Episod Kongsi Kasih kali ini membawa penonton menelusuri kisah kehidupan di kawasan yang sering dikaitkan dengan pelbagai cabaran sosial, khususnya akibat najis dadah. Kunjungan kali ini singgah ke dua lokasi utama: Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, dan Pasir Puteh, Kelantan, bagi menyingkap realiti kehidupan yang sukar serta usaha membantu mereka yang memerlukan.
Harapan Baharu Buat Puan Nadia Sekeluarga
Di tengah hiruk-pikuk ibu kota, terselit sebuah kisah perjuangan hidup Puan Nadia dan keluarganya yang menetap di flat Chow Kit. Dia bersama tiga orang anaknya menghadapi kehidupan yang penuh cabaran, lebih-lebih lagi apabila suaminya—bekas penagih dadah—sedang menjalani rawatan pemulihan.
Dengan keadaan kewangan yang terbatas, Nadia berusaha mencari peluang pekerjaan walaupun dirinya merupakan seorang graduan universiti.
“Suami masih dalam proses menjalani rawatan methadone. Rawatan Terapi Gantian (RTG) dengan methadone adalah salah satu kaedah program “Harm Reduction” untuk pengguna dadah. Program ini bertujuan untuk mengelakkan jangkitan virus bawaan darah (HIV, Hep C, Hep B) yang berpunca daripada perilakuan berisiko tinggi penagihan antaranya berkongsi jarum.
Sebagai isteri, saya hanya minta dia menjadi seorang yang lebih baik dari sebelum ini. Saya tidak minta lebih-lebih, hanya mahu dia lebih baik dari sebelum ini,”ujar Nadia yang meletakkan sepenuh harapan buat suaminya, Kamarul.
Melihat kesukaran keluarga ini, penaja utama Kongsi Kasih, Perfume Paradise turut serta menziarahi keluarga ini dan menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian untuk meringankan beban yang dipikul oleh keluarga ini.
Mangsa Keganasan Rumah Tangga dan Belenggu Najis Dadah
Dari Kuala Lumpur, perjalanan Kongsi Kasih diteruskan ke Pasir Puteh, Kelantan, bagi menyingkap satu lagi kisah memilukan. kehidupan Puan Noraini, seorang ibu kepada lima orang anak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Ads
Suaminya, seorang penagih dadah yang tidak bekerja, telah menyebabkan keluarga ini hidup dalam keadaan amat daif. Rumah mereka yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, kini usang dengan dinding yang hancur, bumbung bocor dan lantai berlubang. Lebih menyedihkan, rumah ini asalnya merupakan sangkar ular peninggalan arwah bapa mertuanya yang dahulunya membela ular untuk pertunjukan dan menjual ubat.
Dalam keadaan suami yang tidak bertanggungjawab, anak sulungnya, Haiqal yang berusia 18 tahun dan merupakan seorang OKU lembam, terpaksa bekerja menjaga lembu dengan gaji RM30 sehari bagi menyara keluarga. Haiqal, yang berhenti sekolah sejak umur 16 tahun kerana desakan hidup, tetap berpegang pada nilai murni—tidak merokok dan tidak terlibat dalam gejala sosial.
Dengan bantuan pasukan Kongsi Kasih, Puan Noraini dan anak-anak telah dipindahkan ke rumah sewa baharu, membolehkan mereka memulakan kehidupan yang lebih baik, jauh daripada cengkaman suami yang merosakkan kehidupan mereka.
Ads
Selain itu, bantuan makanan kering dan sedikit wang sara hidup turut diberikan bagi meringankan beban mereka sementara waktu.
Pelajaran Dari Episod Ini
Dua kisah ini menjadi bukti bahawa kesan penyalahgunaan dadah bukan sahaja menghancurkan individu, malah memberi impak besar kepada ahli keluarga. Anak-anak yang sepatutnya menikmati kehidupan yang lebih baik terpaksa berhadapan dengan realiti sukar sejak kecil.
Namun, di sebalik kesuraman ini, kehadiran pihak yang prihatin seperti Kongsi Kasih menjadi pemangkin harapan buat mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan kesengsaraan.
Episod kali ini bukan sekadar sebuah dokumentari kemanusiaan, tetapi satu cerminan kepada masyarakat bahawa masih ramai yang memerlukan perhatian dan bantuan. Dengan sokongan berterusan daripada orang ramai, kita mampu membawa perubahan dan membina masa depan yang lebih baik buat mereka yang terpinggir.
Ads
Di sebalik kesukaran ini, kehadiran pasukan Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise diharap dapat memberi sedikit sinar harapan buat mereka. Sumbangan yang diberikan termasuk barangan keperluan asas dan sedikit bantuan kewangan untuk meringankan beban keluarga ini.
Kedua-dua kisah ini menjadi cerminan kepada realiti kehidupan yang perlu diberi perhatian, terutama dalam memastikan masa depan anak-anak terjamin daripada belenggu kemiskinan dan pengaruh negatif terutamanya gejala najis dadah.
Istimewa Aidilfitri, Kongsi Kasih Jejak Jalanan episod kelapan yang dibawakan khas oleh Perfume Paradise kali ini bersiaran selama sejam. Sempena sambutan Aidilfitri, team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise telah membawa anak-anak remaja asnaf membeli belah baju raya di Jakel.
Seramai 25 anak remaja asnaf yang bertuah daripada tiga buah rumah kebajikan terpilih begitu ceria sewaktu memilih baju raya kegemaran mereka. Selepas memilih baju raya, mereka kemudiannya dibawa makan di sebuah restoran untuk berbuka puasa.
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran dan suami juga turut memberikan sumbangan tambahan kepada anak-anak remaja tersebut.
Pelakon Senior Aida Ruyati Sudah Tidak Mampu Bekerja
Selesai menyantuni anak-anak remaja asnaf, team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke rumah pelakon senior wanita yang dikenali dengan nama pentas Aida Ruyati atau nama sebenarnya Majidah Othman.
Sewaktu hadir ke kediaman Aida Ruyati atau lebih mesra dengan panggilan Ibu Aida, dirinya berasa sangat gembira apabila ada yang sudi datang bertandang. Kesihatan Ibu Aida semakin merosot dan kini menghidap sakit jantung, kencing manis, saraf dan penglihatannya semakin kabur.
Berusia 70 tahun, pelakon senior yang sering menghiasi drama tempatan tidak mampu untuk bekerja.
“Sejak mengalami penyakit kronik, ibu sudah tidak mampu bekerja atas faktor masalah kesihatan. Sekarang ini ibu tinggal bersama anak. Memang rindu nak jumpa kawan-kawan di set pengambaran tapi ibu sudah tidak sihat untuk berlakon,” luah Ibu Aida yang turut bersedih apabila ramai rakan seperjuangan yang sudah pergi menyahut Ilahi.
Walau sedih dengan nasib diri, namun Ibu Aida bersyukur dengan kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise yang sudi memberikan sumbangan.
Pelakon lelaki senior Harun Hashim yang baru saja kehilangan isteri tersayang kini kesihatannya semakin merundum.
Harun Hashim mengidap penyakit kencing manis kronik, darah tinggi dan penglihatan semakin kabur.
Setelah kematian isteri November tahun lalu, kesihatan pelakon ini semakin merudum. Malah dek kerana kasihnya pada arwah isteri, dirinya berasa sunyi dan mengambil keputusan untuk berpindah di kawasan rumah yang berdekatan dengan kubur arwah isteri untuk memudahkan dia melawat kubur arwah.
Kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise sedikit sebanyak mengurangkan beban buat Harun Hashim. Malah dirinya juga turut sebak kerana ada yang sudi hadir melawat dirinya.
Saksikan perjuangan Kongsi Kasih Musim Keempat ‘yang lebih wangi’ dengan Perfume Paradise hanya di Kongsi Kasih Jejak Jalanan Episod 8 di Astro Prima.
Di sebalik ketenangan kawasan perkampungan di Kuala Krai dan Pasir Mas, Kelantan tersimpan dua kisah keluarga yang menyentuh jiwa. Kisah tentang kasih, ketabahan dan harapan yang tidak pernah padam, walaupun diuji dengan kehidupan yang serba kekurangan.
Dalam episod kali ini, Haze dan pasukan Kongsi Kasih singgah ke rumah En Hafiz — seorang Tok Siak yang cukup dihormati di kampungnya. Namun di balik tanggungjawabnya di surau, tersimpan beban berat yang dipikulnya sebagai bapa kepada enam orang anak.
Rumah kecil mereka, sudah uzur dan hampir roboh. Dindingnya menunggu masa, atap zink pula sudah berlubang. Dalam kesempitan ini, Hafiz tetap menggagahkan diri menyara keluarga dengan mengambil upah kerja kampung, termasuk menjaga lembu.
Luahan Rasa Anak Sulung
Anak sulungnya, Misha, meskipun baharu berusia 14 tahun namun mempamerkan kematangan luar biasa. Dalam perbualannya bersama Haze, Misha berkongsi luahan yang meruntun hati.
“Saya nampak ayah penat sangat. Kadang-kadang dia tak cukup tidur sebab kerja siang malam. Tapi ayah tak pernah mengeluh. Saya sayang ayah… sebab tu saya belajar sungguh-sungguh. Saya nak jadi cikgu, supaya satu hari nanti saya boleh bantu keluarga.”
Melihat semangat Misha yang luar biasa, kehadiran penaja utama, Perfume Paradise menyantuni keluarga ini mengukir senyuman di wajah Hafiz sekeluarga sambil menzahirkan rasa terima kasih di atas kesudian pihak penaja dan rakan strategik, Abang Hae tampil menghulurkan bantuan. Sedikit sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan beberapa barangan lain diharap dapat membantu meringankan beban keluarga ini.
Selain itu, Abe Hae tampil membawa sedikit sinar untuk melihat perubahan untuk kediaman keluarga ini. Beberapa keping zink baharu, meja belajar buat Misha, dan barangan keperluan makanan kering disampaikan semoga sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan membakar semangat mereka untuk terus melangkah.
Keluarga 11 Anak Dapat Bantuan
Pasukan Kongsi Kasih turut menziarahi satu lagi keluarga di Pasir mas, Kelantan di mana pasangan Mustafa Bin Salleh, 69 tahun, dan isteri, Yamilah Yusoh, 48 tahun. Mereka dikurniakan 11 cahaya mata, dan kehidupan mereka turut dicorak dengan serba kekurangan.
Pasangan ini menjual lok cing secara kecil-kecilan demi menyara keluarga. Dalam masa sama, mereka melakukan pelbagai kerja kampung untuk menampung kehidupan seharian. Melihat keadaan rumah yang berada dalam keadaan tidak sempurna, raut wajah Haze jelas menunjukkan rasa simpati terhadap keluarga terutamanya membayangkan 11 orang anak-anak membesar dalam keadaan serba kekurangan.
Menyedari beban yang dipikul pasangan ini, Abe Hae bersama Asnaf Hunter & I Sejahtera memberikan sedikit bantuan modal untuk mereka memulakan perniagaan ais krim potong sebagai satu usaha menambah pendapatan harian. Tidak ketinggalan, dua tilam dan bantal baru juga dibawa untuk memastikan keselesaan asas mereka sekeluarga.
Kongsi Kasih bukan hanya tentang memberi, tetapi tentang menyelami rasa — rasa seorang ayah yang mendakap tanggungjawab penuh cinta, dan rasa seorang anak yang menyimpan harapan di tengah derita. Semoga bantuan yang dihulur menjadi permulaan kepada perubahan yang lebih bermakna.
Jangan lupa saksikan Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima setiap Jumaat jam 7 malam.
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan konvoi tujuh buah pacuan empat roda, team Kongsi Kasih ke rumah Pok Su iaitu seorang warga emas berumur 69 tahun yang tinggal bersama anak lelakinya di sebuah rumah usang yang telah dihuni berpuluh tahun.
Kehidupan Pok Su yang sangat daif dengan masalah bekalan air, keadaan rumah yang berlubang lubang, kayu reput dan terletak di pinggir semak dan hutan.
Air Mata Pok Su Mengalir Kenangkan Kesusahan Diri
Malah rumah Pok Su juga sangat berisiko kehadiran ancaman binatang berbisa. Team Kongsi Kasih sempat hulurkan bantuan seperti tilam, barang keperluan makanan dan pam air bagi membantu melengkapi serba sedikit keperluan Pok Su.
Kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise sangat dihargai oleh Pok Su. Malah air mata mengalir ketika dihulurkan bantuan.
“Isteri meninggal pada tahun 2013, keadaan rumah yang uzur bila hujan air akan masuk air dan kena tilam. Memang sedih dan tak sangka ada yang sudi datang hulurkan bantuan,” kongsi Pok Su yang sangat berterima kasih pada team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise kerana sudi bertandang ke rumahnya.
Ibu Tunggal Mek Yah Berjaya Keluar Dari Belenggu Najis Dadah
Seterusnya team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise turut menyantuni rumah Mek Yah yang terletak di Tanah Merah. Mek Yah merupakan seorang bekas penagih dadah yang telah berjaya keluar dari belenggu najis dadah.
Dahulu Mek Yah bekerja sebagai pemetik buah petai dan turut membersihkan hutan dan semak untuk kegunaan dan keperluan peneroka di kampung.
Kisah sewaktu menagih dadah memberi keinsafan buat Mek Yah yang sebelum ini pernah ditangkap polis dan kelima-lima anak Mek Yah telah berpecah belah dan terpaksa diambil oleh ahli keluarga dan ada yang di bantu hantar ke tahfiz untuk dibela sementara waktu sehingga Mek Yah dibebaskan selepas pulih.
Sebelum Abe menghulurkan bantuan, Mek Yah seorang ibu tunggal yang turut tinggal di sebuah rumah daif, namun dengan bantuan Abe Hae, Mek Yah telah berjaya mendapatkan sebuah rumah baru yang di berikan oleh kerajaan.
Kini kehidupan Mek Yah banyak berubah ke arah lebih positif. Anak-anak juga sangat gembira bila menyambut kehadiran team Kongsi Kasih dan Perfume Paradise.
Malah anak-anaknya juga sangat senang dan mengasihi Abe Hae yang mereka gelar ‘Ayoh’.
Abe Hae telah membawa tilam baru dan juga keperluan barangan makanan buat Mek Yah sekeluarga dan turut memberikan bantuan uniform sekolah buat anak-anak Mek Yah.
“Saya banyak jadikan pengalaman sebagai satu teladan. Sangat malu pada waktu ditangkap namun kini semuanya berubah. Saya berterima kasih kerana sudi hadir melawat dan memberi bantuan kepada saya sekeluarga,” kongsi Mek Yah.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...