Kadang kita ni sibuk sangat dengan urusan harian sampai tak sempat nak kutip pahala. Sebenarnya kalau betul nak buat, niat dulu dari sudut hati yang paling dalam. Nanti percayalah, Allah akan mudahkan dan sampaikan hajat kita yang baik-baik lebih mudah.
Macam situasi yang Puan Nieza Termizilalui ini juga, salah satu ujian dari Allah yang sebenarnya terselit hikmah yang kita mungkin tak sedar. Cuba renungkan…
Masa tu orang dah mula memenuhi ruang surau kecil tu. Ramai yang dan berwudhu tapi terpaksa tunggu giliran solat sebab nak guna telekung surau. Saya dah agak dah sebab tu bawa telekung dari rumah siap-siap.
Alhamdulillah saya dah selesai solat dan berdoa. Semasa saya melipat kain telekung, ada orang menegur,
“Cik, telekung sendiri ke telekung surau?
“Telekung sendiri”
Jawab saya sambil senyum. Sedih pula dalam hati. Orang menanti nak solat, tapi takkan tak ada cara untuk saya membantu? Tak akan nak ‘sorok’ telekung dalam beg dan bawa pergi?
Kalau bagi pinjam MESTI dapat pahala (Kene ikhlas dah tentunya). Tapi dalam hati berbolak-balik. Saya bukan kenal orang ni. Entah siapa-siapa. Nanti hilang pulak kain telekung ni. Saya tak tuduh orang mencuri. Tapi risau letak merata. Hilang terus tak jumpa. Biasalah..orang masuk surau tak kira masa.
Dalam hati berdoa,
“Ya Allah, mudahkanlah aku buat amal.”
Tiba-tiba ada orang yang dikenali menegur,
“Akak, telekung sini ke tu?
Ads
“Tak, telekung sendiri”
Terus saya terfikir. Ini adalah peluang.
“Err..nak pinjam ke? Pakai la. Nanti masuk balik dalam beg ni. Letak je kat situ ye”
“Eh boleh ke?? Terima kasih kak!
Saya pun keluar dari surau, bertawakal kepada Allah. Saya dan anak-anak teruskan aktiviti bermain di taman tema tu.
Antara jam 2-4 petang sambil layan anak-anak, saya teringat juga kain telekung saya. Terasa malas pula nak patah balik ke surau untuk ambil beg tu. Saya yakin, adik tu dah selesai solat. Tapi saya juga yakin telekung tu baik-baik saja.
Jam 5 petang, kami paksa juga anak-anak naik. Mereka ni kalau tak ditarik, sampai ke malam nak berendam. Syurga dunia betul tempat ni. Hhu
Ads
“Sekejap abang, saya nak gi surau ambil telekung. Kita solat kat rumah je la. Ramai orang. Tunggu kat exit.”
Saya menitip pesan, sebelum bawa anak-anak berjalan di celah-celah ratusan manusia. Orang dah mula berkurang dan pulang.
Sampai di surau, alhamdulillah beg saya masih di situ dengan kain putih yang masih elok terlipat. Terus kami tinggalkan tempat tu menuju ke exit dan segera pulang. Masih belum solat asar.
Kami singgah di rumah makcik, beberapa km je dari teman tema tu..kami cepat-cepat bersiap nak kejar solat asar. Ketika menarik telekung dari beg barulah saya perasan yang kainnya tak ada. Cuma ada telekungnya saja. Sedihnya rasa.
Kelam kabut saya menghubungi kawan yang pakai telekung saya tadi. Memang dah letak kain dan telekung sekali, katanya. Fahamlah saya, kemungkinan ada orang lain yang ambil kainnya sahaja. Mungkin lupa nak letak balik, atau dia letak saja di tempat penyidai lalu diguna pula orang lain.
Saya ingat nak patah balik, tapi macam tak berbaloi saja. Dalam hati ni rasa ralat sangat. Saya mengadu pada Allah,
‘Ya Allah..tadi aku nak buat amal. Aku bagi izin orang pakai kain telekung ni sebab aku nak mudahkan mereka bersolat. Niat aku nak pahala dan nak cari redha Engkau. Aku bertawakal kepadaMu. Tapi sekarang dah hilang pula. Kenapa kau ‘hilangkan’ ya Allah..’
Mungkin… mungkin sebab seperti yang saya cakap di atas. Nak kutip pahala, tapi dibalas dengan ‘kehilangan’. Nak cari pahala, tapi diuji dengan cara begini. Dah agak dah ada potensi hilang, tapi yakin sangat kalau kita berniat baik, mesti Allah tolong. Tengok-tengok ‘Allah tak tolong pun.’
Dalam kereta, saya istighfar lagi. Beberapa minit berlalu. Otak ligat berfikir mencari hikmah.
Ya Allah berdosanya aku sangka buruk pada Allah. Saya terus bincang dengan suami,
“Abang, saya nak bagi pinjam telekung pada orang tadi saya niat kerana Allah. Nak dapat pahala. Tapi saya yakin sebenarnya Allah nak bagi saya pahala LEBIH lagi. Bila kain telekung tu tertinggal di surau tu, lebih ramai pengunjung yang akan guna kain tu. Saya niatkan saja sebagai sedekah. Setiap kali orang guna saya dapat pahala.
Asalnya saya cuma fikir nak bagi pinjam pada seorang saja. Percaturan Allah, Dia nak saya bagi ‘pinjam’ pada beratus-ratus orang lagi. Mungkin ribu-ribu. Sampai infiniti. Selagi ada kain itu di sana dan dipakai orang, pahalanya mengalir pada saya.
Ya Allah baiknya Allah, kan?
Betul kalau saya fikir macam tu kan?
“Betul ummi..fikir macam tu.”
Alhamdulillah saya tenang terus.
Begitulah…dalam hidup ni kita PASTI ditimpa ujian. Tapi kalau kita pandang ujian tu dari neraca tuhan, pasti tersingkap hikmahnya dan tenanglah semula hati kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap pasangan, keluarga mempunyai cara tersendiri untuk bahagia. Ia bukan dengan mempunyai duit berjuta-juta dalam bank, barulah rasa bahagia. Kena ingat, duit yang banyak pun belum tentu menjaminkan kebahagiaan.
Malahan, tidak perlulah kita bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Ioni kerana masing-masing ada cara tersendiri untuk mencari kebahagiaan. Bersyukurlah dengan apa yang telah dianugerahkan olehNya.
Perkongsian daripada Hannah Alias dihara mampu memberi manfaat agar kita dapat membina kebahagiaan yang kita ada ini dengan cara kita sendiri. Tak perlu nak bandingkan atau menyibuk pasal orang lain.
Ikut Cara Kita
Hidup ini mudah sahaja.
Jangan sibuk dengan kehidupan orang lain. Sibuk nak memberi komen tentang kehidupan orang lain. Mencari ruang untuk mengetahui tentang kehidupan orang lain sehingga timbul fitnah dan ghibah.
Kalau kita nak bergaya tak salah, tapi bergayalah mengikut ukuran baju di badan sendiri. Kalau tiada, jangan dipaksa untuk mengadakan. Berbelanja mengikut kesesuaian sendiri. Jangan menyeksa diri jika hanya mahu dipuji orang. Percayalah, pujian itu tidak membawa kita ke mana pun.
Nikmati hidup yang sementara ini dan jadilah seperti apa yang kita inginkan. Syukuri dan nikmati apa yang kita ada saat ini. Usah rungsing dengan apa yang tiada.
Jangan terpengaruh dengan kata-kata manusia lain. Ingat! Kita takkan mampu menutup mulut orang dengan dua tangan kita. Tapi kita ada dua tangan untuk menutup dua telinga kita agar tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka.
Hidup ini mudah. Bagaimana mudahnya orang lain untuk berkata apa pun tentang kita. Maka kita juga mudah untuk menolak apa yang dikatanya itu.
Apa sahaja keadaan kita saat ini, kita takkan lepas dari kata-kata orang. Kita baik dikatakan menunjuk, jahat dikatakan zalim. Kita terbiar dikatakan kita bodoh. Semua tidak kena.
Usah Ambil Hal Orang
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata negatif orang terhadap kita. Kita tahu keupayaan kita. Mereka berkata negatif kepada kita kerana mereka sendiri pun tidak pernah berjaya. Jangan terlalu ambil hal dengan kata-kata orang. Kadang mereka hanya punya mulut. Tapi mereka tiada otak. Sebab itu mereka mampu berkata macam-macam kepada orang lain. Seolah dirinya begitu mulia dan sempurna.
Jangan pernah terkesan dengan kata-kata orang. Sebab jika kita baik, tapi dia membenci kita, maka kita tetap terlihat salah di matanya. Jika kita orang yang disayanginya, kita tetap akan disayangi dan dicintai walau apa pun keadaan kita. Bagaimanapun keadaan kita. Mereka tetap terima kita tanpa sebarang syarat.
Bukan Sesiapa
Siapa pun berhak bercakap tentang kita. Kerana kita bukan sesiapa. Kita juga berhak untuk menerima atau menolak apa yang kita dengar. Jadinya, diri kita tanggungjawab kita. Jangan kita musnahkan diri kita hanya kerana kata-kata orang. Kerana yang Allah pandang itu adalah apa yang kita lakukan. Bukan apa yang mereka katakan.
Soal mereka berkata buruk tentang kita, fitnah kita, itu urusan mereka dengan Allah. Sekarang diri kita. Kita kena jaga diri kita. Agar nanti Allah tanya semua yang kita lakukan. Sama juga halnya kita dan suami. Suami nak buat apa pun kepada kita, itu hal dia. Hal kita ialah bagaimana kita respon terhadap dia.
Allah tak tanya kita apa yang suami buat kepada kita. Tapi yang Allah tanya apa yang kita dah buat kepada suami. Segalanya Allah tanya perbuatan kita. Takkan depan Allah kita nak beralasan suami jahat? Rasanya Allah terima ke alasan itu?
Sebaik-baik Ciptaan
Ingat kita ni, direndahkan tak mungkin jadi sampah. Disanjung pula tak mungkin jadi bulan. Kerana apa? Kerana kita adalah sebaik-baik ciptaan yang Allah ciptakan. Cumanya kita sahaja yang memusnahkan diri sendiri dengan mengizinkan diri untuk terkesan dengan tindakan dan kata-kata orang.
Sebab setiap orang menerima kita dengan pemahaman dan kepentingan yang berbeza. Tidak sama. Jangan menghabiskan usia kita untuk jadi seperti yang orang nak. Sebaliknya jadilah diri sendiri. Diri yang fitrah sentiasa inginkan kebenaran dan kembali hidup bertuhan dengan cinta ilahi.
Hidup kita terlalu berharga untuk hanya sekadar mendengar kata-kata orang. Nikmati dan syukuri apa yang Allah berikan saat ini. Usah sibuk mencari apa yang tiada. Tidak bahagia dengan pasangan, namun kita masih mampu cipta kebahagiaan itu dengan tuhan.
Kalau tidak suka, jangan dilihat dan dicari.
Apabila kita tidak tahu, diam.
Kalau tidak pernah peduli, jangan sesekali kita menghakimi.
Apabila kita tidak mampu memiliki, jangan kita membenci.
Percayalah pada kata hati mu. Bukan pada kata orang lain. Lakukan apa yang kamu rasa benar. Bukan kerana orang lain benar. Jadilah apa adanya kamu, kerana lebih baik dibenci sebab menjadi diri sendiri dari selalu dipuji, tapi diri sendiri menderita kerana terpaksa menjadi orang lain.
MW: Moga apa yang diperkatakan itu memberi manfaat. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Ramai tak suami yang faham yang isteri pun perlukan Me Time atau masa rehat tanpa melayan kerja rumah mahupun kerja uruskan keluarga. Tak lama manapun, dalam sebulan mungkin sehari masa yang isteri mahu. Masa itulah isteri akan seronok dengan minatnya, misalnya shopping, memancing dan sebagainya.
Syukurlah pada suami-suami yang memahami keperluan dan kegembiraan isteri masing-masing. Buat yang belum faham, suami kenalah tahu yang isteri ini sebenarnya penat. Bukan penat fizikal saja, otak pun penat. Baik urus anak-anak mahupun kerja pejabat yang tak pernah nak habis.
Dalam sehari itu, berilah isteri bergembira. Baik dengan kawan-kawan ataupun adik beradik. Kisah ini samalah dengan cerita Akhtar Syamir yang tak pernah jemu berkongsi inspirasi Me Time untuk isterinya, Nora Azni.
Kali ini Me Time yang diberikan adalah memancing dengan adik-beradiknya. Lihat cara isterinya itu menghargai Me Time yang suami berikan. Walaupun Me Time sudah di genggaman, dia tak lupa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Dan akhirnya, Me Time yang suami beri, berakhir dengan bahagia untuk kedua-duanya.
Bagaimana Akhirnya Saya Berikan Me Time Memancing Pada Isteri
“Jika saya tak buka mata, mungkin saya terlepas pandang perkara ini.”
Akuinya, “Betul, selepas berkahwin boleh dikatakan semuanya seronok. Banyak perkara dilakukan bersama suami dan anak-anak.” Tanpa suami sedar, rupanya isteri pun ada minat mereka tersendiri. Syukurlah Akhtar cepat-cepat sedar minat isterinya itu. Dan inilah yang dia lakukan.
1. Tak Nak Minat Isteri Terkubur
Bila isteri kerap melayan minat suami dan anak-anak, tanpa sedar isteri jarang dapat merealisasikan minat peribadinya.
Lagi-lagi bila isteri minat satu benda tapi suami tak minat. Apa agaknya yang terjadi? Kesukaan itu akan berkubur selama – lamanya.
Isteri akan mengalah dan hanya lakukan apa yang dia dan suami sama – sama suka sahaja. Kita memang tak boleh nak elak situasi di mana hanya seorang sahaja yang suka dan seorang lagi tidak dalam sesuatu perkara.
2. Hidu Minat Memancing Isteri Dengan Perhatikan Gelagatnya
Minat isteri saya yang sebelum ni saya tak tahu iaitu memancing atau mengail. Saya memang tidak tahu langsung mengenai hal ini sehinggalah beberapa tahun selepas perkahwinan kami.
Dan saya perasan ibu mertua saya minat mengail di kampung, adik beradik lelaki isteri saya pun sama, beberapa kali dah mereka keluar memancing.
Apa yang saya perhatikan setiap kali balik kampung, isteri saya seringkali minta kebenaran untuk pergi mengail bersama ibunya. Ada juga kadang – kala si isteri tunjuk gambar adik – beradiknya yang membawa pulang hasil memancing mereka.
3. Kalau Minat Isteri Tak Sama, Suami Jangan Halang
Sejujurnya aktiviti memancing ini tidak pernah termasuk di dalam senarai aktiviti yang saya minat. Kemungkinan besar saya tidak ada kesabaran dalam menunggu ikan mengena dan perkara – perkara lain yang berkaitan dengannya.
Saya juga pernah memberitahu isteri mengenai hal ini. Mungkin atas sebab ini isteri saya tidak mengajak saya pergi memancing kerana beliau tahu saya tidak berminat agaknya.
4. Bila Dah Sedar Kesukaan Isteri, Cepat-cepat Beri Restu
Saban hari saya menunggu peluang untuk realisasikan minatnya. Sehinggalah hari ini apabila keluarga kakak si isteri datang dari kampung dan mereka berpakat dengan adik ipar untuk pergi memancing dan mengail udang.
Baru sahaja isteri nak mula bercerita panjang untuk cuba memujuk, saya dah terus bersetuju. Bukan selalu peluang ini datang. Nak kami pergi sendiri mungkin susah dengan anak – anak lagi.
Isteri Yang Dapat Me Time Akan Bahagiakan Suami Till Jannah
Dia punya seronok, terus dia siapkan makanan tengahari saya dan anak. Saya bantu dia siapkan makanan saya sendiri kerana dia sudah agak lewat. Jadi hari ini saya ambil alih tugas siapkan kakak untuk ke sekolah dan menjaga si adik.
Kebetulan saya bekerja syif malam. Agak kelam kabut jugak tadi. Saya memang tak pandai pakaikan tudung anak. Jadi, ada dalam 5 minit jugak la bergaduh dengan anak tudung dan tudung tu.
Si kakak beberapa kali cakap, “sengetlah papa“. Pada masa ini barulah saya sedar betapa geramnya bila tudung tak jadi. Hehehe..
Nasib baik juga si adik ok lepas kakaknya ke sekolah. Makan pun mudah je suap. Tapi berkali – kali jugak dengan tiba – tiba dia cakap “mama?” Seperti bertanya dimanakah mama dia. Jarang sangat mereka berdua ni berenggang.
Bila tengok gambar yang mereka hantar kat group whatsapp keluarga, nampak jelas kegembiraan isteri memancing dan mengail bersama adik – beradiknya tanpa perlu risau mengenai anak – anak kerana mereka dalam jagaan saya.
Alhamdulillah saya berjaya. Berjaya menggembirakan hati isteri saya walaupun tidak membuat aktiviti itu bersama.
Saya juga berjaya memberi ME TIME kepada isteri bersama adik – beradiknya. Kejayaan – kejayaan kecil inilah yang memberi semangat buat saya untuk terus berbakti kepada keluarga ini.
Saya amat percaya dan sentiasa berpegang dengan idea “isteri yang gembira akan menghasilkan keluarga yang gembira“. Kerana isteri ini umpama tulang belakang kepada keluarga. Apabila dia suram, suramlah keluarga itu. Bila dia bahagia, dia akan sentiasa membahagiakan.
Nasihat saya kepada semua suami mahupun isteri, bukalah mata dan dengarlah petunjuk – petunjuk kecil oleh pasangan anda. Ini bakal memberi tanggapan baik yang anda menghormati mereka.
Dan tak lupa juga, udang – udang yang mereka kail tu akan berakhir di atas meja makan kami juga.
Bila kita tengok agak susah untuk melihat air mata suami. Ada pun mungkin sebab kejadian-kejadian sedih yang mungkin berlaku pada ahli keluarga. Selepas itu, rasanya susah nak lihat air matanya.
Kalu dibandingkan dengan isteri atau wanita, air mata ini memang sinonim dengannya. Kadang-kadang perkara yang remeh pun dia boleh mengalirkan air mata.
Begitu juga dalam rumah tangga, dalam tempoh perkahwinan itu, pernah tak, anda melihat pasangan anda menitiskan air mata? Hanya yang kelihatan adalah air mata isteri sahaja. Mahalnya air mata suami. Ikuti kupasan tentang isu ini bersama Puan Asniza Mamat, Pegawai Psychology Kanan, Pusat Asasi UIA.
Lumrah Wanita
Bagi wanita, menangis itu melegakan. Mudah menangis bukanlah dikaitkan dengan sifat keanak-anakan sebaliknya, ia adalah ruang luahan apabila kata-kata tidak mampu untuk digambarkan.
Lelaki juga seperti wanita. Mereka memiliki sensitif spot (soft spot) yang tersendiri dan apabila spot ini disentuh dan ditekan keterlaluan ia juga boleh membuat dia menangis, cuma sukar untuk dia tunjukkan secara terang-terangan.
Sebenarnya, lelaki sukar memperlihatkan air mata mereka kerana sifat semula jadi lelaki untuk melindungi dan menjadi benteng yang kuat walau pun dalam hati mereka juga remuk dan parah.
Ada lelaki menangis kerana tekanan orang yang dia sayang, keluarga atau isteri, ada yang menangis ketika bermunajat pada Allah, ada yang menangis kerana dikhianati sahabat. Cuma kadang ia mudah terlihat dan kadang sukar disebabkan memilih untuk tidak diperlihatkan
Hati Sudah Terguris
Ketahuilah, apabila suami menangis, itu tandanya dia sudah buntu, lemas, tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Jika hati mereka terguris dengan kata-kata yang terlalu tajam dan penghinaan juga mampu membuat mereka menangis terutama dari seorang isteri.
Apabila suami menangis, bermakna hatinya sangat terguris. Bergantung pada situasi mereka, menangis itu tanda sayang yang sangat dalam dan apabila suasana mampu dipulihkan mungkin hubungan masih berjalan dengan baik atau sebaliknya.
Tawan Hati Suami
Bagi isteri, jika sifat diri membuatkan jatuhnya air mata suami, segeralah memohon maaf kerana maaf itu adalah ‘master eraser’.
Berbincanglah dari hati ke hati dengan matlamat kebaikan bersama bukan untuk menang atau mencari salah. Lelaki suka bila dirinya didahulukan dan diutamakan. Sesuai dengan fitrah seorang ketua keluarga.
Nasihat Untuk Isteri
Sebagai isteri perlu belajar memahami suami, bagaimana didikannya, tahap pengetahuannya dan suai padankan bagaimana peranan yang perlu dimainkan isteri agar mampu menjadi pasangan yang didambakan bukan menghambarkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.