Bukan semua hubungan menantu dengan mertua terjalin dengan baik. Yang dapat mertua best untunglah, tapi ada juga yang tak bernasib baik, pasti ada sahaja yang tidak kena. Ada sahaja perkara yang tidak betul sama ada di mata menantu dan juga mertua itu sendiri. Lumrah kehidupan bukan semua yang kita buat akan disukai orang lain, begitu juga dalam kehidupan bersama keluarga pasangan masing-masing. Lagi-lagi yang tinggal bersama keluarga mertua. Serba tak kena dibuatnya.
Bukan mudah untuk menyenangkan hati semua orang, tapi memandangkan keluarga mertua juga merupakan sebahagian daripada keluarga anda sendiri, maka perlu untuk anda berusaha supaya hubungan yang terjalin semakin baik. Sampai bila nak bermasam muka dengan ayah atau Ibu mertua kan? Panduan di bawah ini boleh anda cuba lakukan jika ada masalah yang berlaku antara anda dan mertua, kalau tak berkesan, mungkin cara terbaik adalah beri ruang antara satu sama lain, siapa tahu bila jauh di mata, jarang berjumpa terbit rasa rindu dan sedar dengan kesilapan yang tidak disedari Sebelum ini.
1. Ajak dan libatkan orang tua supaya mereka rasa masih diperlukan
Bagi mengatasi jurang berbezaan dua generasi, sesekali ajaklah mertua anda luangkan masa bersama minum di kafe kegemaran mereka. Perlakuan mereka mungkin sahaja didorong rasa kehilangan atau merasa tidak diperlukan lagi. Itu mungkin cara mereka untuk meraih perhatian anda.
2. Jangan lupa memuji ibu mertua anda tentang masakannya yang sedap dan caranya yang hebat dalam urusan menjaga rumah.
Tapi anda perlu bijak menyampaikannya. Teruskan memuji hingga mood nya sudah ok dan tunggu momen yang tepat untuk menyampaikannya.
3. Jika terdapat perselisihan faham, ajak berbincang.
Berkomunikasilah dengan baik, tanpa nada yang tinggi, menyalahkan atau protes. Sebaiknya ketika semua orang sedang tenang. Mulakan perbualan dengan baik tanpa menyentuh ego kedua orang tua kita. Biasalah bila dah tua hati cepat terusik, jadi bijaklah menuturkan kata-kata ya.
4. Bersikap ‘neutral’ jika anda tersepit di tengah antara konflik pasangan dengan orang tuanya.
Cuba tenangkan kedua pihak dan kalau perlu libatkan cucu bagi selesaikan masalah antara mereka. Atok dan nenek ni kalau fasal cucu mereka cair sikit kan.
5. Umur lebih muda, semestinya anda dan pasangan lebih bijak untuk mengalah
Sebaiknya cubalah mengalah kerana ayah dan Ibu mertua anda pastinya sudah berumur. Jaga hati mereka dan buatlah yang terbaik untuk anda dan keluarga. Tapi kalau masih tidak berkesan juga, berilah ruang untuk anda dan juga mereka. Semoga akan beroleh keputusan yang memberi kebaikan kepada semua pihak.
6. Jika perlu, cuba libatkan ahli keluarga yang lain
Jika keadaan anda dan mertua semakin keruh, sebaiknya cuba dapatkan pertolongan ahli keluarga yang lain seperti ipar duai atau makcik yang rapat dengan mereka. Pastikan orang yang menolong anda juga mahukan hubungan anda berdua kembali pulih.
7. Perlu ‘move on’ dan hidup berdikari di rumah sendiri
Pelbagai usaha telah dibuat, tapi nampaknya hubungan anda dengan mertua masih lagi sama. Mungkin ini masanya untuk anda keluar dan tinggal di rumah sendiri. Bincang dengan pasangan dan yakinkan dia bahawa ini cara yang terbaik untuk pulihkan hubungan. Dah berpindah jangan pula lupa untuk menjenguk mertua paling kurang seminggu sekali. Bila jauh di mata, tak tinggal bersama pasti rasa rindu akan timbul, inilah masanya anda boleh ambil hati mertua dan jalinkan hubungan baik. Siapa tahu ini permulaan untuk hubungan yang rapat dengan mertua anda.