnya golongan miskin (B40), banyak institusi yang menjamin. Pusat zakat, JKM dan apa sahajalah. Sedangkan ada orang lain, di belahan dunia lain, ada yang terlantar kerana segalanya tiada di sisi mereka. Biar pintar, belum tentu bisa belajar. Natijahnya apa?
Didik Diri Untuk Bersyukur
Ya, ia mendidik kita untuk bersyukur. Rasa syukur yang wajib dipamerkan. Bukan sekadar disimpan. Zahirkan dengan perbuatan. Menjadi umat yang lebih prihatin. Saling menjaga. Tidak bertelingkah. Menegakkan keadilan. Menjauhi rasuah. Tanpa kecuali. Rakyat atau pemerintah.
Kita boleh mulakan. Ya, dengan langkah paling mudah. Misalnya, tidak membuang sampah merata-rata. Atau tidak merasa malu mengutip sampah di depan mata. Mematuhi lampu merah di jalan raya. Menjimatkan elektrik dan air. Menebarkan senyum dan salam. Membantu membuka pintu. Menolong mengangkat barangan. Hatta mengucapkan terima kasih. Jua senyum di wajah.
Menyumbang Untuk Kebaikan
Ya. Kita hendaklah berusaha menjadi rakyat Malaysia yang membanggakan. Menjadi rakyat Malaysia yang menyumbang. Ia adalah tuntutan. Jangan sampai kita tersedar dengan keamanan, saat bangunan sudah berantakan. Marilah menyintai rasa kesatuan. Menyintai watan. Kata Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, itulah pra syarat kemajuan.
Percayalah, kita ditakdirkan menjadi rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada banyak perkara yang patut menjadi tujuan. Menyumbang untuk kebaikan. Membanggakan. Paling tidak pun, tidak menyusahkan. Wallahuallam.
Catatan ringkas di Depok, Indonesia pada 4 Mac 2020.
https://www.mingguanwanita.my/pkp-cuti-kurniaan-allah-swt-renung-diri-dan-tetap-bersyukur/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Persiapan Hanya 10 Hari, Manisnya Rezeki ‘Last Minute’ Dapat Panggilan Haji
Isi Kandungan
TogglePejam celik pejam celik sekejap je dah memasuki bulan Zulhijjah. Kurang daripada 10 hari umat Islam akan akan berhimpun, berkumpul didalam persidangan terbesar, hari penuh keberkatan di Padang Arafah. Memuji kebesaranNya dan mengharapkan pengampunan daripadaNya.
Berpeluang menjadi ‘Duyufur Rahman’ atau tetamu Allah ditanah suci pastinya menjadi pengalaman terindah bagi sesiapa yang pernah melaluinya. Kenikmatan melakukan ibadah di tanah haram dan ketenangan jiwa disanubari sungguh tak tergambar dengan luahan kata-kata.
Jika pernah membaca coretan saya sebelum ini pada 2017, Pengalaman Tunai Haji Usia Muda, Paling Penting Pasang Niat, Rezeki Allah Cukupkan. Ia adalah pengalaman peribadi mak dan abah saya sendiri, Hajjah Ainon Abu Bakar,61 dan abah, Haji Abdul Wahab Bin Abdullah, 70 sewaktu mengerjakan haji kali pertama ketika usia mereka ‘boleh dikatakan’ ketika itu masih muda. Iaitu ketika mak berusia 35 tahun dan abah 44 tahun. Sekitar tahun 1993, kira-kira 26 tahun dahulu.
Alhamdulillah, kedua mak dan abah saya diberikan kesihatan yang baik dan Allah berikan rezeki buat mereka dapat menunaikan ibadat haji dua kali dan ibadah umrah sebanyak lima kali. Mereka baru pulang daripada menunaikan umrah pada Jun lalu.
Rezeki Tunai Haji
Mungkin satu suratan atau hanya kebetulan, selepas catatan tersebut dikongsikan, petang pada hari yang sama rezeki daripada Allah saya dijemput menjadi tetamuNya. Berpeluang menunaikan haji pada usia 31 tahun bersama suami dan kakak ipar pada tahun 2017.
Sebenarnya, kami menumpang rezeki kakak ipar, Rohana Bujang yang ketika itu terlebih dahulu telah membuat rayuan untuk menunaikan haji dan turut menjadi asbab membuka ‘jalan’ kepada kami.
Ia juga rezeki panggilan ‘last minute’ daripada Tabung Haji kerana buat pertama kalinya tahun tersebut, Kerajaan Arab Saudi telah memberikan tambahan kouta haji sebanyak 30,200 jemaah berbanding 27,900 pada tahun sebelumnya.
Ingat lagi ketika itu pada petang Khamis, pihak Tabung Haji membuat panggilan menyatakan kami terpilih untuk menunaikan haji. Perlu mengambil surat tawaran, membuat baki pembayaran dan menyerahkan passport untuk penyediaan visa.Kelengkapan persiapan lain pula perlu dilakukan kira-kira dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh berlepas!! Segalanya perlu segera dan membuat keputusan pantas.
Bayangkan perasaan ketika itu bercampur baur. Gembira, seronok campur gementar. Sempat ke nak siapkan semua perkara?? Dengan kursus haji langsung tak pernah pergi. Kelulusan cuti daripada majikan belum dimohon. Anak usia 4 tahun siapa nak uruskan.
Semuanya Rezeki, Segalanya dipermudahkan
Alhamdulillah. Apa yang boleh dikatakan ia adalah rezeki, rezeki dan rezeki.Bukan semua orang terpilih untuk menjadi tetamuNya.Ada wang dan harta belum tentu jaminan untuk ke sana. Saya positifkan diri, peluang ini bukan datang selalu. Meskipun tidak pernah mengikuti sebarang kursus haji, namun pengalaman pernah dua kali menunaikan umrah sebelum ini, sedikit sebanyak dapat membantu.
Malah pihak Tabung Haji sendiri sangat membantu. Di tanah suci turut disediakan kelas dan ceramah, bagi membantu jemaah haji begitu juga ustaz dan ustazah yang sedia memberi pencerahan diatas segala kemusykilan yang ada. Jadi jangan bimbang. Alhamdulillah semuanya rezeki daripaNya, segala-galanya dipermudahkan ‘jalan’ ke tanah suci dan disiapkan segala urusan dan persediaan hanya dalam masa 10 hari!!
Insaf Melihat KebesaranNya
Selama 37 hari berada di tanah suci mengikut muassasah Tabung Haji, Alhamdulillah kami diberikan kesihatan yang baik walaupun cuaca sangat panas dan kering di sana.Penginapan di Mekah dan Madinah juga Alhamdulillah, rezeki dapat hotel hanya jarak sekitar 500 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kemuncak ibadah haji adalah hari-hari MASYAIR iaitu hari yang di nanti-nantikan oleh semua bakal haji bagi melaksanakan rukun dan wajib haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan yang paling penting adalah berwuquf di Arafah.
Ditempatkan dalam khemah yang padat dengan jemaah, kurang keselesaan, cuaca yang sangat panas dan kemudahan tandas yang terhad, antara salah satu ujian yang terbesar buat para jemaah pada waktu ini. Sangat penting rasa redha, sabar dan tolak ansur ketika berdepan dengan situasi ini.
Fokus pada amalan serta tingkatkan ibadat padaNya dengan memperbanyakkan berdoa, berzikir, mengaji atau bertalbiah. Lebih-lebih lagi pada hari wukuf di Padang Arafah, dimana langit terbuka luas segala doa dan hajat mustajab dimakbulkan Allah.
Selain itu, kesihatan dan kekuatan fizikal sangat diperlukan memandangkan perjalanan untuk melontar jamrah pada (10, 11, 12 dan 13 Zulhijah) perlu berjalan kaki dari khemah-khemah di Mina sejauh tujuh kilometer (km) iaitu 3.5 km pergi dan 3.5 km untuk pulang.
Insaf dengan kebesaranNya.. jutaan umat berjalan kaki, bertongkat, berkerusi roda berusaha untuk melontar jamrah. Apatah lagi melihat jemaah warga emas yang semakin kurang kudratnya. Sesungguhnya ia gambaran, bagaimana keadaan kita ketika dihimpunkan di akhirat nanti dengan pelbagai keadaan. Allahu kerdil rasa diri ini, betapa bersyukurnya kami, diberi peluang dan ruang serta rezeki dapat menunaikan kewajipan haji pada usia muda disaat masih sihat dan bertenaga.
Doa Kali Pertama Tunai Umrah
Teringat salah satu doa saya ketika kali pertama menunaikan umrah di tanah suci bersama mak dan abah pada usia 21 tahun ketika di Multazam, iaitu berdoa agar “Diberikan peluang dapat datang lagi ke tempat suci ini bersama suami dan dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih kuat dan bertenaga”. Walaupun bayangan jodoh saya belum ada lagi ketika itu.
Maha Suci Allah yang Maha Mendengar setiap permintaan hambaNya. Sungguh tak sangka, selepas 10 tahun impian tersebut dimakbulkan. Jutaan kesyukuran dipanjatkan, rasa sebak memikirkan diri yang masih banyak dosa dan atas amalan apakah yang telah dilakukan membuatkan diri ini ‘dipandang’ tuhan.
Lebih istimewa dan takkan dilupakan dalam ingatan, saat jutaan umat berhimpun dan berwukuf di padang Arafah pada 10 Zulhijjah, tarikh yang sama juga jatuh 31 Ogos 2017 merupakan ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Bersama insan tersayang di tanah suci menunaikan kewajipan Rukun Islam kelima, pada hari yang cukup bermakna sesungguhnya pengalaman manis yang akan diingati selama-lamanya sepanjang hayat.
Alhamdulillah rezeki saya dan suami dapat menunaikan haji pada usia muda ketika badan masih sihat, kuat dan bertenaga merupakan anugerah yang tidak ternilai. Sesungguhnya mak dan abahlah yang menjadi inspirasi untuk saya dan suami berusaha untuk menunaikan haji pada usia muda. Mengharapkan keredhaan dan menunaikan kewajipan sebagai hambaNya serta berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.
Akhir kata, satu pesanan saya usah bimbang dari segi kemampuan, atau rasa tak bersedia jika terpilih dapat panggilan haji ‘last minute’. Segalanya telah tertulis, Insya Allah segalaNya akan dipermudahkan.Paling penting, selain berusaha selalulah pasang niat dan berdoa untuk kesana, Insya Allah, rezeki Allah akan cukupkan dalam pelbagai cara, cabang dan bentuk. Percayalah!
Salam Sayang,
Hajjah Suhaidah Abd Wahab,
Insan kerdil yang selalu rindu dan berharap dijemput menjadi tetamuNya lagi dan lagi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI