Catatan ini, Ashikin Hashim yang merupakan Pengetua di Genius Aulad Saujana Utama kongsikan selepas terkesan dengan pemergian pasangan suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31 dan Nur Syahadah Zaini, 31 dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan.
Kedua arwah ini meninggalkan dua cahayamata, Hana Safiyyah, 6 dan Hana Safina yang mana anak sulung itu belajar di Genius Aulad Seksyen 23, Shah Alam. Hiba hatinya mengenangkan masa depan pelajarnya itu.
Inilah ujian hati yang perlu dihadapi oleh setiap insan dengan penuh ketabahan. Dan bayangkan jika hari ini menjadi hari terakhir untuk isteri gosok baju suaminya..
Mak-mak…
Allah berfirman di dalam surah Al Baqarah ayat 156
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Inilah ucapan istirja yang paling banyak saya dengar dan baca hari ini kerana perginya menghadap Allah, 2 orang insan yang dipanggil ibu dan ayah oleh anaknya yang bernama Hana Safiyyah iaitu pelajar Genius Aulad Seksyen 23 Shah Alam.
Peristiwa ini berlaku seolah-oleh ulangan kejadian yang menimpa sahabat kepada anakanda saya iaitu Daris yang juga kehilangan ibu dan ayah (termasuk adik bongsunya) di dalam satu kemalangan jalan raya sama seperti ibu ayah Hana Safiyyah.
Ucapan ini diucapkan apabila kita mendengar khabar dukacita (bukan hanya tentang kematian).
Hebatnya ayat Allah ini. Ayat yang mengingatkan kita, bukan hanya sekadar lafaz bila dengar khabar kematian. Kita yang hidup ini yang sebenarnya diperingatkan oleh Allah SWT.
Mak-mak…
Ucapan ini adalah ucapan untuk kita juga sebenarnya.
Kita kepunyaan Allah.
Suami kepunyaan Allah.
Anak-anak kepunyaan Allah.
Ibu ayah kepunyaan Allah.
Tiada pun milik kita. Allahu akbar
Tiada yang milik kita. Allahu akbar
Semua yang kita ada hatta suami yang paling kita cinta dan damba setiap waktu pun kita tak mampu nak pegang hati dia.
Walau kita tembok dia sekukuh tembok besar China sekalipun takkan dapat kita menahan dan memegang hatinya.
Semua yang kita ada hatta anak-anak yang kita sayang dan jaga bagai menatang minyak yang penuh. Tak bagi walau seekor nyamuk gigit anak kita pun tak mampu kita ikat dan paksa dia dengar cakap kita.
Kita hanya mampu merayu, sembah sujud dan mohon kepada Allah untuk minta kepada Allah.
Maka apa yang kita bangga sekarang: suami romantik, anak bijak, rumah besar, kereta mewah, pekerjaan hebat.. Itu semua ihsan Allah. Itu semua hibah dari Allah.
Satu hari nanti kita bakal menghuni barzakh. Lebih lama dari kita huni dunia mungkin.
Allahu akbar
Bila-bila masa Allah boleh ambil nyawa kita.
Tapi kita selalu alpa.
Kita leka dengan dunia.
Bangun tidur ingat dunia.
Solat kita susahnya nak khusyuk
Doa tak sungguh-sungguh.
Kita tak jadikan akhirat dan jumpa Allah itu matlamat kita
Ini semua saya.. Saya cakap pada diri saya sendiri.
Mak-mak…
Ramai yang risau kalau aku mati siapa nak jaga anak-anak aku.
Kalau aku dengan suami aku mati serentak macamana rumah, kereta, duit, anak-anak.
Kalau aku yang pergi dulu, suami aku kahwin lagi ke.
Allahu akbar… Itulah fikiran kita. Betul tak mak-mak.
Saya pujuk diri.
Janganlah risau… Allah ada.
Allah sebaik-baik PERENCANA.
Allah sebaik-baik PERANCANG.
Dari kita mati sampai ke siapa yang menjaga apa yang kita tinggalkan semua Allah dah susun atur cantik.
Semoga Allah bagi senafas lagi buat kita untuk terus berbakti kepada keluarga.
Mungkin hari ini hari terakhir kita gosok baju suami kita.
MW : Sungguh.. beratnya sebuah kehilangan. Semoga ingatan ini memberi sedikit kekuatan untuk kita bertahan dan bangkit dari kesedihan.
Sumber/Foto : Ashikin Hashim