Syawal kali ini cukup berbeza daripada kelazimannya. Setiap tahun mungkin saat ini kita mula buat kira-kira ke rumah siapa yang bakal kita ziarah dahulu, dari pak long, pak ngah hinggalah mak su.
Namun sambutan hari raya kali ini lain dari yang lain apabila kita tidak digalakkan untuk menziarahi. Ada segelintir saudara-mara mula naik status yang tak dapat terima tetamu lebih-lebih lagi bagi keluarga yang memiliki golongan berisiko.
Oleh itu harap semua faham, tindakan ini bukan hendak putuskan silaturahim tetapi untuk kebaikan bersama. Ikuti perkongsian Anita Mat Daud ini:
Tradisi sambutan hari raya di rumah mak abah kami sangat meriah.
Jangan harap lah hendak pergi bertandang ke rumah orang lain untuk hari raya pertama dan kedua kerana rumah mak abah diserbu rombongan sanak saudara dan jiran tetangga.
Sudah jadi kewajipan bagi mak yang suka menjamu tetamu dengan ‘hidangan rare’ yang jarang jumpa pada pagi raya. Selain dari lemang, rendang, lontong, nasi impit dan laksa Pahang , menu berhantu yang jadi rebutan ialah Ikan Patin masak Tempoyak, lengkap dengan nasi dan ulam-ulaman.
Air bukan dibancuh dalam jug, dalam tong terus macam majlis kenduri.
Bila lauk habis mak akan pastikan ada menu lain sebagai ganti. Peti ais penuh dengan lauk basah persediaan untuk memasak jika hidangan berkurangan.
Rumah mak abah sentiasa jadi tumpuan sanak saudara dan jiran tetangga kerana mak suka meraikan tetamu. Tak cukup tetamu datang sekadar di jamu kuih raya. Itu perangai mak kami.
Kemeriahan itu bukan pada waktu siang sahaja, berlarutan hingga ke malam. Tetamu keluar masuk silih berganti. Memang meriah, walaupun letih tapi mak ceria melayani tetamu.
Masa kecil dulu kami geram juga asyik kena duduk di dapur basuh pinggan yang tak putus-putus datang ke singki tak sempat kering sudah kena basuh lagi. Sekarang kami sudah biasa dan rasa seronok pula menikmati suasana hari raya yang sangat meriah. Sudah tak rasa penat sebab kami sudah sediakan pinggan dan cawan plastik…hihihi..
Ads
Tahun ini pertama kali dalam sejarah tiada sambutan hari raya seperti sebelum ini. Hari raya diraikan dengan penuh kesyukuran namun sangat berbeza.
Mak muat naik status Whatapps mohon maaf tidak menerima kunjungan pada tahun ini. Dalam FB (facebook) saja mak tak maklumkan kerana mak sudah uninstall FB dari handphone akibat trauma buka FB setelah viral kisah kemalangan menyayat hati arwah adik dan sahabat-sahabatnya.
Mak Bukan Nak Putuskan Silaturahim
Mak bukan tak suka tetamu datang, bukan nak putuskan silaturahim. Mak buat semua ini demi kebaikan semua.
Adik yang tinggal di Rawang tak balik. Dengar kata PM dan polis jangan ingkar arahan kata mak tenang je. Adik yang bekerja di hospital Kuantan, mak pesan kalau tak balik pun tak pe, mak ok je, yang penting kita semua selamat.
Begitulah mak kami… Ikutkan hati memang suka anak beranak berkumpul beramai, meraikan saudara jauh dekat. Itu kelaziman setiap tahun yang tak pernah ditinggalkan.
Untuk tahun ini sahaja.. Mak harap semua faham situasi. Virus Covid-19 ini kita semua tak nampak. Bahaya dan risiko buat semua, tak kira warga emas macam mak abah, bayi atau orang dewasa.
Ads
Tak kata tetamu yang bawa virus. Sebenarnya kita semua berisiko sama ada tuan rumah atau tetamu.
Bukan Atas Kepentingan Diri
Mak pendamkan hasrat dan kelaziman demi kemaslahatan umat. Bukan atas kepentingan diri sendiri.
Mohon maaf semua, mohon faham situasi yang tak mengizinkan. Mohon juga doakan mak dan abah kami diberi kesihatan tubuh badan yang baik untuk beribadah dan melalui sisa usia ini dengan tabah dan bahagia.
Tahun ini kita raikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Teknologi yang ada seperti video call boleh digunakan untuk bercakap melepaskan rindu.
Salam dan minta maaf tak perlu tunggu hari raya. Setiap hari boleh dibuat, jangan tunggu raya.
Kita jaga kita. Allah jaga kita.
Kita berusaha, selebihnya serah pada Allah..
.
.
Salam kemaafan dari kami sekeluarga.
Sayang semua kerana Allah ️ #stayathome #staysafe #aidilfitri2020
MW: Biar pun kita tak dapat berhari raya seperti biasa, kita masih boleh mengeratkan silaturahim dengan bantuan teknologi hari ini seperti video call atau panggilan telefon.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Amboi! Bukan main seronok bila PM umum boleh beraya dalam negeri. Tapi nak pesan pada semua, kalau nak beraya jangan main terjah je bimbang tuan rumah tak ready terima tetamu. Ingat ye PM kata satu rumah tak boleh lebih 20 orang.
Virus Covid-19 ni belum habis lagi , jangan nak berjimba sangat ye. Kalau tuan rumah kunci pintu pagar, janganlah sentap. Fikir yang baik-baik, barangkali di rumahnya ada warga emas atau ahli keluarga yang sakit kronik. Boleh jadi juga rumah yang tak mengalukan tetamu kerana mereka ada anak istimewa atau bayi. Jangan terus kecam, labelkan keluarga tu sombong.
Mereka mungkin masih trauma dengan Covid-19 yang meragut ratusan nyawa di Malaysia. Saya tertarik dengan kiriman WhatsApp yang mengingatkan kita supaya berjaga-jaga sebelum nak beraya sakan, jangan terjah sesuka hati ke rumah orang. Mesejnya terbaik, memang mengundang insaf.
Ringan-ringankan mulut bertanya dengan tuan rumah. Adakah rumah yang nak dituju ada warga emas, anak istimewa dan pesakit kronik seperti kanser dan buah pinggang. Kalau jawapannya ada, batalkan niat beraya ke sana. Golongan tersebut berisiko tinggi, jangan sebab kita datang entah mungkin ada virus, mereka pula jadi mangsa.
Tak kira lah ahli keluarga sendiri pun, call sebelum datang. Bimbang nanti saudara mara kita tak ready terima tetamu. Mungkin bukan sebab ada golongan berisiko tapi kekangan kewangan. Maklumlah ramai yang hilang punca pendapatan sekarang.
Mana kita tahu, makanan tu rupanya cukup-cukup untuk anak beranak dia je. Kalau kita dah terpacak depan rumah, takkan orang nak halau. Cuma bimbang nanti kerana kita yang seronok makan juadah raya, tuan rumah sekeluarga ikat perut.
Memang niat nak bersedekah tapi ingat ye, sampul tu banyak tangan yang pegang. Begitu juga dengan duit raya. Entah berapa tangan yang sentuh duit tu. Kita pula bagi pada budak-budak dan orang tua. Macam yang kita tahu golongan ni berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Jadi fikir-fikirkan lah. Kalau nak bersedekah, mungkin boleh bank in duit raya.
Tuan rumah jangan rasa serba salah, cakap je terus terang kalau tak ready terima tetamu. Nak-nak kalau kat rumah ada baby dan ahli keluarga yang sakit, sebaiknya jangan terima tetamu. Fikirkan tentang keselamatan ahli keluarga. Tetamu kena fahamlah, raya tahun ni memang berbeza.
Akhir kata, tak payah nak ralat kalau tak dapat berkunjung raya. Kita sambut dengan anak beranak kita je tahun ni. Perancangan Allah tu adalah yang terbaik, jika difikir memang banyak hikmahnya. Salah satunya, kita dapat berjimat. Biasanya raya sebelum ni, memang bajet besar sampai ada yang berhutang nak balik kampung, nak buat rumah terbuka dan persiapan lain. Jadi Allah dah selamatkan kita daripada membazir dan berhutang.
Semua orang pun rindukan mak ayah di kampung, tapi kita lagi bimbang keselamatan mereka. Sekarang teknologi canggih, kita bervideo call je dengan mak ayah untuk hilangkan rindu. Nanti bila keadaan dah pulih, kita balik peluk cium mak ayah kita sama-sama ye. Renung-renungkan dengan mata hati.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Tidak semua antara kita bertuah, dapat gaji setiap bulan walaupun tidak bekerja. Kebanyakkannya dari kita, tak bekerja, tiadalah duit. Oleh itu hentikanlah menghentam orang lain. Jangan terlalu negatif. Fikirkan kesusahan orang lain, mereka juga bukan sengaja cari penyakit.
#BELAJAR_UNTUK_JADI_OPTIMIS_BUKAN_PESIMIS
Saya perhatikan ramai rakan saya di facebook terutamanya rakan-rakan doktor cukup risau bila PKP dilonggarkan. Kita risau kalau berlakunya gelombang ketiga yang lebih dahsyat.
Kita risau kalau lebih ramai yang mati. Kita risau kalau wabak ini berterusan lebih lama. Itu memang normal. Naluri semua doktor, kita mahu menyelamatkan nyawa semua orang.
Kita semua risau. Kita semua harapkan tiada lagi jangkitan dan tiada lagi kematian. Tapi kita sendiri tidak pasti bila semua ini akan berakhir. Hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui.
Kita risau bila melihat gambar-gambar manusia yang tidak patuh pada ‘social distancing’. Kita kongsi dan kita kutuk semua yang ada dalam gambar-gambar itu. Seolah-olah mereka sahajalah rakyat Malaysia yang ada. Kita lupa pada jutaan rakyat Malaysia lain yang masih patuh menjaga ‘social distancing’.
Tapi tak ada siapa yang hendak ambil dan kongsi gambar mereka sebab kita hanya suka sebarkan keburukan orang dan kita tak suka sebarkan kebaikan orang. Mengutuk lagi seronok daripada memuji.
Kita risau bila melihat gambar-gambar banyaknya kereta di jalanraya. Kita kongsi dan kita kutuk semua pemandu yang ada di dalam gambar-gambar itu. Seolah-olah jalanraya hanya layak untuk kegunaan frontliners macam kita saja.
Orang lain tak layak untuk keluar bekerja mencari rezeki untuk anak isteri mereka. Kita fikir semua orang berpendapatan tetap tiap-tiap bulan macam kita.
Kita fikir semua orang dapat bantuan BPN. Kita fikir semua orang cukup makan minum macam kita. Maka, tak perlulah mereka keluar dari rumah. Stay at home sampai jangkitan cecah 0. Bila tiba hari kemenangan yang dinantikan tu, mereka dan anak isteri mungkin sudah mereput di rumah.
Kita risau bila melihat gambar-gambar orang membawa anak-anak kecil di dalam kereta mereka. Kita kongsi dan kita kutuk semua ibu, bapa yang ada di dalam gambar-gambar itu. Kita tuduh mereka sengaja hendak bawa anak mereka jalan-jalan dan sengaja nak mendedahkan anak mereka kepada jangkitan Covid.
Kita tak tahu yang mungkin ada antara mereka yang terpaksa membawa anak-anak kecil mereka keluar bersama kerana tiada penjaga di rumah.
Risiko kanak-kanak mendapat kecederaan atau meninggal dunia akibat bersendirian di rumah adalah lebih tinggi daripada risiko untuk dijangkiti covid apabila berada di dalam kereta.
Kita risau bila melihat gambar-gambar banyak kedai dibuka. Kita takut kalau orang berpusu-pusu ke kedai dan tak amalkan ‘social distancing’. Kalau boleh kita nak semua kedai ditutup, tak ada satu pun yang dibuka, sampailah wabak covid berakhir.
Kita mungkin bijak dalam ilmu perubatan, tapi kita tidak mahir dalam ilmu ekonomi dan kewangan.
Oleh itu, jangan berlagak seolah-olah kita tahu serba serbi semuanya. Memang betul, dalam situasi wabak Covid yang mengganas sekarang, Nyawa manusia lebih penting darp ekonomi.
Tapi, sanggupkah kerajaan biarkan rakyat hidup melarat tanpa wang dan negara jatuh bankrap semata-mata untuk memburu Covid yang kita sendiri tidak tahu bila kesudahannya? Di sinilah pentingnya ‘keseimbangan’ dalam membuat keputusan.
Jadi Fronliner & Tak Fikirkan Kesusahan Orang Lain
Sebelum ni, saya sendiri pun penuh rasa paranoid dan negatif. Saya hanya fikirkan kesusahan saya sebagai frontliner dan saya tak pernah fikirkan langsung kesusahan orang lain yang terdesak mencari sesuap nasi untuk isi rumah mereka. Dan sayaa hanya tahu mengkritik dan tak pernah fikirkan rasionalnya setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
Alhamdulillah, saya sudah mula sedar. Dalam situasi sekarang, semua orang dalam kesusahan. Semua orang terdesak. Semua orang tertekan. Percayalah, tak ada siapa yang suka-suka nak mencari penyakit.
Dan kerajaan kita sedang cuba sebaik mungkin untuk menjaga kita. Bersyukurlah kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang baik dan cekap jika hendak dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain.
Maka, cubalah kita kongsi benda-benda yang positif sahaja mulai hari ni. Elakkan kongsi benda-benda yang negatif. Belajarlah untuk menjadi optimis, bukannya pesimis. Banyakkan menyebut dan menulis perkara-perkara yang baik kerana setiap butir perkataan yg keluar daripada mulut dan penulisan kita adalah ibarat doa.
Baik yang kita sebut atau tulis, baiklah jadinya. Buruk yang kita sebut atau tulis, buruklah jadinya. Maka, doakanlah benda-benda yang baik saja. Insyallah Tuhan akan makbulkan. Dalam ketegasan kita, jangan sampai hilang sifat keperikemanusiaan. Dan belajarlah untuk sentiasa bersyukur.
Setiap ujian yang Tuhan turunkan kepada kita adalah tidak melebihi daya kemampuan kita. Sama-sama kita berdoa dan berusaha supaya wabak covid yang melanda dunia dan negara kita cepat reda, terhapus. Jaga kebersihan diri, jaga social distancing, pakai topeng muka jika bergejala.
Dan keluar rumah apabila perlu sahaja. Jaga solat, banyakkan ibadat dan jangan berhenti berdoa. Insyallah kita mampu dan kita boleh!!!
MW: Sebaiknya kita berkongsi benda yang positif, barulah menjadi doa dan akhirnya segala yang berlaku cepat selesai. Serahkan saja kepada Allah kerana Dia Lebih Mengetahui.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.