
Musim ke-4 rancangan realiti amal yang dinanti-nantikan, Kongsi Kasih, kembali dengan episod pertamanya yang mengundang rasa sebak dan keinsafan. Mengangkat tema ‘Kongsi Kasih, Jejak Jalanan, episod ini menampilkan kisah sebuah keluarga yang berjuang meneruskan kehidupan di sebalik cabaran ekonomi dan kesihatan.
Suami & Anak-Anak Perlu Perhatian Khusus
Episod pertama membawa penonton menyelami kisah Puan Saliza, seorang suri rumah yang berhadapan dengan komplikasi penyakit darah tinggi dan kencing manis namun perlu menumpukan perhatian dan penjagaan terhadap dua orang cahaya matanya orang kelainan upaya atau OKU berusia 11 tahun dan 5 tahun yang turut berdepan dengan masalah kesihatan.
Keadaan kesihatan Saliza juga sebenarnya tidaklah begitu baik apatah lagi dirinya mempunyai penyakit asma kronik. Setiap bulan dia perlu menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan di Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk pemeriksaan anak-anaknya.
Kesempitan dari sudut kewangan kadang-kala menyebabkan dirinya terpaksa menunda temujanji rawatan di hospital apatah lagi hanya berharap menunggang motorsikal untuk membawa anak-anak ke hospital.
Sokongan Perfume Paradise
Menerusi episod ini, pasukan Kongsi Kasih bersama penaja, Perfume Paradise tampil memberikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga Puan Saliza.
Menurut pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran, dia sebenarnya terkesima dengan kehidupan Puan Saliza yang kuat semangat meskipun terpaksa berhadapan dengan dugaan kehidupan.
Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/perfume-paradise-jana-kewangan-melalui-wangian/
Pihak Perfume Paradise juga turut membuka peluang dan ruang untuk keluarga ini menjana pendapatan sampingan melalui Perfume Paradise di samping memberikan sokongan secara menyeluruh dari bimbingan pemasaran hingga produk berkualiti yang mudah dijual.
Pengacara rancangan Kongsi Kasih musim ke 4, Haze Huzir berkongsi momen berkunjung ke kediaman Puan Saliza yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong yang menyentuh hati pengacara ini apabila melihat kanak-kanak berusia 5 tahun yang berhadapan dengan masalah kesihatan iaitu kepala besar ini menyambut kedatangan tetamu dalam suasana penuh gembira.
“Kami percaya bahawa setiap insan yang menghadapi kesukaran berhak diberikan peluang kedua. Melalui Kongsi Kasih, kami bukan sahaja ingin membantu, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat untuk saling membantu dan menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Menurut Puan Saliza, sejak Fatimah berada di dalam kandungannya, keadaan tumbesaran Fatimah telah dikesan tidak normal. Doktor mengesahkan otak Fatimah nipis dan dipenuhi air.
Malah sejak bayi lagi, perlu berhati-hati memegangnya kerana kepalanya besar dan badannya semangat. Tetapi sebagai ibu, sudah tentu saya beranikan diri untuk menguruskannya sehingga kini,”ujar Saliza memulakan bicara.
Meskipun berhadapan dengan masalah kesihatan, Saliza sentiasa memanjatkan doa semoga suami dan anak-anak berada di dalam lindunganNya apatah lagi suami juga berhadapan dengan masalah kesihatan yang kronik.
Selain diuji masalah kesihatan anak, Puan Saliza turut perlu menguruskan emosi dan tingkah laku anak perempuannya yang mempunyai masalah lembam dan sering dibuli di sekolah akibat kekurangannya itu. Anak kedua beliau juga merupakan pemegang kad OKU, masalah pembelajaran dan hyperakftif.
Berkat kesabaran dan kerjasama dari pihak guru, Puan Saliza berharap anaknya itu memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih tenang dan bersemangat.
Episod 1 turut menyaksikan kesusahan hidup tidak mematahkan semangat, malah memberi dorongan kepada insan-insan ini untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dan bersabar menghadapi setiap dugaan dalam kehidupan.
Sokongan Penguat Semangat
Selain kisah keluarga Puan Saliza, episod pertama juga memaparkan kisah bekas penyampai radio, Kieran atau nama sebenarnya, Maskiran Jakiran yang menghidap kanser prostat dan kanser itu kini sudah mula merebak ke bahagian perut dan paru-paru.
Kieran terharu apabila ramai rakan artis tampil membantu apabila dirinya ditimpa musibah. Hatinya tersentuh kerana ramai teman masih ingat kepadanya biarpun sudah 10 tahun meninggalkan dunia penyiaran.
“Ramai yang prihatin, Alhamdulillah Allah kurniakan saya sahabat yang baik-baik. Terima kasih kepada semua,” katanya yang beroleh semangat yang kuat untuk pulih.
Saksikan tayangan episod Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima, setiap
Jumaat jam 7 malam bermula 14 Februari, dan hayati kisah-kisah penuh
inspirasi yang menyentuh hati. Mari bersama kami menyebarkan kasih dan kebaikan
kepada komuniti yang memerlukan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI