Nak Lancar Rezeki, Jaga Akhirat Dan Jaga Dunia Juga..

Soal rezeki adalah satu topik yang sentiasa bermain di bibir setiap daripada kita. Ia semakin ketara dijadikan inti perbualan di kala ekonomi yang kian menyepit. Hari ini ke mana sahaja kita pergi, keluhan demi keluhan tentang kesempitan hidup dapat kita dengar. Bagaimana nak lancarkan rezeki?

Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.

Berbeza Tapi Tetap Sama

Pada saya, bagi kita yang tidak dilahirkan daripada keturunan yang sentiasa tinggal dalam agam mewah pasti akan merasa kesempitan hidup. Biarpun ia berbeza dari satu individu ke satu individu namun kesempitan tetap sahaja kesempitan. Bahkan ada juga yang bersusur galur dari agam mewah akhirnya hilang semuanya.

Nak Lancar Rezeki, Jaga Akhirat Dan Jaga Dunia Juga..

Lakukan Aliran Masuk Rezeki

Ramai orang bertanya kepada saya adakah cara-cara tertentu yang dapat melajukan aliran masuk rezeki. Bersumberkan apa yang saya diajar dan berbekalkan pengalaman merentasi lembah kesusahan dan kesempitan hidup, jawapan saya, “ya ada cara.”  Saya melalui pelbagai fasa dalam hidup hingga pernah satu ketika saya tertanya-tanya apa pula selepas ini.

Ads

Namun setelah memahami peta perjalanan hidup, barulah saya jelas mengapa ia terjadi dan apa keperluan setiap kejadian itu dalam hidup saya biarpun kejadian itu adalah sesuatu yang mendukakan. Sewaktu berada di fasa yang menekankan, kita akan hilang ramai kawan. Sewaktu di fasa ini juga kita mula terdesak untuk melakukan apa sahaja yang mampu memberi kelancaran pada aliran rezeki.

Dua-Dua Kena Jaga

Justeru saya memberikan kesimpulan yang saya peroleh daripada pengalaman hidup saya. Pertama, kita perlu menjaga kedua-dua dunia. Jika hanya akhirat yang kita jaga sedangkan hal dunia kita perlekehkan maka kita akan merasa sempitnya rezeki. Ini kerana kita ‘berasa’ berkecukupan sedangkan hakikatnya tidak.

Begitu juga jika hanya dunia yang kita jaga sedangkan akhirat yang menjadi tempat tinggal tetap kita tidak kita pedulikan. Maka rezeki kita biarpun orang melihat banyak dan mewah tetapi tetap sempit kerana kita sering tersepit dengan perlumbaan dunia. Akhirnya nikmat berharta itu tidak kita rasai kerana sibuk memikirkan pencapaian orang lain yang perlu dikejar.

Ads

Penyakit Malas

Kedua, satu penyakit dasar yang perlu dihapuskan akarnya. Setiap daripada kita ada penyakit ini biarpun kadar tumbesarannya tidak sama. Malas adalah satu penyakit yang sudah lama berakar umbi dalam diri manusia. Jenis sikap malas ini berbeza dari satu individu ke satu individu yang lain.

Dalam hal yang berkaitan dengan rezeki ini, sikap malas memainkan peranan yang ketara. Ada yang memberitahu saya yang mereka sangat rajin dalam mencari rezeki. Apa sahaja jalan yang ada, mereka akan melaksanakannya asalkan rezeki diperoleh. Ada juga yang berkata mereka sangat rajin mencari ilmu demi mengubah aliran rezeki. Justeru, di mana sikap malas ini wujud.  Malas, pada saya adalah satu daripada beberapa penyakit rezeki.

Ads

Malas dalam rezeki bukan hanya terletak pada malas berusaha, malas mencari ilmu, malas berfikir dan sebagainya. Tetapi malas dalam rezeki wujud dalam bentuk yang tidak kita sedari. Pada saya, jika melalui satu proses penganalisaan yang terperinci insya-Allah kita akan bertemu dengan titik malas dalam rezeki.

Tak Sama

Titik malas dalam rezeki tidak pernah sama dengan sikap malas dalam hidup. Dek kerana ini kadangkala kita melihat ada orang yang bermalas-malasan dalam hidup tetapi rezekinya cukup banyak. Bersandarkan apa yang telah saya alami dan pelajari, mereka ini telah menghapuskan titik malas rezeki yang sering dikatakan halangan rezeki dan sumbatan aliran rezeki.

Saya beruntung kerana bertemu dengan guru yang bukan sahaja mempunyai ilmu tentang titik itu tetapi juga telah mengalami kesempitan rezeki.  Maka saya belajar daripada guru yang sudah melalui fasa yang saya lalui. Itu sangat menarik kerana beliau mengajar berdasarkan pengalaman beliau keluar daripada kesempitan rezeki.

Carilah titik yang telah menyempitkan aliran rezeki, insya-Allah hidup akan jauh lebih baik dari sebelumnya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI