Satu masa lalu wanita ini pernah mengalami masalah berat badan yang serius. Ketika mengajar di dalam kelas Najilla Abdul Hamid yang ketika itu berat badannya 89.9kg dan berketinggian 163cm hampir mengalami serangan strok. Beliau juga diarahkan mengambil ubat darah tinggi bagi mengelakkan risiko strok. Peristiwa menakutkan itu benar-benar memberi tamparan hebat buat dirinya, dan memberi peringatan kepadanya untuk lebih peka dengan kesihatan.
Najilla Abdul Hamid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan merupakan ibu kepada tiga cahaya mata; Muhd Amirul Hakim (20), Airynn Natasha (15) dan Airynna Sophia (13) dan isteri kepada Shahrol Nizam Suli mengakui dia sendiri tidak gembira dengan keadaan tubuhnya. Baru berusia awal 40-an, wanita ini sudah mula disapa dengan masalah obesiti dan hampir diserang strok membuatkan beliau nekad perlu berubah demi hidup yang lebih baik.
“Pertama kali menyertai program Workout Junkies pada bulan September 2018. Berat asal saya ketika itu 89.9kg ketinggian 163cm, obes tahap 3. Saya terpanggil untuk menguruskan badan apabila hampir pitam di dalam kelas sewaktu mengajar dan dikejarkan ke hospital. Hasil pemeriksaan doktor, saya mengalami tekanan darah tinggi 170/150 dan diarahkan mengambil ubat darah tinggi bagi mengelakkan risiko strok.
“Saya juga mengalami kesukaran untuk memanjat anak tangga terutamanya ke kelas yang letaknya di aras atas. Saya jadi cepat mengah kerana berat badan berlebihan. Sesungguhnya peristiwa ini benar-benar menakutkan saya. Sejujurnya saya tidak gembira dengan keadaan diri sendiri,”terang wanita yang juga merupakan seorang guru di SMK Tinggi Port Dickson, Negeri Sembilan, kepada Mingguan Wanita.
Turun berat badan bukan perkara mustahil
Tidak mahu terus terperangkap dengan situasi kesihatan membimbangkan, atas inisiatif mahu sihat dan bebas dari penyakit serius. Najilla mula mendaftarkan diri mengikuti kelas kecergasan bagi mendapatkan cara yang betul untuk bersenam. Tanpa ada asas ilmu yang betul, Najilla amat berharap ada perubahan besar yang berlaku ke atas dirinya sebaik mengikuti program kesihatan ini.
“Pada mulanya saya tiada target untuk turun berat badan sebenarnya. Ini kerana jauh disudut hati, saya merasakan ianya sesuatu yang mustahil. Niat saya menyertai program kecergasan dengan harapan dapat bersenam dengan cara yang betul dan badan ini dapat berpeluh. Walau bagaimanapun, sepanjang pengibatan saya dalam program ini, saya secara peribadi terinspirasi dengan dengan rakan-rakan workout yang berjaya menurunkan berat badan.
“Sokongan moral berterusan daripada jurulatih dan rakan-rakan seperjuangan memberi suntikan semangat luar biasa buat saya untuk komited. Selain belajar teknik senaman yang betul, saya juga diajar cara pengambilan makanan yang betul. Saya semakin peka dengan apa yang saya makan. Hasilnya saya fokus mengamalkan cara hidup sihat dan mula mengamalkan ‘eat clean’.
“Kali kedua menyertai program, kecergasan saya berjaya menurunkan berat badan sekitar satu ke dua kilogram. Dari situ saya yakin penurunan badan secara konsisten saban minggun meyakinkan saya menurunkan berat badan itu bukanlah satu perkara yang mustahil. Sejak itu, no turning back! Kami mula berlumba-lumba secara positif dengan rakan-rakan lain untuk mencapai BMI ideal,”kongsinya bahagia.
Selamat tinggal 25 kg
Berjaya mengurangkan berat sebanyak 25kg, saiz baju mula bertukar kepada saiz S daripada saiz terdahulu; XXL. Proses penurunan berat badan ini berlaku secara alami tanpa pengambilan produk kurus.
“Alhamdulillah, berkat terus menerus mencabar kemampuan diri dan komited untuk hidup lebih sihat dan bebas penyakit. Akhirnya membawa manfaat luar biasa buat diri ini. Saya akhirnya berjaya menyingkirkan 25kg dari tubuh ini. Jika dahulu saya menyarung baju bersaiz XXL, terkini saya menyarung saiz S. Proses pengurangan berat badan ini dilakukan dengan jayanya tanpa ada penglibatan sebarang produk kurus komersial.
“Saya juga diarahkan berhenti mengambil ubat darah tinggi atas arahan doktor. Badan kini lebih sihat, bertenaga dan cergas. Saya mula menyertai aktiviti aktif seperti mendaki gunung. Terbaru bersama jurulatih kecergasan dan teman-teman seangkatan, saya berjaya menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp (ABC) bersama suami pada November 2019 walaupun saya hanya mula hiking pada bulan Februari tahun lalu.
“Siapa sangka…saya yang dahulunya sukar mendaki anak tangga di sekolah, berjaya mendaki hingga ke puncak ABC. Sebelum ke ABC saya terlebih dahulu melakukan pendakian percubaan ke Gunung Angsi di Negeri Sembilan. Sejujurnya ia pengalaman yang tak terdaya tetapi besar manfaatnya buat diri ini. Syukur Alhamdulillah,”ujarnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI