Murah Rezeki Bila Rohana Che Hassan Suka Bersedekah & Bantu Pembangunan Anak-Anak Tahfiz

Share

Pertama kali bertemu dengan wanita yang juga seorang ibu tunggal, Rohana Che Hassan, 49 sememangnya penulis pada awalnya tidak menyangka dia merupakan seorang usahawan yang berjaya. Ini kerana personalitinya yang cukup merendah diri membuatkan wanita ini mudah untuk didekati. Malah tiada jurang antara kami, Rohana ibaratkan penulis seperti rakan yang telah lama dikenalinya. Mendekati wanita yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak ini rupa-rupanya pernah mengalami masalah dalam perniagaan dan kini dia bangkit dengan produk terbaru Najya Beauty.

Dalam mengendalikan perniagaan dalam bidang kosmetik yang telah dibina sejak 11 tahun lalu, wanita ini sebenarnya mempunyai kisahnya yang tersendiri. Tidak mahu hanya mengaut keuntungan, Rohana lebih selesa membelanjakan sebahagian besar dari keuntungan syarikatnya bagi membantu pembangunan anak-anak tahfiz.

Bersama anak-anak Tahfiz.

“Sewaktu di awal perniagaan saya mula berkembang, saya selalu menghadiri kelas mengaji di Dewan Haji Ismail yang terletak berdekatan dengan kediaman saya di Sungai Buloh. Dari situ pada satu hari terbuka hati saya untuk membayar zakat dan saya bertanyakan kepada seorang hamba Allah ini bagaimana saya mahu salurkan wang zakat saya dan kalau boleh nak wang tersebut sampai kepada negeri kelahiran saya di Kedah.

“Kemudian hamba Allah itu pun memberi cadangan saya memberi sumbangan kepada Madrasah Misbah Al-Falah yang juga dikenali dengan nama Pondok Lanai yang terletak di Kampul Banggol Berangan, Parit Panjang. Pondok yang mencecah lebih separuh abad itu diasaskan oleh Allahyarham Omar Zuhdi Salleh merupakan khazanah ilmu yang tiada nilainya. Pengetuanya kini merupakan anaknya, Md Mukhtar Omar Zuhdi.

“Pondok yang diasaskan Tuan Guru Hj Omar Zahdi kini menempatkan 500 murid, ibu tunggal, warga emas, keluarga susah dan 40 guru termasuk kakitangan. Guru yang baharu berkhidmat di pondok ini hanya memperoleh gaji sebanyak RM400. Ketika mendengar kesusahan yang dialami oleh pihak mereka saya ke sana kira-kira 9 tahun lalu dan menghulurkan wang sebanyak RM10,000 ketika itu bagi mengurangkan sedikit beban pengurusan.

“Ketika itu ustaz terharu dan sangat bersyukur denga wang yang akak derma. Ustaz berkata sememangnya pada waktu itu mereka dirundung kesusahan dan rasa seperti ingin menutup operasi. Namun dia memegang amanah ayahnya yang mahukan pondok ini meneruskan sistem pondok tradisional dan tidak dijadikan pusat untuk mengumpul kekayaan sentiasa tersemat kukuh di hatinya.

“Malah ustaz juga memegang prinsip arwah ayahnya yang sentiasa berpesan, kalau ada yang nak belajar di sekolah memang kena ada bayaran untuk makanan namun jika ada yang tidak mampu dan tidak berduit tetap terima pelajar tanpa bayaran. Jadi sejak itu akak terus menderma kepada Pondok Lanai dan dalam sebulan sekurang-kurangnya akan menderma lebih kurang RM8,000 untuk membantu menampung pembayaran gaji guru. Syukur alhamdulillah, selain memberi bantuan setiap bulan saya juga membuat sedikit pembaik pulih dua buah asrama,” ujar Rohana yang sangat bersyukur kerana masih mampu memberi derma kepada Madrasah Misbah Al-Falah.

 

Sewaktu mengadakan lawatan di Madrasah Misbah Al-Falah.

Buka Tahfiz Darul Hadis Hafizudden Mekar Semilu

Rohana juga berkata, dia sangat bersyukur kerana pada tahun lalu dia diberi rezeki untuk menaung sebuah Pusat Tahfiz yang baru diberi nama Darul Hadis Hafizudden Mekar Semilu sempena nama anaknya.

“Syukur kerana Allah memberikan rezeki yang berpanjangan dan tahun lalu seorang ustaz telah membuka Pusat Tahfiz baru dan saya sebagai penaung. Tahfiz ini diberi nama Darul Hadis Hafizudden Mekar Semilu.

“Memandangkan Pusat Tahfiz ini masih baru memang kami memerlukan banyak peruntukan terutama untuk membeli tiga ekar tanah yang berhadapan dengan Pusat Tahfiz ini. Tujuannya untuk membesarkan lagi pusat pengajian ini.

“Setakat ini Darul Hadis Hafizudden Mekar Semilu baru mempunyai 40 orang pelajar dan tiga orang guru. Bermula dari darjah satu dan menerima mereka yang berminat untuk mendalami ilmu agama. Setakat ini kami sudah bina beberapa pondok untuk mak-mak dan nenek-nenek tinggal di Pondok. Memang Pusat Tahfiz ini dikenakan yuran namun bagi mereka yang tidak berkemampuan kami sedia membantu,” ulas Rohana yang cukup gembira apabila hasratnya untuk membina sebuah rumah tahfiz terlaksana.

Taja Golongan Kurang Berkemampuan Mengerjakan Umrah

Rohana juga sejak sembilan tahun lalu telah menaja beberapa orang mengerjakan umrah. Kemungkinan besar pada tahun ini dia juga bakal mengerjakan umrah bersama mereka yang terpilih untuk bersama-sama ke Mekah.

“Memang dari awal saya menjejakkan kami mengerjakan umrah saya sudah berdoa di hadapan Kaabah untuk membawa beberap orang setiap tahun ke Mekah.

Published by
Norhayati Suboh