Naik Status Tak Terima TETAMU, Harap Semua Faham Bukan Putuskan Silaturahim

Share

Syawal kali ini cukup berbeza daripada kelazimannya. Setiap tahun mungkin saat ini kita mula buat kira-kira ke rumah siapa yang bakal kita ziarah dahulu, dari pak long, pak ngah hinggalah mak su.

Namun sambutan hari raya kali ini lain dari yang lain apabila kita tidak digalakkan untuk menziarahi. Ada segelintir saudara-mara mula naik status yang tak dapat terima tetamu lebih-lebih lagi bagi keluarga yang memiliki golongan berisiko.

Oleh itu harap semua faham, tindakan ini bukan hendak putuskan silaturahim tetapi untuk kebaikan bersama. Ikuti perkongsian Anita Mat Daud ini:

Tradisi sambutan hari raya di rumah mak abah kami sangat meriah.

Jangan harap lah hendak pergi bertandang ke rumah orang lain untuk hari raya pertama dan kedua kerana rumah mak abah diserbu rombongan sanak saudara dan jiran tetangga.

Sudah jadi kewajipan bagi mak yang suka menjamu tetamu dengan ‘hidangan rare’ yang jarang jumpa pada pagi raya.


Selain dari lemang, rendang, lontong, nasi impit dan laksa Pahang , menu berhantu yang jadi rebutan ialah Ikan Patin masak Tempoyak, lengkap dengan nasi dan ulam-ulaman.

Air bukan dibancuh dalam jug, dalam tong terus macam majlis kenduri.

Bila lauk habis mak akan pastikan ada menu lain sebagai ganti. Peti ais penuh dengan lauk basah persediaan untuk memasak jika hidangan berkurangan.

Rumah mak abah sentiasa jadi tumpuan sanak saudara dan jiran tetangga kerana mak suka meraikan tetamu. Tak cukup tetamu datang sekadar di jamu kuih raya. Itu perangai mak kami.

Baca juga di sini:

Meriah Syawal, Tapi Jangan Lupa Jaga Solat Dan Aurat Mak Ayah Yang Sakit

Syukur Masih Rezeki Sambut Ramadan, Syawal Walaupun PKP, Jangan Salahkan Takdir

Kemeriahan Dari Pagi Hingga Ke Malam

Kemeriahan itu bukan pada waktu siang sahaja, berlarutan hingga ke malam. Tetamu keluar masuk silih berganti. Memang meriah, walaupun letih tapi mak ceria melayani tetamu.

Masa kecil dulu kami geram juga asyik kena duduk di dapur basuh pinggan yang tak putus-putus datang ke singki tak sempat kering sudah kena basuh lagi. Sekarang kami sudah biasa dan rasa seronok pula menikmati suasana hari raya yang sangat meriah. Sudah tak rasa penat sebab kami sudah sediakan pinggan dan cawan plastik…hihihi..

Tahun ini pertama kali dalam sejarah tiada sambutan hari raya seperti sebelum ini. Hari raya diraikan dengan penuh kesyukuran namun sangat berbeza.

Mak muat naik status Whatapps mohon maaf tidak menerima kunjungan pada tahun ini. Dalam FB (facebook) saja mak tak maklumkan kerana mak sudah uninstall FB dari handphone akibat trauma buka FB setelah viral kisah kemalangan menyayat hati arwah adik dan sahabat-sahabatnya.

Mak Bukan Nak Putuskan Silaturahim

Mak bukan tak suka tetamu datang, bukan nak putuskan silaturahim. Mak buat semua ini demi kebaikan semua.

Adik yang tinggal di Rawang tak balik. Dengar kata PM dan polis jangan ingkar arahan kata mak tenang je. Adik yang bekerja di hospital Kuantan, mak pesan kalau tak balik pun tak pe, mak ok je, yang penting kita semua selamat.

Begitulah mak kami… Ikutkan hati memang suka anak beranak berkumpul beramai, meraikan saudara jauh dekat. Itu kelaziman setiap tahun yang tak pernah ditinggalkan.

Untuk tahun ini sahaja.. Mak harap semua faham situasi. Virus Covid-19 ini kita semua tak nampak. Bahaya dan risiko buat semua, tak kira warga emas macam mak abah, bayi atau orang dewasa.

Tak kata tetamu yang bawa virus. Sebenarnya kita semua berisiko sama ada tuan rumah atau tetamu.

Bukan Atas Kepentingan Diri

Mak pendamkan hasrat dan kelaziman demi kemaslahatan umat. Bukan atas kepentingan diri sendiri.

Mohon maaf semua, mohon faham situasi yang tak mengizinkan. Mohon juga doakan mak dan abah kami diberi kesihatan tubuh badan yang baik untuk beribadah dan melalui sisa usia ini dengan tabah dan bahagia.

Tahun ini kita raikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Teknologi yang ada seperti video call boleh digunakan untuk bercakap melepaskan rindu.

Salam dan minta maaf tak perlu tunggu hari raya. Setiap hari boleh dibuat, jangan tunggu raya.

Kita jaga kita. Allah jaga kita.
Kita berusaha, selebihnya serah pada Allah..
.
.
Salam kemaafan dari kami sekeluarga.
Sayang semua kerana Allah

#stayathome
#staysafe
#aidilfitri2020

Sumber: Anita Mat Daud

MW: Biar pun kita tak dapat berhari raya seperti biasa, kita masih boleh mengeratkan silaturahim dengan bantuan teknologi hari ini seperti video call atau panggilan telefon.

Published by
Nur Syazwani Mehat