
Niat wanita nak bantu suami bab kewangan rumah tangga, tetapi bila dah biasa terlalu memberi ada pula sesetengah suami yang ambil peluang sampai semua benda isteri yang bayar!
Inilah realiti hari ini, disebabkan ekonomi semakin tenat… isteri yang patut jaga anak rela keluar mencari rezeki demi membantu suami. Bila duduk saja jadi suri rumah, ada pula mulut-mulut jahat yang bersuara suruh belajar usaha mencari rezeki bantu suami mana yang patut. Eh… ehh… macam mana bab anak?
Haaa… nak tutup mulut orang tak mampu tetapi untuk membuka mata dan mata orang, tolong baca perkongsian Khairunnisa Nadiah II ini agar anda tak terjerat dan dijerat dengan soal NAFKAH RUMAH TANGGA…
Pantang saya orang duk cakap suruh cari duit sendiri. Supaya tak bebankan suami. Supaya suami boleh itu dan ini.
Aipp..
Nafkah tu Allah kata siapa yang wajib lunaskan? Suami ka isteri? Suami. Sebab apa? Sebab Allah tahu dan dah cipta lelaki ni kudrat extra dari isteri. Kekuatan perempuan ialah pada mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak.
Tak kata pun salah perempuan cari duit sendiri. Tapi, bab nafkah biarlah suami yang langsaikan. Sekurang-kurangnya yang wajib.
Sebab perempuan ini ada satu sifat. Bila dia dah penat. Suami pula buat hal. Mulalah laju mulutnya mengungkit segala kebaikan yang diberikan kepada suami. Sedangkan sebelum ini dia kata ikhlas nak tolong suami. Cik adik, ikhlas makna lepas bagi terus lupa. Lupa bagi berapa, dimana, bila. Sia-sia kebaikkan kita.

Toksah jerat diri sendiri. Lelaki buat kerja lelaki. Kita perempuan buat kerja kita. Nak bantu juga suami? Takde masalah. Tapi biarlah perkara asas yang wajib suami langsaikan, dia yang buat. Biarpun sederhana, asalkan dia buat. Ajar suami bertanggungjawab.
Jangan ambil seluruh tanggungjawab suami. Takut-takut suami pergi menunaikan tanggungjawab kat orang lain pula. Yelah, semua tanggungjawab isteri dah sebat, tu yang suami kata mampu tu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pesan Buat Anak Baru Bekerja, Dahulukan Untuk Mak Ayah, Hidup Berkat!

Isi Kandungan
ToggleDalam keadaan sekarang ini, sangat penting untuk kita rancang kewangan sebaik mungkin. Jangan fikir dapat gaji bulan ini terus dihabiskan dengan membeli macam-macam. Lebih-lebih lagi bila baru bekerja dan nak merasa duit gaji.
Sekurang-kurangnya, masa awal-awal inilah kita perlu rancang kewangan dengan sebaik mungkin. Tak perlu rasa nak berjoli sana sini sehingga duit habis tidak tahu ke mana pergi.
Malah, sebagai mak ayah tentu sekali ingin melihat anak-anaknya berjaya dan peroleh kerjaya yang hebat-hebat. Duit gaji digunakan sebaiknya untuk masa depan. Memang mak ayah tidak minta duit tersebut tapi sebolehnya ingin melihat anaknya rancang kewangan sebaik mungkin.
Buat anak-anak yang baru menempuh alam pekerjaan, cuba hayati apa yang dikatakan oleh seorang ibu terutamanya dalam rancang kewangan. Moga ia memberi manfaat.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bangun Malam & Doa, Amalan Seorang IBU Jadi ASBAB Kejayaan Anak, Hebatnya!
Anak Tak Dengar Cakap Bukan DEGIL, Mak Ayah Gunalah Bahasa Mudah Bukan BEBEL
Info Lebih Menarik Lagi DI SINI
Rancang Kewangan Demi Masa Mendatang
Sudah menjadi sifat semula jadi seorang ibu atau ayah yang mahukan anak-anaknya lebih berjaya dari mereka.
Sebagai seorang manusia biasa, Akak banyak melakukan kesilapan di waktu muda. Jadi, kalau boleh, akak tidak mahu anak-anak melakukan kesilapan yang sama terutama sekali dalam merancang kewangan.
Semasa anak baru mula bekerja, inilah antara pesanan kami untuknya.
1. Sesibuk mana pun kita, solat fardhu 5 waktu wajib ditunaikan.
2. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, amanah, jujur dan ikhlas. InsyaAllah rezeki akan lebih berkat.
3. Senaraikan apa yang hendak dicapai dalam masa 6 bulan, 1 tahun, 3 tahun dan seterusnya.
4. Buat simpanan sekurang-kurangnya 50% dari gaji.
Kalau nak simpan lebih dari tu lagi bagus.
5. Pastikan bina simpanan untuk 6 bulan perbelanjaan secepat mungkin.
Selebihnya nanti, boleh digunakan untuk membuat pelaburan.
6. Bayar zakat.
Mula-mula zakat pendapatan. Bila dah ada simpanan, jangan lupa bayar zakat simpanan.
7. Berbelanja secara berhemah.
Beli barang yang kita perlu sahaja dan bukan yang kita mahu.
(Determine NEEDS vs WANTS)
8. Berjimat cermat adalah amalan yang sangat baik.
Sewaktu berjimat, pastikan jangan sampai mengambil hak orang lain.
Jauhi sama sekali dari sifat kedekut. Sekali sekala belanja keluarga dan kawan tidak akan menjadikan kita miskin.
9. Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Makan sekadar perlu.
Nak makan sedap boleh masak sendiri dan bawa bekal ke pejabat.
10. Tak perlu layan kopi dan kafe hipster atau air viral.
Kalau kawan ajak keluar minum, pergi ke kedai yang menawarkan harga berpatutan. Di situ juga ada air dan makanan yang sedap-sedap.
11. Sedekah itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan.
Seeloknya setiap hari selepas solat Subuh.
Dan pada setiap hari Jumaat, masukkan sekurang-kurangnya sekeping not merah ke dalam tabung. Kalau nak masuk lebih, lagi bagus.
12. Bila dapat gaji, jangan lupa beri duit pada Abi dan Ummi walaupun kami berdua mempunyai pendapatan yang mencukupi.
Yang demikian insyaAllah akan dimurahkan lagi rezeki dan dipermudahkan segala urusan kehidupan.
13. Tak perlu nak beli kereta baru. Kereta yang ada tu jaga baik-baik dan masih boleh digunakan untuk beberapa tahun lagi.
14. Beli rumah dahulu sebelum beli kereta.
Bila dah mampu beli kereta nanti, pastikan bayaran ansuran bulanan datang dari pendapatan sampingan dan ansuran tersebut tidak melebihi 15% dari jumlah gaji.
Kerana beli kereta bukan setakat mampu bayar ansuran bulanan.
Tol, minyak, penyelenggaraan, insuran dan cukai juga harus diambil kira.
15. Di usia muda ini, manfaatkan tenaga yang ada untuk melakukan perkara-perkara baik. Dan di waktu senggang hujung minggu, cari peluang untuk memperolehi pendapatan tambahan.
Pendapatan ini akan mempercepatkan kita untuk memenuhi impian hidup.
16. Berkawan biar ramai, bermusuh jangan ada sorang pun.
Kalau ada kawan yang nak pinjam duit, beri setakat apa yang kita mampu sahaja.
Dan sekiranya hutang itu tidak dibayar, kita tidak perlu bermasam muka dan tak putus tali persahabatan.
17. Jaga rumah/bilik sewa sebagaimana kita menjaga harta sendiri.
Moga Allah sentiasa pelihara dan lindungi anak-anak kita semua yang jauh dari mata.
Aaminn Allahumma Aaminn.
– coretankakN
Mingguan Wanita : Moga ia menjadi rujukan buat anak-anak.
Sumber: Noraini Maskam
Bangkit Wanita Mingguan Wanita

Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Jangan Mudah Lafaz Talak, Kesalahan ‘Jenayah Syariah’ Bila Lafaz Luar Mahkamah!

Isi Kandungan
ToggleKalau dah suka, apa saja sanggup diredah dan berkorban apa saja. Tapi, kalau dah tak suka, cepat sangat lafaz talak, walaupun hanya kesalahan kecil. Lebih teruk bukan cara yang betul.
Lafaz talak tak boleh sewenang-wenangnya dilakukan di luar mahkamah. Mungkin ia satu kesalahan jenayah syariah. Kena faham betul-betul apa yang dikongsikan oleh tuan Khairul Fahmi Ramli, peguam syarie dalam perkongsiannya.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Tak Semua Nafkah Boleh Dituntut Isteri Dalam Iddah, Kena Tahu Jenis Lafaz Talak
Lafaz Cerai Secara KINAYAH Perlu Dibuat Pengesahan Bila TIMBUL Was-was
Info Lebih Menarik DI SINI
Lafaz Talak, Kena Fikir Kesannya!
Baru-baru ini viral seorang DJ melafazkan talak 3 secara langsung melalui Facebook (FB) dan ramai followers yang tanya saya “Sah ke lafaz talak itu Puan?”
Jawapannya “SAH” jika rukun dan syarat talak dipenuhi.
Apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah sama ada di rumah atau di mana-mana selain di Mahkamah, ia adalah merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Perlu diingat, talak tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah.
Walau apa pun keadaan, contohnya suami didesak oleh isteri atau suami berkehendak sangat untuk melepaskan isteri, suami tetap perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu untuk melafazkan talak.
Tapi, jika suami telahpun melafazkan talak di luar mahkamah apa yang perlu suami isteri ini lakukan?
1. Isteri perlulah mencatat atau merakam perkataan yang dilafazkan oleh suami. Paling penting ialah apa perkataan yang dilafazkan, tarikh, masa dan siapa yang menyaksikan kejadian tersebut. Fakta-fakta ini penting untuk rujukan di Mahkamah kelak.
2. Suami isteri perlu mengasingkan tempat tidur. Walaupun perlu asing tempat tidur, tetapi pasangan masih boleh tinggal satu rumah. Pasangan juga tidak boleh melakukan hubungan kelamin demi untuk memelihara diri dan keturunan sehinggalah pengesahan lafaz cerai dapat dibuat selepas Mahkamah Syariah beroperasi semula.
3. Dapatkan nasihat guaman daripada pihak yang bertauliah. Perceraian adalah satu perkara yang sangat serius. Maka, pasangan yang terlibat dalam lafaz talak luar Mahkamah ini perlu seberapa segera mendapatkan nasihat dari pihak yang bertauliah agar pasangan mengetahui hala tuju hubungan.
4. Segera rujuk kepada Mahkamah Syariah. Apabila berlaku lafaz talak di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah, suami atau isteri perlu seberapa segera pergi ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat Pengesahan Lafaz Cerai. Ini adalah penting untuk mengetahui sama ada sah atau tidak lafaz talak tersebut dan berapa baki talak yang ada.
Hukuman Kesalahan Jenayah Syariah
Lafaz talak yang dibuat luar Mahkamah adalah kesalahan jenayah syariah. Jadi, apakah hukuman bagi kesalahan ini?
Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Oleh itu, bagi pasangan yang telah bercerai di luar Mahkamah dan ada kemudiannya yang rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah.
Perlu diingat, walaupun anda ada mendapatkan nasihat daripada peguam-peguam syarie atau ustaz-ustaz, anda tetap perlu ke Mahkamah untuk mengesahkan lafaz talak. Ini kerana undang-undang menyatakan hanya Hakim Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mengesahkan lafaz talak itu sama ada sah ataupun tidak.
Janganlah dipandang ringan hukum hakam perkahwinan. Sebagai seorang suami pula, janganlah sewenang-wenangnya melafazkan talak tanpa memikirkan kesannya. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Suami, janganlah mudahnya melafazkan talak seperti mudahnya melafazkan janji-janji.
Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan dan melindungi kita dalam mengemudikan rumahtangga.
Mingguan Wanita : Kalau dah tak suka, senang-senang hati lafaz talak. Jangan dibuat main-main.
Sumber: Fahmi Ramli
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kesan Nikah Siam Dan Nikah Sindiket, Masalah Menanti Di Kemudian Hari

Isi Kandungan
ToggleKesan dan akibat menjalankan pernikahan di sempadan atau menerusi sindiket tak boleh dipandang ringan. Wanita kena ambil tahu agar tidak tertipu dan menanggung masalah lebih besar pada masa akan datang,
“Betul kata puan, saya nikah di Seremban tapi diuruskan oleh pegawai JAIS dan dapat surat nikah JAIS. Bila dah cerai ni, saya nak daftar kes, baru tau surat nikah tu palsu…” – perkongsian seorang klien yang menyangka nikahnya selamat sebab tak bernikah di Siam.
Kes Berbeza
Realitinya, terdapat dua kes yang berbeza berkaitan kahwin di Siam tersebut. Pertama, sekiranya nikah tersebut dilakukan di wilayah Thailand oleh mereka yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia.
Maka permohonan boleh dilakukan di pejabat agama daerah terdekat dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan untuk mendapatkan pengesahan dan mendaftarkan perkahwinan tersebut. Denda juga akan dikenakan terhadap pasangan ini kerana berkahwin di luar negara tanpa kebenaran.
Kedua, perkahwinan dilakukan di wilayah Thailand oleh mereka yang tidak bertauliah. Ia akan merumitkan keadaan untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak Thailand juga kerana dibimbangi pernikahan tersebut tidak sah. Apabila keadaan ini berlaku maka ianya akan dikendalikan oleh Unit Penguatkuasa.
Baca artikel lain di sini:
Remaja Lelaki 18 Tahun Nekad NIKAH 2 Isteri Dalam 2 Minggu!
Setia Dengan Pasangan Lebih Mudah, BAHAGIA. Kalau Curang Hidup Tak Tenang!
Kalau Tahu Kesannya
Sebagai peringatan kepada golongan wanita malah gadis, elakkan perkahwinan yang melanggar undang-undang terutamanya yang melibatkan nikah di sempadan. Ia akan membawa kesan yang buruk di belakang hari.
Namun, kepada mereka yang telah melakukannya, pastikan perkahwinan itu mendapat pengesahan pihak berkuasa tempatan dan didaftarkan. Ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah akan menghalang seseorang isteri menuntut sebarang hak di dalam perkahwinannya apatah lagi selepas perkahwinannya.
Tak Perlu Lalui Prosedur Undang-Undang
Cara nikah yang menjadi pilihan kebanyakan pasangan kebelakangan ini juga ialah perkahwinan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertauliah atau bertauliah tetapi tidak perlu melalui prosedur ditetapkan undang-undang. Ini yang dinamakan nikah atau kahwin sindiket.
Perkahwinan ini dijalankan di kawasan sempadan Thailand atau di mana-mana kawasan lain di Malaysia oleh satu kumpulan atau orang perseorangan yang tidak mendapat kebenaran menjalankan upacara pernikahan daripada pihak berkuasa kerajaan.
Kebiasaannya, kumpulan atau orang perseorangan ini akan menyediakan segala kemudahan untuk pasangan melangsungkan perkahwinan termasuk menyediakan saksi dan wali untuk pihak perempuan.
Kesan Bila Perkahwinan Diragui
Masalah akan timbul kerana perkahwinan ini adalah diragui kesahihannya dan tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Sebagai contoh, perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah/ Thailand tetapi sijil perakuan yang dikeluarkan ialah sijil negeri Perak.
Terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan dengan kahwin sindiket ini. Sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah maka perkahwinan tersebut adalah dianggap sebagai sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan.
Kesan Buruk jika Berlaku Cerai
Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

Sekiranya perkahwinan itu dijalankan menggunakan wali yang diragui sah maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku maka akan timbul masalah untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak.
Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya.
Prosesnya Hampir Sama
Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya. Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan.
Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM 150.00.
Perkahwinan sindiket tidak melibatkan sebarang urusan dengan Jabatan Agama Islam sebaliknya perkahwinan biasa perlu didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Daerah.
Saya merayu kepada anak gadis dan kaum wanita, jangan terlibat dengan nikah di Siam atau nikah sindiket. Jika si lelaki benar cinta, pastikan anda menjadi miliknya dengan cara yang dijamin mudah, bukan hanya untuk hari nikah tapi juga hari-hari selepasnya.
Sumber: Suzana Ghazali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI