Musibah Di Dunia Dan Di Akhirat, Ketahui Cara Hindarinya

Share

Musibah…Siapa yang tak pernah disentuhnya, siapa yang selalu aman daripada ujian, siapa yang tiada musuh penyimpan benci, siapa yang terlepas dari mata jahat pendengki, siapa yang tak pernah berdepan dengan pengkhianat yang mengintai?

Di Sebalik Musibah Dan Ujian Allah SWT

Kita semua pasti pernah hadap semua itu, segala onak duri kehidupan yang mendewasakan. Rupa-rupanya Allah SWT mahu mengajar kita makna perjuangan, pengorbanan, jatuh bangun nyawa dan raga. Bagi orang beriman ia tidak sia-sia, ada balasan menunggu mereka.

Allah SWT melalui wahyu kepada Rasul-Nya s.a.w juga membimbing kita agar terhindar daripada sebarang musibah di dunia terlebih-lebih lagi musibah di akhirat. Jika disuruh memilih di antara dua musibah ini tentulah kita lebih takut dan cuak dengan musibah di akhirat. Tapi bila berdepan dengan musibah dunia pun kita sudah begitu ‘koyak rabak’ bagaimana nanti di akhirat? Antara petua untuk mencegah musibah ialah:

Kenali Musuh

Bertahun-tahun dalam perkawinan, cinta dan kesetiaan diuji. Syaitan sentiasa mengawasi, kenalilah musuh kita. Dialah syaitan laknatullah, dia datang menghantar musibah dalam bentuk halus pada diri suami dan isteri sehingga keduanya sentiasa bersangka buruk dalam hal nafkah harta dan jiwa yang cemburu buta.

Musibah juga dikirim syaitan ke dalam darah muda anak-anak kita yang terpukau oleh permainan dunia, hati mereka keras kerana abaikan ilmu agama, semangat beribadah telah layu dipukul dunia yang pandai memuaskan hawa nafsu, hidup lupa tujuan. Keluarga yang mengalami musibah ini jauh dari ketenangan, duit tak dapat membeli bahagia, bila tak ada duit lagi berat ujiannya. Syaitan telah meminta peluang dari Tuhan untuk tenggelamkan manusia ke dasar neraka dan Allah mengizinkannya.

Iblis berkata: Kerana Engkau (Allah SWT) telah menghukumku sesat, maka aku akan benar-benar menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus.” (Surah al-A’raf ayat: 16)

Senjata Bernama Syukur

Musibah dan ujian itu umpama anak panah syaitan yang terus-menerus meluru pada jantung iman kita. Hanya orang-orang yang bersyukur sahaja yang mampu menangkis senjata iblis laknatullah, kenapa ‘syukur’ yang menjadi penyelamat kita?

Kerana syukur kepada Allah SWT ketika mengalami musibah akan memberi kekutan untuk tetap bersandar pada Allah SWT, sedangkan syaitan itu amat lemah tipu dayanya.
“Kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang, kanan dan kiri. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka itu bersyukur.” (Surah al-A’raf ayat: 16-17)

Baca artikel lain di sini:

Ketika Diuji Musibah…Jangan Asyik mengeluh, Lebih Baik Angkat Tangan Berdoa

Mak Ayah Kena Bertegas Dengan Anak Soal ‘ Top Up’ Saham Akhirat

Ikuti Mingguan Wanita di instagram 

Syukur Senjata Menakutkan Syaitan

Rupa-rupanya hebat sungguh nilai syukur dalam jiwa manusia, sehinggakan syaitan sebut itu sebagai senjata paling mematikan dan menakutkan mereka. Orang yang bersyukur kepada Allah walaupun dia berada pada titik paling rendah dalam carta imannya, dia tetap ada peluang untuk bangkit. Kerana syukur yang masih tersisa dalam hatinya umpama satu-satunya udara yang membolehkan jantungnya bernafas semula.

Mulakanlah dengan bersyukur, seteruk apapun keadaan kita dihempas musibah jangan sesekali putuskan tali syukur dari jantung hati kita. Jika masih ada syukur maknanya masih ada harapan untuk kita bangkit semula dalam peperangan ini. Syaitan tidak pernah putus asa, kenapa kita yang lebih mulia dicipta Allah SWT daripadanya menyerah kalah?

Istighfar

Ada masanya hati kita tak tenang, walaupun kita telah solat, puasa, bersedekah, bangun malam bermunajat, tetapi hati kita masih rasa sedih oleh sentuhan musibah yang tiba-tiba datang. Tiada yang salah pada ibadah kita, itu semua normal manusia akan mengalaminya hatta Rasulullah SAW juga ditimpa kesedihan oleh kerenah umatnya dari kalangan orang-orang munafik. Allah SWT suruh kita banyak beristighfar untuk mencegah musibah yang lebih besar datang.

Kami tidak akan menurunkan azab bencana selagimana mereka masih beristighfar.” (Al-anfal ayat: 33)

Bala bencana pandemik covid 19 kini belum dapat diatasi, masihkah kita berterusan menjaga hati dan lisan kita untuk terus beristighfar?

Sedekah Amalan Tolak Bala

Manusia diuji dengan kelaparan, sakit, kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, dimusuhi, dianiaya, dizalimi, difitnah dengan keji sehingga dia bertemu Allah SWT membawa pahala sabar yang banyak dan habis dosa-dosanya dicuci oleh musibahnya itu ketika di dunia.

Musibah jangan dicari, boleh jadi tangan kita yang menyebabkan musibah itu datang dan boleh jadi tangan kita juga yang mencegah musibah turun. Antara amalan yang boleh menolak bala adalah sedekah.

Al Imam Ibn Qayyim menyatakan: “Sungguh sedekah itu mencegah kematian yang buruk, mencegah mala petaka, sedekah melindungi dari orang yang zalim. Sedekah akan menghapuskan dosa, menjaga harta, mendatangkan rezeki, membuat gembira hati, menyebabkan hati yakin dan berbaik sangka kepada Allah SWT.

Jika datang ujian Allah SWT tiada yang berubah pada diri kita, tetaplah bersyukur. Semoga di akhirat nanti tiada musibah lagi kena kita hadap kerana di dunia semuanya telah kita bayar dengan sabar.

Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam

Published by
Nurul Azwa