Dalam keadaan sekarang, boleh dikatakan duit adalah segalanya-galanya dalam meneruskan kehidupan. Tanpa duit, semua benda yang dilakukan tidak berhasil. Duit juga boleh menyebabkan pergaduhan dan perceraian berlaku antara suami isteri.
Inilah yang dibincangkan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga tentang keluarga yang sihat datangnya bila rezeki yang dibawa oleh suami isteri itu berkat.
Untitled design (6).
Keluarga Bahagia
Secara asasnya, pasangan suami isteri yang sihat dari segi emosi dan mental punyai impian untuk miliki sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dari segi:
• Bebas daripada krisis kesihatan
• Bebas daripada krisis kewangan
• Miliki pengangkutan yang berkualiti
• Saiz rumah dan lokasi rumah yang bagus
• Punyai jiran tetangga yang berpekerti mulia
• Budaya bercakap seisi keluarga yang harmoni
• Miliki perolehan sumber kewangan yang mampan
Persoalannya, apakah ilmu sebenar yang berhubung rezeki yang berkat menurut syariat Islam? Jelasnya, terdapat juga pandangan kalangan bijak pandai yang berkata bahawa rezeki yang berkat itu bersifat “Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan”.
Rezeki Berkat
Punca rezeki jadi berkat, mudah bertambah dan cukup dari semasa ke semasa apabila kita budayakan sikap suka bersedekah.
Sebaliknya, sikap kedekut, memakan riba, memberi dan menerima rasuah, menipu dalam jual beli, mencuri harta orang lain dan memakan harta anak yatim akan menjadikan seseorang itu rezekinya tidak berkat. Kesannya ialah timbul penyakit tekanan emosi, mudah stres, ditimpa pelbagai krisis hidup dan wajahnya akan kelihatan masam, menakutkan dan tidak dipercayai oleh orang kebanyakan.
Kesan hidup dengan rezeki yang tidak berkat banyak diperkatakan dan di bahas oleh kalangan ahli psikologi. Di antara tanda-tanda hidup orang yang rezekinya tidak berkat ialah:
Ada kerja tetapi kerjanya tidak pernah siap
• Ada tindak usaha tetapi hasilnya tidak berbaloi
• Ada duit banyak namun terlalu cepat sangat habis
• Ada banyak masa tetapi sentiasa terlepas begitu sahaja
• Ada banyak kawan tetapi tidak seorang pun sudi membantunya
• Ada bakat istimewa tetapi tidak boleh dimanfaat oleh diri sendiri dan orang lain.
Setiap ahli keluarga mesti ambil berat soal rezeki berkat (halal) ini kerana jika dipandang remeh, ia akan menatijahkan barah psikososial ummah yang impaknya bukan sahaja memberi imej buruk terhadap bangsa Melayu malah ummah Islam itu sendiri.
Ini adalah kerana, rezeki (duit, makanan, pakaian, kenderaan, rumah kediaman dan seumpamanya) akan diguna, dimakan dan dinikmati bukan sahaja untuk diri sendiri malah juga buat pasangan dan anak-anak sendiri.
Seterusnya bagi memiliki setiap rezeki yang diterima sama ada banyak atau sedikit itu mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T maka kita perlulah juga meneliti perkara berikut :
1. Tidak meninggalkan sebarang perintah Allah seperti sembahyang dan mengeluarkan zakat sepanjang tempoh mencari rezeki.
2. Tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan maksiat seperti menipu, tidak amanah, tidak menepati masa, bertangguh kerja dan seumpamanya tatkala di tempat kerja.
3. Bekerja dengan niat untuk membantu diri sendiri dan orang lain dengan penuh ihsan, jujur dan tekun.
4. Menjaga lidah dan anggota badan kita daripada merosakkan maruah diri, keluarga dan orang lain.
5. Yakin bahawa Allah yang memberi kita rezeki. Justeru, kepada Allah sahaja kita berserah, mengadu dan berharap.
Kaitan Rezeki Dengan Keluarga
Banyak bukti yang terkumpul dalam sirah pengalaman hidup saya sebagai pakar kaunseling keluarga di Malaysia mendapati jika seseorang suami atau isteri memberi makan minum, pakaian dan rumah tempat tinggal hatta kereta motor yang mereka guna bersumber rezeki yang haram, akan menghadapi krisis-krisis rumah tangga yang kadangkala tak sanggup untuk saya dengar dan sukar untuk saya interpretasikan. Misalnya isu;
• Ada kereta, tetapi kereta asyik rosak
• Ada kawan, tetapi kawan makan kawan
• Ada jiran, tetapi jiran tak hormati hak jiran
• Ada pekerjaan, tetapi asyik tukar-tukar pekerjaan
• Ada isteri, tetapi isteri tidak taat kepada perintah isteri
• Ada kemahuan untuk berjaya, tetapi susah nak bertindak dan mencuba jaya.
• Ada anak tetapi anak mengalami kecelaruan mental (mental illness disorder)
Peranan Suami
Jelasnya, rezeki yang cukup dan berkat banyak berkaitan dengan sikap suami yang:
• Mendirikan solat sunat Dhuha kerana solat sunat Dhuha menjemput rezeki yang banyak.
• Bangun malam (Qiamullail) untuk laksana solat Hajat. Dia ingat dan sedar bahawa Allah yang kurniakan rezeki. Jika kita bersungguh meminta daripadanya, maka dia akan kurniakan.
• Rajin bekerja, berdisiplin tinggi dan fokus untuk mencari duit, mengumpul duit dan merancang kegunaan duit keluarga demi masa depan yang selesa dan selamat daripada masalah kewangan.
• Memastikan sumber pendapatan keluarga daripada pekerjaan yang halal.
• Membayar zakat.
• Berjimat cermat
Peranan Isteri
Isteri mesti bersikap pengimbang dalam membina keluarga yang bahagia sambil menikmati rezeki yang halal, berkat dan cukup. Banyak orang perempuan mudah sakit hati, murung, tertekan dan bimbang jika miliki keadaan kewangan keluarga yang bermasalah, tidak cukup dan paling teruk daripada sumber yang tidak halal misalnya menggunakan duit curi, rasuah dan seumpamanya.
Isteri yang baik dari aspek mengundang rezeki yang berkat ialah seperti berikut;
• Istiqamah melaksana solat sunat Dhuha
• Sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang diperoleh dari aspek rezeki kewangan, kesihatan, pakaian, makanan dan kenderaan.
• Sentiasa peka dengan kebajikan suami dan anak-anak dari segi makan minum, kebersihan dan keharmonian emosi suami dan anak-anak
• Memastikan diri sebagai faktor penenang dan inspirasi kepada suami untuk bersungguh mencari rezeki yang diperlukan dan halal sumbernya.
• Sentiasa berusaha menggunakan perkataan yang lembut dan tingkah laku yang lemah lembut dalam melayan suami dan anak-anak di rumah.
Tujuan pihak isteri menampilkan sikap tenang dan lembut di dalam rumah ialah supaya pihak suami tidak tertekan selepas pulang dari kerja. Manakala fitrah pihak suami bahawa mereka amat memerlukan sikap isteri yang bijak dan bernas dalam memberikan kata-kata perangsang agar suami gigih bekerja dan berusaha mencari rezeki yang halal dan cukup di luar sana. Kata-kata lembut dan wajah manis yang ditunjukkan oleh isteri akan membina motivasi diri yang tinggi oleh setiap suami yang berakal, waras, beragama dan bertimbang rasa.