Uncategorized

Musim Percutian Datang Lagi. Nak Bercuti? Jangan Lupa Perkara Penting ini!

Share

Percutian hujung tahun merupakan saat paling dinantikan oleh seisi keluarga, di mana kenangan manis dapat dicipta bersama orang tersayang. Namun, untuk memastikan percutian berjalan lancar tanpa sebarang gangguan kesihatan yang tidak diingini, persediaan rapi adalah kunci utama.

Salah satu langkah penting yang tidak boleh diabaikan ialah pengambilan suntikan influenza, terutamanya jika percutian melibatkan perjalanan ke kawasan sesak atau luar negara. Dengan vaksinasi ini, anda bukan sahaja melindungi diri dan keluarga daripada risiko jangkitan, tetapi juga memastikan percutian tetap selesa dan bebas daripada masalah kesihatan yang tidak dijangka.

Penyakit influenza sering dianggap ringan dan ramai melihat ianya hanya seperti selesema biasa. Namun, bagi golongan berisiko, seperti warga emas, kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun, ibu hamil, serta individu dengan penyakit kronik, influenza boleh menjadi ancaman serius yang membawa komplikasi kesihatan yang berbahaya.

Juga Baca:https://www.mingguanwanita.my/demam-panas-secara-tiba-tiba-kenal-pasti-simptom-influenza-lambat-rawat-boleh-sebabkan-kematian/

https://www.mingguanwanita.my/mawar-rashid-serik-seisi-keluarga-dijangkiti-virus-influenza-a/

Dr Azureen Azmel

Menyedari kepentingan pencegahan, Dr Azureen Azmel, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit menekankan keperluan mendapatkan suntikan vaksin influenza setiap tahun.

Mengapa Golongan Berisiko Perlu Suntikan Influenza?

Menurut Dr. Azureen, selain daripada jangkitan sinus dan telinga, golongan berisiko lebih mudah terdedah kepada komplikasi seperti jangkitan paru-paru, radang otak dan otot jantung malah dalam kes tertentu, boleh menyebabkan kematian.

“Golongan berisiko ini lazimnya mempunyai sistem imun yang lemah, menjadikan tubuh kurang berupaya melawan jangkitan virus seperti influenza. Dengan vaksin, risiko ini dapat dikurangkan dengan ketara,” jelas beliau.

Vaksin influenza bertindak merangsang tubuh untuk menghasilkan antibodi yang dapat melawan virus influenza. Namun antibodi ini makin lama makin berkurangan dan perlu dirangsang semula dalam jangkamasa setahun.

Oleh kerana virus influenza boleh mengalami perubahan genetik, komposisi vaksin juga perlu disemak dan dikemaskini mengikut keperluan, maka penting bagi setiap individu untuk mendapatkan vaksin setiap tahun bagi memastikan perlindungan yang optimum.

 

Manfaat Suntikan Influenza

1. Melindungi Kesihatan Individu Berisiko

Suntikan ini mengurangkan kemungkinan mendapat influenza dan mengurangkan keterukan gejala sekiranya dijangkiti.

2. Mencegah Penularan

Vaksinasi bukan sahaja melindungi diri tetapi juga orang kesayangan sekeliling, terutamanya kanak-kanak dan warga emas dalam keluarga.

3. Mengurangkan Beban Hospital

Dengan vaksin, kadar kemasukan hospital akibat komplikasi influenza dapat dikurangkan, seterusnya mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Bilakah Waktu Terbaik untuk Mendapatkan Suntikan?

Dr. Azureen menasihatkan agar suntikan influenza diambil pada bila-bila masa sepanjang tahun untuk memastikan perlindungan maksimum dan diulangi pada waktu yang sama setiap tahun berikutnya.

Bagi yang bercadang untuk melancong, jangan lupa untuk mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum perjalanan bagi memberikan masa yang cukup kepada vaksin untuk mula berfungsi dan membina perlindungan. Suntikan influenza boleh diambil di hospital dan klinik-klinik di seluruh negara pada harga yang amat berpatutan.

Menghapuskan Mitos tentang Vaksin Influenza

Dr. Azureen juga menjelaskan beberapa salah faham yang sering dikaitkan dengan vaksin influenza. Contohnya, ramai yang beranggapan bahawa suntikan ini boleh menyebabkan influenza. “Ini tidak benar. Vaksin mengandungi virus tidak aktif, yang tidak boleh menyebabkan penyakit,” jelas beliau.

“Bagi golongan berisiko, suntikan influenza bukan pilihan tetapi satu keperluan. Ia adalah langkah pencegahan yang efektif untuk melindungi diri dan mereka yang tersayang daripada ancaman kesihatan yang serius,” katanya.

Vaksinasi adalah salah satu cara paling mudah untuk memastikan kesihatan optimum, terutamanya bagi golongan rentan. Dengan kesedaran yang lebih tinggi, masyarakat dapat memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban penyakit influenza.

Mengambil suntikan influenza adalah langkah mudah dan berkesan untuk melindungi diri, keluarga, dan komuniti daripada ancaman penyakit yang boleh dielakkan ini.

Suntikan influenza adalah cara yang selamat dan berkesan untuk melindungi diri daripada penyakit influenza yang serius. Walaupun umumnya dianggap selamat, suntikan influenza mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan ringan antaranya termasuklah inflamasi di tempat suntikan seperti kemerahan dan bengkak, demam ringan, keletihan, sakit kepala atau sakit otot.

Kesan sampingan suntikan influenza kebiasaannya ringan dan bersifat sementara. Risiko kesan sampingan serius adalah sangat rendah, tetapi jika anda mengalami gejala yang luar biasa selepas suntikan, segera dapatkan rawatan perubatan. Berbincanglah dengan doktor jika anda mempunyai sebarang kebimbangan sebelum menerima suntikan ini.

Jangan tunggu sehingga terlambat—lindungi diri anda dan orang tersayang dengan mendapatkan suntikan influenza hari ini.

Segala informasi mengenai influenza boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.actoflove.ifl.my/ms.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Rosmah Idayu