Memang nak buat baik amat sukar. Ada saja alasan diberikan. Belum sampai ‘seru’, belum bersedia, tak cukup ikhlas dan macam-macam lagi. Sebenarnya tak perlu tunggu masa tertentu kalau nak mula buat perubahan ke arah kebaikan. Yang penting, kena didik hati dulu.
Ikuti perkongsian daripada Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), juga penulis ruangan REDA ILAHI di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Alasan
Saya tidak akan lupa satu perbualan. Kala itu, saya masih di alam persekolahan. Saya punya seorang kenalan, perempuan. Ketika di sekolah, dia mengenakan tudung. Di luar sekolah, dia membukanya. Saya merasa terganggu. Sehinggalah saya bertanya dan mendapat jawapan.
“Aku tak mahu memakai tudung kerana orang. Biarlah ia datang dari keikhlasan hati aku sendiri.” Ujarnya. Ringkas sekali.
Didik hati untuk berubah.
Ads
Berubah Dari Hati
Saya percaya, isu ini bukan sekadar dia seorang. Ramai juga begitu. Mahu berubah, tetapi bukan kerana orang. Ia perlu daripada hatinya sendiri. Kita tidak perlu berhujah isu hati. Memang dalam Islam, hati perlu jadi baik.
Imam Muslim meriwayatkan, nabi pernah berkata bahawa hati itulah sang raja yang akan menentukan segala. Jika hatinya baik, maka seluruh jasadnya menjadi baik. Tutur bicara. Mata dan telinga. Kaki dan tangannya.
Benarkah Ikhlas?
Isunya, benarkah setiap tindakan mesti datang dari hati yang ikhlas? Jika begitu, semua pekerjaan akan menjadi payah. Ini kerana tidak semua perkara dalam kehidupan ini, dikerjakan dengan ‘hati yang ikhlas’.
Cuba kita hitung. Ikhlaskah anak-anak kita untuk bangun pagi, mandi, solat dan pergi ke sekolah? Kita sendiri, adakah betul-betul ikhlas ke pejabat saban hari atau selalu mengimpikan cuti? Cuba tanya isteri, ikhlaskah dia mencuci pakaian, memasak makanan dan mengemas rumah? Atau dia rasa lebih enak jika si suaminya membantu, atau mencarikan pembantu.
Tanya Hati
Mari, kita tanya kepada pengguna jalan raya. Ikhlaskah ketika dia wajib mengambil kelas memandu, dan membayar kos yang tinggi untuk mendapatkan sekeping lesen memandu? Ikhlaskah seorang penunggang motorsikal memakai topi keledar? Ikhlaskah seorang pemandu yang wajib berhenti di persimpangan jalan – biar pun kosong – hanya kerana lampu di depannya merah menyala?
Ads
Ikhlaskah kita apabila wajib membuat pasport untuk ke luar negara? Ikhlaskah apabila wajib beratur di kaunter imigresen dan menunggu giliran disoal petugas? Ikhlaskah kita apabila wajib mengambil visa dan keluar segera apabila tamat waktunya?
Yang Sara Keluarga
Paling tidak, ikhlaskah seorang suami menggunakan hampir semua gajinya untuk menyara anak dan isterinya? Ikhlaskah si isteri mengorbankan masa rehatnya untuk keperluan suami dan anak-anak? Banyak lagi jika mahu dihitung. Namun saya ingin bertanya, ikhlaskah semua itu dikerjakan?
Saya sendiri tidak ikhlas mengambil lesen, memohon pasport dan menjawab segala pertanyaan pegawai imigresen di kaunter. Jika boleh, saya mahu bebas keluar masuk ke negara mana pun yang saya suka. Tinggal seberapa lama yang saya suka. Memandu tanpa lesen dan tidak perlu mematuhi semua peraturan jalan raya.
Ads
Alasan
Jadi, adakah saya boleh mengabaikan semua itu hanya dengan alasan ‘saya belum ikhlas’? Bolehkah pegawai JPJ, polis trafik atau imigresen menerima alasan saya, menunggu ikhlas baharu mahu mengambil lessen, passport dan mematuhi lampu merah?
Adakah seorang suami boleh menjawab kepada hakim di mahkamah syariah, dia tidak memberikan nafkah lahir dan batin kepada anak dan isterinya kerana belum ikhlas?
Bolehkah si ibu menjawab kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, membiarkan anak-anaknya terlantar tanpa makanan dan pakaian, hanya kerana dia belum benar-benar ikhlas membela mereka?
Semuanya, tidak akan diterima oleh pihak yang berkuasa. Ikhlas atau tidak, setiap orang yang dengan sengaja melanggar peraturan, tetap akan ditangkap, didakwa malah didenda.
Jika begitu, bolehkah kita menerima alasan, aku belum memakai tudung, aku belum solat, aku belum bayar zakat, hanya kerana aku belum ikhlas?
Didik Hati
Hati perlu dididik. Hati perlu dilentur. Hati perlu diasuh. Ikhlas benda yang wajib dipupuk. Jika perlu dipaksakan. Sama seperti sepohon mempelam. Jika sedari awal dibaja, diberikan air yang cukup dan dijaga dari makhluk perosak, maka natijahnya ialah buah yang enak. Manis sekali untuk dicicip isinya dan bijinya menjadi benih yang baik pula. Wallahuallam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kita sebagai manusia sudah tentu tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Kadang-kadang kita buat baik sekali pun mesti ada yang sakit hati atau boleh jadi timbul perasaan dengki.
Kita tak tahu hati orang, walaupun rambut sama hitam. Mungkin luaran orang itu amat baik tapi kita tak tahu dalamannya itu sakit hati pada kita.
Susahnya bila kita terlalu baik orang akan perkatakan. Ada yang sakit hati, cemburu, mara, dengki dan sebagainya.
Sebab itulah, kita sebagai makhluk Allah tidak akan terlepoas dari semua ini. Hanya sabar dan tak perlu nak melawan kerana ia akan menambahkan lagi rasa sakit hati. Inilah yang dikatakan ujian hidup.
Ingat apa yang berlaku ini sudah tertulis dan diaturkan olehNya. Ada pengajaran disebaliknya. Inilah yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakop tentang perkara ini.
Setiap apa yang kita lakukan terutamanya bila berkaitan dengan kebaikan tidak semestinya akan disenangi oleh semua orang.
Kadang benda keliling kita ni timing dia tu ngam-ngam je jadi sebab Allah nak bagi kita pengajaran.
Apa yang berlaku dalam kisah yang selalu kita baca di media sosial, yang ada kita sendiri tidak tahu puncanya. Jadi, kita kena pandang dari sudut berbeza:
alam hidup kita sentiasa datang orang dan waktu begini. Yang kita buat baik dan kita ikhlas sayang dia sepenuh hati, tapi dia ambik pisau cucuk belakang kita. Macam-macam dia adu domba. Dia burukkan kita dan fitnah kita.
Mula-mula kita pun ingat dia akan ikhlas macam kita juga. Tapi akhirnya Tuhan tunjuk.
Benda apa pun dalam dunia ni sentiasa saya yakin kalau kita tak buat jahat kat orang, Tuhan pasti akan tunjuk kebenaran pada kita. Pasti akhirnya kita akan dapat tahu juga.
Kita ingatkan, kita tak ada masalah apa dengan dia, baik dengan dia, tolong dia dan kita
doakan dia. Sayang seikhlas rasa. Tapi rupanya dia tak sayang kita macam kita sayang dia.
Sakitkan?
Tapi takpa.
Kawan Tikam Belakang
Kata sahabat baik saya, dua sebab je orang tikam belakang kita.
Pertama sebab dia lemah.
Kedua sebab kita kuat.
Atau boleh jadi juga…
Pertama sebab kita baik sangat.
Kedua sebab kita jahat sangat.
Baik sangat, Allah bagi ujian. Supaya bila kita sabar, Allah tambah lagi ganjaran pahala dan naikkan kita punya darjat. Lalu Allah sediakan bekal baik buat kita di akhirat.
Jahat sangat, Allah bagi teguran. Supaya bila kita sedar, Allah beri keampunan dan bersihkan dosa dalam diri. Lalu Allah tambahkan sifat sabar sebagai sifat peribadi.
Dua-dua pun baik.
Sebab Allah Maha Baik.
DIA tak buat sesuatu saja-saja dan Dia buat sesuatu untuk kita ambil ibrahnya. Untuk kita dapat ganjarannya. Dan untuk kita jadi matang kerananya.
Tenang.
#kaknis
Mingguan Wanita : Betul, apa yang berlaku itu ada pengajaran dan ingatan. Paling penting, hati kena sabar atas apa yang berlaku. Insya Allah, ada ganjaran yang menanti, kita tak tahu.
Bersyukur. Perkataan itu cukup mudah diluahkan di bibir, namun sejauh mana terkesan di hati? Bukan mudah untuk didik hati untuk bersyukur. Ikuti perkongsian ini daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor. FB: https://www.facebook.com/abuiqbalhakim
Ketika ini saya sedang mengetik komputer riba di perkarangan kampus Universiti Indonesia. Beberapa kali saya didatangi anak-anak kecil. Berusia lingkungan 10 tahun. Mereka menjual tisu muka. Harganya murah. Sebungkus RM1.50 sahaja.
Cari Rezeki Dengan Seragam Sekolah
Sewaktu saya menaiki jejantas, saya temui lagi anak-anak ini. Ada yang berusia remaja. Masih berseragam sekolah. Menjaja tisu juga. Isteri saya berkata, sebelum remaja lelaki berseragam sekolah menjual di situ, ada seorang anak kecil lelaki di tempatnya. Barangkali, mereka adik-beradik. Menjaja tisu demi segenggam rupiah. Demi bisa ke sekolah.
Bukan sekadar itu. Di sini, jika menaiki kereta di jalan yang jem, kita pasti berpapasan dengan para penjual ini. Bukan sekadar tisu, mereka menjual apa sahaja. Dari air mineral sehinggalah makanan ringan. Biar panas, mereka tahan. Ada ibu yang menggendong anak kecil, meraih simpati dengan wajah sayu. Juga nenek tua yang hitam. Ada yang mengecat diri sendiri lalu beraksi bagai ‘patung bernyawa’, sambil menghulurkan kotak minta simpati.
Bersyukur Kita Lahir Di Malaysia
Kita mungkin tidak dapat melihat senario berkenaan di Malaysia. Jika ada pun yang mencari derma, mereka bukan anak-anak kita. Wajah mereka wajah Myanmar. Namun, di sini (Indonesia), jauh di sudut hati saya merasa pilu. Ya, anak-anak kecil penjual tisu. Mencari belanja sekolah. Dengan seragam yang kusam. Di tepian jalan berjam-jam.
Di sinilah saya sering berpesan kepada diri, juga anak-anak. Betapa kita bertuah dilahirkan di bumi yang namanya Malaysia. Benar, ada kalanya kita diuji. Riak-riak politik yang menjentik. Pasaran saham yang menukik (menjunam). Harga barangan yang menanjak. Itu dan ini. Namun percayalah, kita masih amat jauh beruntung.
Rezeki Menanti
Kehidupan kita berjalan indah. Tidak ada anak-anak tertinggal sekolah. Benar, kita bising dengan pinjaman pengajian yang tinggi. Namun percayalah. Sehabis belajar, pekerjaan banyak menanti. Asal jangan malas atau memilih. Kita tidak perlu mengintai jauh ke luar negeri. Mencari rezeki, meninggalkan ibu bapa, anak isteri.
Kehidupan kita sedari anak berjalan mulus. Benar semuanya memerlukan fulus. Namun keluar sahaja rumah, pasti sore nanti kita bawa wang. Namun sedarkah kita, beberapa teman saya dari tanah seberang berkata. “Di negara kami, keluar pagi, sore nanti belum tentu saku terisi.”
Kehidupan kita memang mencabar. Namun kita masih mampu tersenyum. Banyak bantuan dihulurkan kerajaan. Khususnya golongan miskin (B40), banyak institusi yang menjamin. Pusat zakat, JKM dan apa sahajalah. Sedangkan ada orang lain, di belahan dunia lain, ada yang terlantar kerana segalanya tiada di sisi mereka. Biar pintar, belum tentu bisa belajar. Natijahnya apa?
Didik Diri Untuk Bersyukur
Ya, ia mendidik kita untuk bersyukur. Rasa syukur yang wajib dipamerkan. Bukan sekadar disimpan. Zahirkan dengan perbuatan. Menjadi umat yang lebih prihatin. Saling menjaga. Tidak bertelingkah. Menegakkan keadilan. Menjauhi rasuah. Tanpa kecuali. Rakyat atau pemerintah.
Kita boleh mulakan. Ya, dengan langkah paling mudah. Misalnya, tidak membuang sampah merata-rata. Atau tidak merasa malu mengutip sampah di depan mata. Mematuhi lampu merah di jalan raya. Menjimatkan elektrik dan air. Menebarkan senyum dan salam. Membantu membuka pintu. Menolong mengangkat barangan. Hatta mengucapkan terima kasih. Jua senyum di wajah.
Menyumbang Untuk Kebaikan
Ya. Kita hendaklah berusaha menjadi rakyat Malaysia yang membanggakan. Menjadi rakyat Malaysia yang menyumbang. Ia adalah tuntutan. Jangan sampai kita tersedar dengan keamanan, saat bangunan sudah berantakan. Marilah menyintai rasa kesatuan. Menyintai watan. Kata Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, itulah pra syarat kemajuan.
Percayalah, kita ditakdirkan menjadi rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada banyak perkara yang patut menjadi tujuan. Menyumbang untuk kebaikan. Membanggakan. Paling tidak pun, tidak menyusahkan. Wallahuallam.
Catatan ringkas di Depok, Indonesia pada 4 Mac 2020.
Potong Rambut Di Salon, Betul Ke Muslimah Kena Bawa Balik Tanam
Potong rambut di salon, apa yang anda perlu buat dengan lebihan rambut yang sudah dipotong itu? Paling tidak kita biarkan tukang gunting uruskan.. betul tak? Rupanya sebaik dipotong, rambut perlu ditanam ya mak-mak. Hadam penjelasan yang dikongsikan oleh pendakwah bebas, yang juga penulis buku, Ustaz Mustafar Mohd Suki.
Apatah lagi rambut itu sendiri adalah aurat bagi wanita. Yang mana ia ialah bahagian wajib yang perlu dipelihara daripada dilihat oleh mereka yang bukan mahram. Namun, bagaimana cara yang sesuai malah terbaik untuk membuang atau melupuskan rambut yang telah dipotong supaya aurat wanita ini tak dilihat oleh sesiapa pun.
MEMOTONG RAMBUT BAGI WANITA ASALNYA ADALAH DIHARUSKAN OLEH SYARAK. TETAPI MESTILAH TIDAK MENYERUPAI LELAKI, MENIRU ORANG KAFIR DAN SELAINNYA.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim yang mana Isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah memotong rambut mereka. Para ulama berbeza pandangan dan pendapat berkenaan hukum rambut wanita yang telah dipotong sama ada ia dikira sebagai aurat atau tidak.
Mazhab Syafie menyatakan, ia ialah aurat dan wajib dipelihara daripada pandangan bukan mahram. Sementara itu, Mazhab Hanbali tidak menganggapnya sebagai aurat kerana ia perkara yang sukar dielakkan seperti rambut, bulu dan selainnya.
Cara Urus Lebihan Rambut Yang Dah Dipotong
Adapun, cara menguruskannya yang paling terbaik adalah dengan menanamnya dan ia termasuklah kuku dan bulu-bulu seperti pandangan Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dalam Mazhab Syafie.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...