Tahniah buat penyanyi dan pelakon, Nabila Razali kini sudah bergelar ibu!
Pelantun Pematah Hati itu selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu kota semalam.
Berita gembira itu disahkan wakil pengurusan Nabila Razali Entertainment dalam satu kenyataan.
Pihak pengurusan memaklumkan Nabila melahirkan bayi sulungnya itu dengan kaedah pembedahan jam 10.01 malam. Nabila dan bayi seberat 3.1 kilogram itu kini berada dalam keadaan sihat.
Nabila, 32, atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali berkongsi rasa kesyukuran selepas selamat bersalin.
“Alhamdulillah, ini adalah hadiah paling bermakna dalam hidup saya.
“Setiap detik dilalui untuk mencapai momen penuh dengan cabaran dan harapan dan akhirnya, Allah kurniakan amanah ini buat saya dan suami.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang mendoakan kesejahteraan serta memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi selama ini,” katanya.
Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, Nabila kini mengambil masa untuk memberi tumpuan kepada keluarga serta fasa baharu sebagai seorang ibu. Nama bayi lelaki pasangan ini juga belum diumumkan malah Nabila juga dilihat tidak berkongsi perkembangan terkini dirinya usai melahirkan zuriat pertamanya itu.
Terdahulu Nabila mengumumkan kehamilan pada Oktober lalu dan dijangka bakal bersalin pada awal tahun depan dan mengumumkan jantina bayi lelaki pada November lalu.
Nabila dan suaminya Nik Iruwan, 39, berkahwin dalam majlis di Bukit Tinggi, Pahang pada 18 November tahun lalu.
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.