Orang kata waktu hamil inilah waktu terbaik isteri nak bermanja dengan suami. Ketika perut besar, suami jatuh kasihan. Ibu mengandung minta lah apa saja.. insyaAllah suami tunaikan. Tapi tak semua ibu hamil lalui proses kehamilan sebahagia itu. Malah, sakit perut pun terpaksa ke klinik sendirian.
Ada yang diuji suami tak ambil hirau pun dengan kesusahan isteri alami. Sebagaimana ibu hamil ini, Firda Ashaary pernah lalui kesedihan sedemikian pada perkahwinan terdahulu. Dan pengalaman itu, menjadikan dirinya ibu hamil yang cekal lagi tabah.
Ini pesan Firda untuk mereka yang lalui pengalaman seumpama.
Tadi aku ke hospital bersama Encik Suami untuk pemeriksaan baby. Selepas menurunkan aku di ruang lobi PAC, Encik Suami terus ke tempat parking dan menanti di sana bersama anak-anak. Sekarang musim kobit ni kan, tak boleh berteman.
Sambil menanti giliran dipanggil, satu persatu pesakit yang datang aku perhatikan.
Muncul seorang ibu mengandung, menghampiri kaunter. Selepas check suhu dan scan mysejahtera, beliau duduk di kerusi sambil menunggu misi keluar dari dalam bilik untuk memberi perkhidmatan.
“Ya, puan. Mai pasai pa?” sapa misi bertugas.
“Sakit perut.”
“Puan, mai dengan sapa?” tanya misi lagi sambil mata melilau melihat sekeliling.
“Sorang.”
Pendek jawapan yang diberikan, perlahan ja tapi aku di belakang masih mampu mendengar.
Ada nada sayu di situ. Allah. Walau beliau membelakangkan aku dan aku tak nampak reaksi wajahnya, tapi aku yakin beliau sedang bersedih.
Aku menyandar seketika. Terimbas kenangan yang aku sendiri lalui hampir 11 tahun lalu ketika mengandungkan Suffian. Sendirian memandu ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan baby. Semalaman perut meragam hingga ke pagi.
Selesai semua pemeriksaan, selepas ditambah air dan sebagainya, misi dan doktor bertugas membenarkan aku pulang.
“Puan, dah boleh balk. Siapa jemput puan?”
“Saya drive sendiri,” jawap aku ringkas. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
Misi dan doktor saling berpandangan.
“Kalau macam tu takpa lah Puan, Puan rehat dulu di katil ni. Hilang pening kesan ubat nanti tu, baru Puan drive balik ye
Aku kembali berbaring dan memejamkan mata. Berharap doktor dan misi segera beredar. Sebaik derapan kasut diorang menjauh. Aku buka mata. Air mata perlahan gugur membasahi bantal.
Sebak hanya aku sendiri yang faham. 1001 kisah terpendam tak terluah, aku telan satu persatu. Yang tak mampu ditelan, aku biarkan tergantung. Aku tidak lagi mengikut arus, aku cuba menongkah arus demi sebuah kehidupan dan harga diri.
Baca sini : Seksanya bila salah pilih suami, bukan saja isteri, anak-anak terkesan sama.
Orang selalu cakap ibu mengandung ni selalunya degil, kuat merajuk, hati batu, hati tisu. Macam-macamlah yang orang cakap.
Tapi mungkin tanpa mereka ketahui disebalik apa yang dicakapkan tu, sebenarnya terselindung sejuta rahsia yang mereka mungkin tak tahu. Tak nampak di mata.
Ya, aku akui aku memang degil. Aku juga hati batu. Rajuk aku, rajuk yang berbuku. Membuatkan hati aku keras. Aku terus melangkah walau terboyot-boyot sendiri, walau belum pasti jalan mana harus aku tujui. Ada yang kata aku ikut hati, ikut kepala sendiri. Aku pekakkan telinga.
Dan Akhirnya, Allah takdirkan aku di sini hari ini, seperti yang kalian lihat. Alhamdulillah. Sebuah kisah bahagia Allah kirimkan di hujung ceritera airmata yang panjang.
Pesan aku pada wanita-wanita khususnya ibu-ibu yang sedang berduka, usah terlalu menjaga hati orang lain hingga mengabai kebahagiaan hati sendiri. Usah lagi menangis, lapkan airmatamu. Usah dibazir. Jalan terus, jangan menoleh. Kumpulkan segala kekuatan demi sebuah kebahagiaan yang dicari.
Bahagia itu adalah untuk 2 hati bukan hanya satu hati memberi dan satu hati menerima.
InshaAllah, jangan gusar. Allah pasti bersama kalian.
#SuffianSuffiya #KisahDunia
1001 kisah suka duka sebuah kehidupan, mencari bahagia.
Sumber/Foto : Firda Ashaary
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita