Nak Balik Johor Bas Ekspres Tiada, Dua Beranak Terkandas Berbekal RM50

Share

Masih ramai yang terpisah daripada keluarga tercinta apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Biar pun kerajaan baru-baru ini telah memberi peluang kepada rakyat untuk merentas negeri bagi yang terkandas, tetapi wanita ini gagal berbuat demikian ketika tempoh itu dilaksanakan.

Disebabkan Rohayu Ariffin hanya bergantung kepada pengangkutan awam membuatkan harapannya untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak hanya tinggal angan-angan apabila bas tidak dibenarkan beroperasi buat masa ini.

Sudah tentu perasaan ibu ini resah mengenangkan anak-anaknya yang lain bersama suami berpuasa dan tidak lama lagi menyambut hari raya tanpa kehadirannya. Hendak pulang ke Johor, bas ekspres tiada, sudahnya dua beranak ini terkandas dengan wang simpanan yang berbaki RM50.

Terkandas Sejak PKP Dilaksanakan

Seorang wanita bersama bayinya berusia 11 bulan ditemui dalam kesusahan di kawasan Panchor, Pengkalan Chepa, Kelantan apabila terkandas akibat ketiadaan bas ekspres untuk pulang ke Skudai, Johor.

Suri rumah berkenaan, Rohayu Ariffin, 40, ditemui berjalan kaki sambil mendukung bayi lelakinya pada jam 1 tengah hari.

Dia pada mulanya menaiki teksi dengan tambang RM60 dari Kampung Rantau Panjang ke Balai Polis Rantau Panjang kemudian menuju Stesen Bas Mutiara di Panji di sini untuk membeli tiket pulang.

“Saya mendapat surat kebenaran pulang daripada pihak polis dan pergi untuk membeli tiket bas tetapi kerani di kaunter memberitahu tidak ada tiket yang dijual dan tiada perjalanan bas ekspres serta meminta saya datang semula pada Isnin depan.

“Saya kemudian naik semula teksi yang sama tanpa arah tuju dan meminta pemandu menurunkan saya, ketika itu di kawasan berhampiran lampu isyarat Panchor,” katanya ketika ditemui di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ar-Arshadi Panchor, Pengkalan Chepa.

Baca juga di sini:

Ketetapan 4 Hari Jadual Pergerakan Rentas Negeri Balik Rumah Sendiri

Jika Mahu Merentas Sempadan Negeri, Ikuti Pesanan PDRM Ini Satu-Persatu

Benarkan Menumpang Buat Sementara Waktu

Dia kemudiannya pergi ke Pasti berkenaan untuk menumpang tandas bagi menukar lampin bayinya yang membuang air besar sebelum sekumpulan guru yang berada di pusat asuhan itu menawarkan bantuan.

“Saya ceritakan keadaan saya sebelum guru itu membenarkan saya bersama anak untuk tinggal sementara di Pasti itu selama lima hari sehingga 11 Mei ini.

“Selepas tarikh itu nanti saya sendiri buntu memikirkannya sebab tiket bas pun belum tentu ada dan saya belum pasti boleh balik ke Johor atau tidak,” katanya.

Wanita empat anak itu berkata, pada 15 Mac lalu, dia bersama bayinya itu pulang ke kampung halaman di Rantau Panjang menaiki bas ekspres bagi menghadiri kenduri perkahwinan adik tirinya pada 25 Mac lalu.

“Saya pulang tiga hari sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu menyebabkan saya terkandas sudah lebih sebulan di kampung.

“Empat lagi anak berusia 20 hingga 7 tahun ada bersama suami di Johor dan saya tidak boleh balik semula ke Rantau Panjang kerana keadaan keluarga di sana juga susah selain memerlukan lebih belanja,” katanya.

Tambahnya, duit di dalam simpanan hanya tinggal RM50 untuk makan dan minuman sepanjang tempoh terkandas ini.

Katanya, suaminya, Mohd Faizal Ismail, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori sudah dimaklumkan tentang perkara itu dan akan segera mencari penyelesaian kerana bimbang keadaannya.

“RM60 sudah disimpan siap-siap untuk membeli tiket. Mujurlah ada guru Pasti yang membantu menumpangkan sementara kelas murid untuk saya berehat dan tidur bersama anak kecil ini,”

katanya.

Rohayu Boleh Tinggal Seketika

Sementara itu, guru Pasti Ar-Arshadi Panchor, Siti Muriyani Ibrahim berkata, pihaknya membenarkan Rohayu tinggal sementara di pusat asuhan itu.

“Hari ini pejabat sebenarnya dibuka kepada ibu bapa untuk mengambil buku sekolah anak masing-masing dan kebetulan wanita ini datang untuk menumpang tandas.

“Dia boleh tinggal di sini buat seketika kerana sekolah pun belum dibuka kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

MW: Semoga dua beranak ini dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta dan Allah mempermudahkan urusannya. 

Published by
Nur Syazwani Mehat