Keterujaan seorang pelajar diragut apabila dia maut dalam perjalanan ke sekolah. Remaja ini menaiki motosikal baru yang dibeli bapanya untuk ke sekolah. Namun takdir mengatasi segalanya apabila pelajar ini meninggal dunia akibat kereta buat pusingan U di tempat yang salah.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nurul Syahira Zamri, 16, dari Kampung Kolam, Jalan Chemor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda SM Sport yang baru sahaja dibeli bapanya untuk kemudahan pergi ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Kenari dipandu wanita berusia 46 tahun membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa dikatakan terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta itu lalu tercampak di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Baca Juga Di Sini:
Guru Meninggal Kemalangan Jatuh Gaung Dalam Perjalanan Mengajar, Baru Menikah 10 Hari Lalu
Muat Naik Status Tentang AKHIRAT Di Whatapps, Remaja Meninggal Dunia Selepas SELAMATKAN Orang
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kemalangan adalah kawasan dilarang membuat pusingan U. Ketika membuat pusingan, katanya, kereta berkenaan turut terlajak masuk ke laluan bertentangan menyebabkan satu lagi pelanggaran berlaku membabitkan kenderaan itu dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Bagaimanapun kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma kerosakan pada kenderaan masing-masing.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Jelas A Asmadi lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan. Ternyata bukan mudah untuk menerima pemergian anak secara tiba-tiba begini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan keluarga allahyarham tabah menerima ujian berat ini. Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian