Jangan dengar cerita orang lain pasal mentua, anda sepatutnya lalui sendiri sebab perangai mentua kita tak akan sama dengan orang lain.
Namun paling penting, baik menantu atau mentua, anda dulu kena tanam sikap positif dalam diri. In shaa Allah bahagia itu milik anda.
Macam yang saudara Firdaus Shakirin ini kongsikan, kalau nak menantu anggap mertua seperti ibunya sendiri, maka mulakan dari cara ini.
Ada yang bertanya, ibu mertua dengan ibu sendiri, sama level tak?
Ada yang kata tak sama level sebab dia bukan ibu kandung kita, dia bukan melahirkan kita, dia bukan membesarkan kita.
Sebenarnya, kita tetap kena anggap ibu mertua itu seperti ibu sendiri walaupun dia bukan melahirkan kita, walaupun dia tak ada pertalian darah dengan kita. Kita tetap perlu letak ibu mertua sebaris dengan ibu sendiri, cuma kadang-kadang yang menjadi sulit dan sukar untuk menganggapnya sedemikian adalah disebabkan penerimaannya terhadap diri kita sebagai menantu dia.
Penghormatan terhadap ibu mertua sama seperti penghormatan kita kepada ibu sendiri kerana dia juga seorang ibu.
Kemudian untuk mertua, kalau nak menantu anggap anda seperti ibunya sendiri, maka anda perlu menyayangi menantu sebagaimana anda menyayangi anak sendiri. Anda terlebih dahulu perlu menganggapnya sebagai seorang anak, sebelum dia menganggap anda sebagai seorang ibu.
Anda perlu menghargai menantu anda, jangan cari kesalahan dia. Jangan memperbandingkan dia dengan menantu-menantu yang lain. Anda perlu memberikan ruang kepada anak dan menantu anda. Anda perlu menghormati keputusan anak dan menantu anda.
Kehendak dan keperluan mereka dengan anda mungkin tak sama, maka anda perlu berlapang dada dgn cara mereka. Apa yang dibuat mereka, jangan menceritakan aib menantu kepada orang luar sebab seorang mertua yang baik tak akan menceritakan keburukan menantunya kepada orang lain.
Anda juga seorang menantu, maka anda lebih tahu bagaimana cara nak menyesuaikan diri dengan mertua. Maka, bimbinglah menantu anda.