Keterujaan seorang pelajar diragut apabila dia maut dalam perjalanan ke sekolah. Remaja ini menaiki motosikal baru yang dibeli bapanya untuk ke sekolah. Namun takdir mengatasi segalanya apabila pelajar ini meninggal dunia akibat kereta buat pusingan U di tempat yang salah.
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Rambutan pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nurul Syahira Zamri, 16, dari Kampung Kolam, Jalan Chemor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda SM Sport yang baru sahaja dibeli bapanya untuk kemudahan pergi ke sekolah.
Kereta Buat Pusingan U Secara Tiba-tiba
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Kenari dipandu wanita berusia 46 tahun membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa dikatakan terlanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta itu lalu tercampak di atas jalan.
Ads
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kemalangan adalah kawasan dilarang membuat pusingan U. Ketika membuat pusingan, katanya, kereta berkenaan turut terlajak masuk ke laluan bertentangan menyebabkan satu lagi pelanggaran berlaku membabitkan kenderaan itu dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Bagaimanapun kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma kerosakan pada kenderaan masing-masing.
Ads
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu wanita tersebut tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.
Jelas A Asmadi lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut kini diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan. Ternyata bukan mudah untuk menerima pemergian anak secara tiba-tiba begini. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan keluarga allahyarham tabah menerima ujian berat ini. Al-Fatihah.
Sesungguhnya soal dikurniakan anak, bukan semudah membeli barang di pasar! Itu tuhan punya kuasa.
Jika semudah itu, tentu saja semua orang bahagia memilih anak, mahu berapa orang anak atau mahu berapa orang anak lelaki dan berapa orang anak perempuan. Beli dan bayar.
Bukan semudah itu, segalanya ketentuan Tuhan dan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah SWT.
Jangan dicela mak ayah yang masih belum dikurniakan anak, atau dikomen orang yang memiliki anak perempuan atau lelaki sederet. Jangan!
Soal Dikurniakan Anak
Ikuti perkongsian Ustaz Hisham ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan.
Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.
Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.
“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.
Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).
“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.
“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.
Kemudian lahir pula anak keempat. Sama seperti kakak-kakaknya bertiga. Kami namakan pula Nur Amirah.
Bukan Semudah Membeli Barang Di Pasar!
Itulah anak-anak kami. Empat puteri yang sangat disayangi. Kelak akan menjadi; empat dara duduk di tepi sungai. Duduk menjerat si ketamlah batu. Manis rupa hai elok perangai. Sukar dipilih yang manalah satu. (Tak perlu nyanyi).
Meski terkadang masih ada lagi yang bertanyakan bila pula hendak menimang anak lelaki.
Tidak ada salahnya mempunyai kesemua anak perempuan. Tidak ada salahnya juga jika anak kita semuanya lelaki. Seorang atau dua orang anak, juga tidak perlu hendak diberat-beratkan dalam perbualan. Tersalah kata, boleh menghiris hati.
Itu Tuhan Punya Kuasa
Soal dikurniakan anak, bukan seperti membeli barang di pasar. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Apatah lagi bila berbicara pada kenalan yang masih belum dikurnia cahaya mata.
Kelak dilihat punya hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan yang berkocak akan kian mengombak di dalam hati kenalan kita.
“Tak ada anak lelaki ke? Nanti bahagian faraid akan dapat kepada orang lain.” Pernah juga ada yang berkata sedemikian.
Saya hanya memasang wajah tanpa emosi. Tidak sepatutnya kata-kata itu dikeluarkan.
Mari sini saya jelaskan tentang faraid. Andaikata saya meninggal dan waris-warisnya seperti ketika ini. Saya ada; ibu, isteri, 4 anak perempuan, 4 saudara kandung lelaki dan 3 saudara kandung perempuan.
Pembahagiannya adalah begini:
Ibu: 44/264
Isteri: 33/264
Setiap seorang anak perempuan: 44/264
Manakala setiap seorang saudara kandung lelaki: 2/264
Dan setiap seorang saudara kandung perempuan: 1/264
Lalu di manakah masalahnya?
Entah mengapa ada yang terlalu memikirkan supaya harta tidak diperoleh oleh adik-beradik. Bukankah adik-beradik itu berkongsi susu ibu yang sama dahulunya.
Menjalani kehidupan susah senang. Mereka bukan orang asing bagi kita. Dengan ihsan yang ada, boleh jadi mereka menarik diri daripada menerima bahagian mereka. Jika mereka hendak menerima, itu adalah hak mereka.
Fahami Ilmu Faraid
Fahami ilmu faraid, pasti kita akan nampak keindahan hikmah yang tersirat. Betapa perlunya hubungan kekeluargaan yang erat. Tahu siapa kaum kerabat. Menjadikan mesyuarat untuk membentuk muafakat.
Sebelum terlanjur bercerita lebih panjang tentang faraid, saya kembali pulang ke cerita asal. Agar tidak teraba-raba mencari titik muasal.
Kepada anak-anak saya, pernah saya berpesan.
“Kalau ayah meninggal dan belum sempat menjadi wali bagi pernikahan, bapa-bapa saudaralah walinya. Adik-beradik lelaki ayah. Itu kalau memang ditakdirkan ayah tak ada anak lelaki.”
Ia bukan sekadar pesanan biasa. Tetapi saya mahu mengingatkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Kita bukan hidup sekadar dalam keluarga yang kecil tetapi ada hubungkaitnya dengan saudara-mara yang lain.
Serahkan Pada Allah
Hari demi hari dan anak-anak semakin membesar. Dalam tidak sedar, ada yang ketinggiannya sudah hendak mencapai ketinggian saya. Yang dahulunya didodoi, kini sudah berlari ke sana sini.
Kesemuanya dengan sifat yang tersendiri. Tanggungjawab kita bukan lagi hal remeh temeh. Bukan lagi tentang susu dan lampin.
Tidak selamanya anak-anak akan kekal sebagai kanak-kanak. Keperluan emosi, rohani, jasmani perlu difikirkan bersama sebagai suami isteri.
Anak-anak dipantau dan diperhati. Ditegur jika ada yang perlu diperbaiki, jika ada tingkah laku yang tidak sesuai agar tidak menjadi sebati.
Kita mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita, dan dalam masa yang sama kepada Allah kita serahkan segalanya. Kerana Allahlah tempat sebaik-baik diletakkan pengharapan.
Terima kasih sudi baca.
Mingguan Wanita : Sebelum mencela orang, letakkan diri dalam kasut mereka. Cuba fahami apa yang mereka rasa, selami perasaan mereka. Anak adalah anugerah dan amanah Allah. Hadirnya anak bersama tanggungjawab. Renung-renungkan.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Kalau ada yang baru beranak kecil, ini rahsia yang cukup bagus untuk anda amalkan tip banyakkan susu badan. Tambah pula jika anak anda jenis nak menyusu sejam sekali! Ada dua cara yang anda boleh cuba resepi daripada Puan Sya Bell, pilih dan sila buat!
Saya nak share lagi resepi milkbooster natural dan Homamade sebab saya tengok ramai pula sugest kat orang lain air kotak longan yang viral tu.
Ada super power boleh tambah susu dan ada super duper power tambah kahak kat anak. Kesian la kat baby tu, saya kesian baby berkahak sangat tak selesa. Sebab itu saya share lagi.
Bahan-bahan boleh cari kat kedai ubat cina sensei, kalau awak rasa serasi, bolehlah amalkan. Tapi tolong jangan pengaruhi mommy-mommy lain.
Milkbooster saya.. saya pilih natural dan sihat. Alhamdulillah full bf twiny Boy.
Cara rebus:
Kurma merah
Logan kering
Gojiberry
Campur sikit Brown sugar dan letak daun pandan
Memang sedappp sangat.
Cara kedua (lagi sedap rasa lai chee kang)
Rebus
Kurma merah
Logan kering
Gula batu
Buah kundur
Barli
Daun pandan
Yummy… sangat lah sedap dan sihat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap hari, celik-celik mata mak-mak sudah ligat berfikir dan terus ke dapur untuk siapkan sarapan untuk keluarga terutamanya anak-anaklah. Hari pertama, kedua dan ketiga mungkin mak-mak boleh susun pelbagai menu dari pagi hinggalah ke malam tanpa gagal.
Tetapi menjelang minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mak-mak semakin letih dan penat apatah lagi mereka yang masih bekerja dari rumah dan dalam masa menguruskan keluarga serentak. Memang mencabar sungguh.
Mak-mak perlu ingat, walaupun dapur rumah kita kecil tetapi ia sebenarnya menjadi medan mujahadah kita dalam menjana pahala. Jadi walaupun kecil, besar ganjarannya lagi-lagi time PKP ini sebab kita asyik keluar masuk dapur saja.
Lepas Subuh tadi dengar ceramah Ustazah Asma Harun tentang adab makan yang dipetik daripada Kitab Riyadussolihin. Selain tazkirah, ustazah buat demo masakan Laksa Lemak Terengganu Style.
Ya Allah terliurnya saya. Dan kagum dengan ustazah. Katanya sebelum ni ustazah biasa masak banyak-banyak laksa ini. Ambil tempahan, buat jamuan jemput jiran makan. Masyaallah.
Saya teringat beberapa perkara yang ustazah sebut. Dapur dalam rumah kita, biar pun ruangnya kecil sahaja. Ia adalah medan mujahadah, ruang bakti dan kasih sayang seorang ibu. Bila kita niatkan kerana Allah, ia akan menjadi sumber pahala. Begitu juga bila kita mengemas rumah semua tu.
Mulakan Dengan Bismillah
Subhanallah. Tiba-tiba saya rasa ringan sangat perasaan. Ya, ini kita ibu-ibu fahamkan. Waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, anak-anak asyik lapar. Kita pun masak dan masak. Kadang-kadang itu teruji letih, hilang idea hendak masak apa. Lepas itu hendak mengemas pula.
Bila kita memasak ni, mulakan dengan Bismillah. Semua itu membawa banyaknya keberkatan pada hidangan. Yang menjadi darah daging keluarga. Mudah-mudahan asbab makan apa yang kita masak. Kasih sayang keluarga bertambah erat, anak-anak elok hatinya.
Begitulah. Terasa sebuah indah dalam hati bila dengar bicara ustazah. Lalu saya gigih menyiapkan Wanpaku versi Makcik Kiah, eh Makcik Jibah untuk sarapan pagi ini. Guna apa yang ada sahaja di rumah. Biarpun rupa tak berapa cantik, syukur ia rezeki pagi ini.
MW: Walaupun kadang-kadang buntu dan stres setiap hari nak fikirkan menu untuk anak-anak, tetapi ketahuilah setiap penat lelah mak-mak pahala ganjarannya. Insyallah… semoga PKP tidak dipanjangkan lagi iya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...