Hujung minggu dalam bulan Syawal adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana ada sahaja jemputan daripada sanak saudara mahupun kawan-kawan untuk majlis rumah terbuka. kadang-kadang dalam satu hari, ada 5-6 jemputan, mampukah anda pergi untuk kesemua tempat.
Sempat atau tidak, itu tidak menjadi masalah tetapi masalah lain timbul kerana anda tidak mampu menolak makanan enak-enak yang dihidangkan oleh tuan rumah. Silap haribualan, dalam tempoh sebulan syawal, berat badan naik sebanyak 3-4kg. Haru biru pula untuk turunkan balik ke berat asal.
Usah risau dan bimbang, masih ada cara untuk anda mengawalnya. Ketahui tip-tip sihat daripada pakar diet, PN ROSE HANIZAN MAT HASSAN, KPJ PERDANA, KOTA BHARU, KELANTAN semasa menghadiri Rumah Terbuka.
Semasa di bulan Ramadan, ramai di antara kita mengambil kesempatan menurunkan berat badan. Namun, apabila tiba musim perayaan, kebanyakannya mengalami kenaikan berat badan selepas 15 hari menyambut hari raya.
Keadaan ini boleh terjadi kerana tiada keseimbangan di antara pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga. Pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak selain dapat meningkatkan risiko kepada penyakit kronik.
Apabila menghadiri Rumah Terbuka, secara tidak langsung, setiap orang akan mempunyai selera makan yang luar biasa kerana makanan yang dihidangkan adalah menyelerakan dan lazat. Namun begitu, anda perlulah bijak dalam memilih makanan dan sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat ketika meraikan Hari Raya.
Kita perlu ingat bahawa kebanyakan rumah mempunyai hidangan makanan yang lebih kurang sama. Jadi, konsep sedikit dan pelbagai masih perlu digunakan dan waspada dengan kuantiti makanan yang anda ambil.
1.Makan dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil.
2.Pilih makanan yang rendah kalori seperti buah–buahan serta makanan yang kurang minyak, lemak dan santan.
3.Pilih makanan yang tinggi serat untuk mengelakkan sembelit.
4.Hadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol, biskut raya, kek, ‘cookies’ dan sebagainya.
5.Pilih buah–buahan segar sebagai snek atau pencuci mulut.
6.Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek.
7.Minum air kosong berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minuman yang manis.
8.Jangan lupa senaman. Perlu lebih kerap lakukan kerana undangan rumah terbuka boleh dikatakan setiap hari atau mingguJgn lupa senaman ye..lebih kerap perlu lakukan kerana undangan rumah terbuka boleh dikatakan setiap hari ada.