Benarlah kata orang mulut emak memang “masin”. Setiap kata-kata emak menjadi doa buat anak-anaknya biar pun dia tak berniat. Oleh sebab itu mak seharusnya berfikir dahulu sebelum berkata-kata.

Jangan disebabkan kata-kata emak, hidup anak-anak jadi terbeban dan rezekinya terhalang. Berhati-hatilah kerana anak-anak yang menanggung setiap kata-kata seorang mak.

Ikuti perkongsian, Puan Dhuha Rashidi

Ibu bapa kena banyak doakan anak. Doa tidak sekadar khas lepas solat saja. Bila lihat, doakan. Bila pegang, doakan. Bila meragam, doakan. Bila happy, doakan. Yang baik-baik.
.
Saya teringat satu kisah benar. Moga menjadi pelajaran dan pengajaran pada kita semua.
.
Pernah suatu ketika semasa emosi tidak diurus baik, saya menjadi bersalah sangat pada diri sendiri. Semacam ada benda yang menganggu fikiran. Rasa terjerut. Baru setahun jagung jadi ibu , tentulah banyak proses salah dan silap. Ahh! Semacam tidak berfungsi sebagai ibu yang bagus pula. Terlebih bimbang. Masa itu.

Datang satu cetusan , kenapa aku tidak ‘ringan hati’ doakan anak-anak aku? Maksud ‘doakan’ di sini , selalu memandang lebih kebaikan pada setiap kejadian dari keburukan. Apa salah sendiri. Apa yang perlu dibetulkan. Begitu. Benda inilah yang asyik berlegar di fikiran.

Ada satu peristiwa semasa dalam perawatan Islam. Allah izinkan saya melihat sendiri kisah perjalanan hidup seorang anak lelaki yang selalu datang mahu berubat.

Hidup Banyak Halangan

Beliau datang mengadu pada ustaz, ada masalah iaitu rasa terhalang dalam kehidupan. Apa yang dibuat semua tidak menjadi. Pernah dirikan bisnes, tidak pernah satu pun berjaya. Pernah niaga kecil-kecilan, pun entah apa-apa. Ada saja halangan. Mahu juga merasa bahagia berpasangan, maka berkahwinlah. Perkahwinan pun tidak tentu hala jadinya.

Disangkakan salah jin. Asyik menyangka kena sihir. Bila ustaz beritahu tiada unsur sihir, terkaku kelu.

Nak dipendekkan ceritanya , ustaz bertanya kepada lelaki itu. Ada ibu lagi atau tidak. Beliau kata masih ada. Ustaz cadangkan minta ampun pada ibu jika ada dosa dan salah silap yang belum diredhai. Minta doa yang baik-baik dari ibu.

Lelaki ini mendengar nasihat ustaz. Mengangguk. Namun, seperti ada sesuatu yang disimpan.

Tak lama dari itu, beliau membuka cerita.

“Saya tahu ada dosa saya, tapi mak saya ini ustaz , suka cakap yang tak elok , macam mana nak mintak doa yang baik-baik ”

Ustaz tidak jelas.
Apa yang tidak eloknya. Contoh yang macam mana. Betulkah tidak elok.

“Mak saya suka maki saya ustaz, bila jumpa, mak mesti bercakap buruk-buruk pada saya, bila jauh, saya telefon, mak maki dalam telefon pulak ustaz, kadang saya malas nak angkat telefon ustaz, bila mak nak datang rumah saya elak ustaz, tak tahan dengar ” . Nadanya sayu menepis sebak yang tertahan.

Astaghfirullah.

Minta Mak Doakan

“Tak apa, teruskan berdoa dan selalu minta mak doakan yang baik-baik ” kata ustaz.

IKLAN

“Pelik juga saya ni ustaz, bila saya jumpa mak , 10 minit je mak okey , lepas itu mak kata, mak runsing dengan saya, mak kata saya ini tak pernah buat mak tenang, saya pelik, dalam masa sekejap itu saya buat apa pada mak. Mak mesti ungkit dia dah berhabiskan duit, anak tak jadi apa, dia nak saya jadi macam mana ustaz”

Ustaz yang merawat setia mendengar. Kejap tunduk pejam mata. Kejap ‘hmm’ tanda faham cerita.

“Ayat mak selalu sebut, kamu ini apa pun tak boleh buat, semua bankrap, apa benda buat pun, tak pernah jadi, kamu nak jadi apa, apa pun tak boleh harap, banyak kali ustaz, dari saya sekolah,” lelaki itu melepaskan nafas lega dan hiba.

“Mak sudah jadi biasa cakap bukan-bukan, bila saya kata mak sabarlah, mak doakan saya, mak kata, berapa banyak sudah aku doa, apa pun tak makbul, sampai kadang itu saya bergaduh juga dengan mak, saya merajuklah juga, mak pun ada merajuk dengan saya”.

Ustaz diam. Lelaki itu pun turut diam. Saya tidak nampak wajahnya bagaimana ketika itu. Di antara nada suara, saya tahu dalamannya terseksa. Ustaz tidak menghukumnya. Malah menasihati dengan berkali-kali pesan. Walau mungkin terselit juga keegoan diri daripada seorang anak yang dirasakan tidak dihargai.

Tiada cadangan lain yang saya dengar cuma ustaz memesan, mohon ampun pada ibu dan mintalah doa yang baik-baik keluar dari mulut ibu. Dengarkan kata-kata yang baik itu dengan telinga. Aminkan doa ibu itu. Kalau ibu tak mahu, pesankan pada ibu, tolong ucapkan doa sekian-sekian untuk kita.

Saya teringat kisah ini berasa gayat memikirkan lebih-lebih. Ada di mana rahmat buat anak-anak bila ayat yang keluar dari mulut ibu bapa, hanya bermula dari kesalahan dan kekecewaan pertama, terus dapat ayat yang buruk. Menyedihkan jika berlarutan sampai tua. Nauzubillahiminzalik.

Apakah kita tidak boleh fikir, satu masanya, kesan buruk bakal berlaku pada anak-anak akibat dari mulut kita sendiri. Seperti kata orang , mulut emak mulut ‘masin’.

Mengingat pesanan ustaz bahawa percakapan ibu adalah satu DOA buatkan saya termuhasabah lagi.

Keluar Ayat Yang Indah

Ya Allah, kurniakan aku kesabaran mendidik anak. Pinjamkan aku kekuatan membesarkan anak. Supaya yang keluar dari mulut ini adalah ayat yang indah lagi menenangkan hati anak-anak ku. Supaya lidah ini menjadi asbab bila mereka mengingati ibu , terus berzikir ingat kepada Allah.

IKLAN

Mungkin , hati ibu lelaki itu tadi tercalar dek perilaku anak. Mungkin juga kecewa dengan harapan sendiri. Boleh jadi juga, emosi yang tidak diurus dan ada perkara pahit belum dilepaskan si ibu. Sehingga membuatkan ibu menjadi biasa memaki hamun anak-anak sebegitu mudah.

Jika tidak dirawat hati yang penuh kekecewaan, harapan yang punah, inilah kesannya. Anak-anak menjadi mangsa. Apakah mahu dibiarkan pula hati sendiri terus-terus menderita?

Dan… ya, untuk melatih diri bercakap benda kebaikan pada anak ini kena ada kesedaran yang perlu dilatih selalu. Ia proses demi proses.

Lupa mendoakan bukan alasan. Tetapi ia perlu dilatih jadi kebiasaan.

Saya teringat pesan emak sendiri. Jadi ibu, jangan cakap bukan-bukan pada anak. Sesakit mana hati pun, tahan mulut dari memaki hamun. Banyakkan doa. Esok anak tak mahu dekat. Kita pun kena mohon ampun. Sayu. Saya tahu emak saya. Terima kasih mak.

Kalau difikir semula, kita ini , banyak mendoakan atau tidak. Waktu memandang anak-anak kita. Waktu menyentuh memeluk anak kita. Waktu dia happy, dia sedih, waktu dia tantrum. Waktu dia tidur. Ada tak kita doakan. Mungkin selama ini kita tidak sedar , banyak marah dan buat tak endah yang kita beri. Buatkan mereka sunyi , merajuk hati atau rasa jauh.

Jadi, disini saya lanjutkan dengan amalan yang biasa saya buat.

Ini dia #Empat point saya tuliskan.

  1. Bila lihat doakan.
    Setiap hari, uruskan anak-anak, kita lihat mereka. Makan, bersiap, buat kerja sekolah, tidur, kita lihat mereka , kita doa dalam hati , ” Ya Allah, mudahkan urusan kami menjalankan amanah ini, moga dia jadi anak yang dimudahkan urusan sepanjang hidupnya, makbulkan doaku ya Allah”

Saya selalu ambil peluang waktu hantar anak ke sekolah. Bila mereka semakin berlalu hilang dari pandangan, saya suka lihat mereka sambil mendoakan sesuatu. Bukti syukur kita. Latihlah. Saya pun sedang berlatih.

Kadang saya doa senyap senyap. Nampak termenung mungkin. Anak tegur. Saya kata , mak doakan anak mak lah. Dia happy.
Kadang mereka tidur. Saya usap kepala. Kita doa. Hati kita rasa lapang.

IKLAN
  1. Bila pegang doakan.
    Berapa kali dalam satu hari kita menyentuh anak kita. Memeluk. Mengusap kepala. Usap belakang. Tepuk bahu. Main sep sep. Pimpin tangan. Kan. Banyak tempat dan ketika kita boleh doakan.

Satu amalan yang dilakukan oleh arwah bapa mertua saya kepada suami masa dia kecil adalah membacakan ‘Alam Nasyrah’ diubun kepala sewaktu menyikat rambut.

Begitu juga suami , akan memanggil anak-anak . Sambil sikat , membaca ayat itu dan menyampaikan pesan. Kemudian ucap ayat yang baik baik.

” Ya Allah , mudahkan urusan hidup anak ini. Jadikan dia hambaMu yang patuh kepada Mu ya Allah , sayangi dia ya Allah , lembutkan hatinya ya Allah ,tenangkan dia yaAllah ” kita buat ayat ayat manja dan meminta kepada Allah. Biar anak dengar doa itu. Selain dari berdoa dimasa kita bersendiri.

  1. Bila meragam doakan.

Kerap kali, bila anak buat perangai tantrum dia, saya akan peluk. Bila anak dah selesa dipeluk (semua anak dibuat begini) saya doakan. Bagi dia dengar doa tu. Usap belakangnya. Lama-lama dia tenang sangat. Insyallah, sekejap sangat dia meragam.

Dari baby lagi saya sudah praktikkan begini. Ya Allah , hamba-Mu (merujuk kepada kami) ini rasa letih ya Allah , dia mengantuk sangat ya Allah , kurniakan dia sabar. Dia anak yang mendengar. Yang taat. Tenangkan hatinya ya Allah.

  1. Bila happy doakan.
    Waktu anak tengah happy melompat bermain, tengah happy sebab dapat something , teruja depan mak ayah, waktu tu, kita doakan dia. Ajar mereka untuk bersyukur masa happy.

Ucapkan ayat yang baik-baik. Elakkan menjerit marah-marah , mencubit atau rotan. Kesiannya budak tengah mood happy melompat , tapi kena marah pulak. Kita ucapkan ayat yang buat mereka rasa lebih syukur gembira. InshaAllah , bila ada doa doa baik , mereka akan tenang. Tak banyak ragam. Mereka akan rajin, ringan tulang bantu ibu bapa , boleh jadi mereka offer buat kerja. Jika merajuk pun tak lama.

Bertaubatlah

Sebagai ibu atau bapa, kita yang kena banyak muhasabah dengan Tuhan. Anak bermacam perangai yang memeningkan itu terbentuk dari siapa juga. Kita heboh dan rimas anak kita tak mahu bertaubat, kita bertaubatkah pula. Saya ingat betul pesanan ini semasa ceramah Ramadan tahun lalu.

Insyallah, bila kita pandang begitu. Hidup kita dipermudahkan. Semua urusan terselesai dengan izin Allah. Itulah makna rezeki melimpah.

Insyallah.
Mudah – mudahan buat sahabat yang membaca ada yang dapat manfaat ya.

Mana yang baik ambil. Mana yang kurang sesuai , tinggalkan. Boleh saja #SHARE dengan senang hati.

Dalam cerita orang, ada pelajaran untuk diri.

Puan Dhuha Rashidi.
Trainer Islamic Calligraphy.

Sumber: Puan Dhuha Rashidi

MW: Semoga perkongsian ini memberi inspirasi buat mak-mak di luar dalam mendidik serta membesarkan anak-anak. Berhati-hati dalam berkata-kata terutamanya terhadap anak.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI