Mungkin setelah beberapa tahun berkahwin, anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena. ‘Cinta buta’ di awal perkahwinan itu tidak kunjung celiknya. Perasaan sayang kepada suami kian pudar dan timbul pula benci!
Ikut perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/Promind-Training-And-Consultation-136635193169189/
Ya, entah kenapa pandai pula anda mengadu perasaan itu kepada rakan baik di pejabat.
“Iyalah, Senah… aku tau aku kena sayang suami aku tapi kasih sayang itu tidak boleh dipaksa.”
“Eiii..kau tak boleh buat macam tu Kiah. Berdosa tau!”
Mungkin Tiada Jawapannya…
Senah pun memberi ceramah percuma tentang tanggungjawab seorang isteri sayang dan taat kepada suami. Semua yang Senah ceramahkan itu sudah anda tahu. Yang Senah tidak beritahu ialah jawapan kenapa anda merasa begitu!
Minda Sedar Dan Minda Bawah Sedar
Untuk faham kenapa anda boleh secara tidak sedar mula membenci suami kita kena tahu bahawa minda manusia ada dua komponen. Minda sedar dan minda bawah sedar.
Minda sedar ini mudah mengawalnya tetapi minda bawah sedar ini memproses maklumat dan membuat keputusan sendiri tanpa disedari. Seperti anda berhujah ‘Cinta Itu Buta’ maka begitu juga perasaan benci yang datang tanpa diundang ini.
Ianya adalah keputusan minda bawah sedar yang memproses maklumat yang tidak kita sedari. Satu-satunya cara untuk mengelak keadaan ini ialah dengan menyedari apakah maklumat masuk yang tidak anda sedari itu?
Mungkin Isteri Nak Perhatian Jer
Anda sudah sedia? Mari kita mulakan. Pertama, isteri perlukan perhatian. Anda menjadi buta kerana cintanya dahulu kerana dia begitu ‘caring’ dan ‘loving’. Namun sejak anak berderet ini semua itu sudah masuk longkang.
Anda pergi salon, menitik peluh berzumba, diet sampai nak pengsan tapi dia tidak perasan pun. Tidak ada lagi dating di panggung wayang sebab bila lapang sahaja dia sibuk keluar memancing dengan kawan. Bila dia begitu, anda senyum kelat dalam hati yang tidak reda.
Dulu anda pilih dia pada waktu dia tidak ada satu benda dan bukan siapa-siapa pun. Namun selepas berkahwin dia buat anda macam tidak tahu apa-apa. Semua yang anda buat, tidak kena di matanya. Apabila dengar dia selalu merungut begitu, secara tidak tidak sedar anda mula terfikir tidak adakah perkara betul yang anda lakukan?
Suka Puji Wanita Lain, Bini Sendiri Tak Pernah Puji!
Dari perspektif lain, anda akui suami lelaki kacak. Sejak dulu memang ramai perempuan mengejarnya. Ketika itu dia memang sedikit nakal dan selalu memuji perempuan lain di depan anda.
Namun sekarang dia masih begitu dan telinga anda seperti disiram timah cair apabila dia memuji perempuan lain di depan muka anda. Bukan sekali. Bukan dua kali. Entah kenapa semakin dia buat begitu, hati anda semakin meluat terhadapnya.
Senarai ini boleh menjadi sangat panjang. Sekarang bagaimana untuk mengelak perkara ini menjadi lebih kronik? Anda isteri yang baik dan tidak mahu terus dimainkan syaitan membenci suami sendiri.
Dulu Janji Terima Seadanya
Ada beberapa ikhtiar yang boleh dilakukan. Pertama, kita hanya lihat apa yang kita mahu lihat. Dulu anda janji menerima dia sama ada dalam keadaan buruk atau keadaan baik. Sudah memang perangainya begitu tetapi tentu ada yang baik pada dirinya.
Apa yang baik pada dirinya? Adakah dia sayang kepada anak-anak? Adakah dia kaki surau? Mungkin dia pandai masak atau apa sahaja yang baik pada dirinya. Cari dan lihatlah kebaikannya itu.
Mungkin Suami Tak Tahu
Kadangkala suami tidak tahu perangainya itu menyakiti hati isteri. Dia sangkakan anda boleh menerima sikapnya begitu. Belajarlah teknik bercakap-cakap dan kongsilah rasa gelisah anda itu dengan dia. Niat yang baik dan dilaksanakan dengan cara yang betul pasti membawa hasil yang dimahukan.
Perkahwinan adalah perjalanan hidup yang panjang. Ada berjuta lelaki yang disangka baik rupanya tidak begitu dan begtu juga yang sebaliknya. Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia.
Jalan isteri ke syurga adalah sangat mudah. Ikhlaskan niat bersabar dan berkhidmat kepada suami kerana Allah SWT. Saya bukan ustaz tetapi percayalah tidak ada lelaki yang tidak kalah dengan isteri ahli syurga yang begitu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI