Tiap kali penghujung tahun, pastinya mak ayah sibuk atur rancangan untuk pergi bercuti bersama anak-anak. Maklumlah, musim cuti sekolah panjang macam nilah masanya nak bawa anak-anak pergi berjalan. Bahkan ramai mak ayah yang awal-awal lagi sudah ‘simpan’ cuti tahunan mereka hingga ke hujung tahun. Selalunya percutian keluarga pada penghujung tahun ini lebih lama dan lebih banyak memakan belanja.
Dalam keadaan zaman serba serbi mahal ini, kenapa masih ramai ibu bapa yang mampu bawa anak-anak mereka pergi bercuti? Sebabnya mereka sudah rancang dari awal tahun lagi. Jadi, bajet telah dibuat awal, lagi mudah nak merancang perbelanjaan.
Ada juga ibu bapa yang mewujudkan ‘tabung percutian keluarga’. Setiap bulan, akan diperuntukkan sejumlah wang untuk percutian hujung tahun sekeluarga. Ada ibu bapa yang akan ajak anak-anak untuk turut sama menyumbang. Misalnya setiap hari anak-anak diberikan belanja sekolah RM5. Setiap seorang ‘digalakkan’ untuk memasukkan baki wang belanja mereka di dalam tabung percutian keluarga walau pun 10 sen! Jumlah tidak penting. Cara ini sebenarnya bertujuan mengajar anak-anak sifat berjimat dan ada rasa tanggungjawab untuk sama-sama mencapai impian, iaitu menyimpan duit untuk percutian keluarga.
Tepuk dada, tanya poket. Mampu atau tidak? Tapi kalau kena caranya, percutian ke luar negara hanya memakan belanja yang lebih kurang sama percutian di dalam negara. Misalnya tiket penerbangan sudah ditempah lebih awal. Berapa banyak sudah boleh jimat bukan? Itu semua berbalik kepada bagaimana anda membuat perancangan.
Untuk saya sendiri, saya rancang percutian keluarga mengikut kemampuan diri; sama ada dari sudut kewangan mahu pun masa. Kadangkala, memang ada bajet, tapi masalah nak minta cuti pula. Lebih-lebih lagi kerja sebagai wartawan yang sering dihambat ‘deadline’. Kalau nak bercuti, kenalah buat ‘advance’ bahan! Sebabnya kerja kami tak boleh ditangguh-tangguh dan melibatkan pihak lain. Jika seorang tak siapkan artikel-artikel kolum tetap dia, takkan dia nak mengharapkan rakan lain yang buatkan? Orang lain pun ada kolumn masing-masing. Tak bertanggungjawab namanya tu. Bagi kami, tiada istilah cuti ‘ikut suka hati’, kecuali kecemasan.
Tapi yang paling utama, setiap kali tiba cuti sekolah panjang, saya akan ‘hantar’ anak saya balik kampung saya di Terengganu. Biarlah dia menikmati kehidupan di kampung, bersama nenek dan datuknya. Itu jauh lebih baik daripada terperap di rumah dengan bertemankan telefon bimbit sepanjang masa! Saya lebih rela anak saya belajar panjat pokok, pergi mandi sungai daripada berkepit dengan gajet memanjang!