Mulianya Hati Guru Ini, Noor Asmaa’ Tanam Sifat Jujur & Setia Saat Berhadapan Pelajar

Share

Selama 14 tahun bergelar pendidik pelbagai dugaan dan cabaran yang dilalui. Namun itu semua bukanlah satu halangan untuk Noor Asmaa’ Hussein, terus mengajar anak bangsa. Pensyarah dari Politeknik Kota Bharu (PKB) Kota Bharu Kelantan ini mengajar sejak tahun 2007 di PKB dan sebelum ini berkhidmat di Politeknik Kulim, Kedah selama dua tahun.

Banyak pengalaman manis sepanjang bergelar pendidik diperolehi sewaktu mengajar di dua buah politeknik.

Bersama para pelajar.

“Bagi pengalaman pahit, saya tak ada sangat cuma kadang-kadang terpaksa berdepan dengan karenah dan sikap pelajar yang pelbagai ragam. Pada saya menangani isu ini adalah perkara biasa dan ianya sudahpun sebati dalam hidup seorang yang bergelar pendidik.

“Apa yang penting kita hendaklah menganggap para pelajar yang dalam usia remaja sebagai rakan karib kita. Sebarang permasalahan dan karenah mereka hendaklah ditangani dengan lebih profesional dan bersesuaian dengan tujuan untuk mendidik tanpa mereka merasa tersisih atau jauh hati.

“Dalam bidang  pendidikan, pendidik yang komited dan pelajar yang memberi fokus dan tumpuan sepenuh hati dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sudah tentu menghasilkan objektif yang maksimum. Seorang pendidik hendaklah sentiasa bersungguh untuk mencurahkan segala ilmu dan kemahiran yang ada. Kejujuran dan kesetiaan adalah dua sifat mulus seorang pendidik saat berhadapan dengan para pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan,” ujar Noor Asmaa’ yang begitu peramah.

Cipta Inovasi Minat Bahasa Inggeris

Tenaga pengajar ini juga turut memaklumkan antara pengalaman manis sepamnjang bergelar pendidik apabila beliau dan rakan-rakan mencipta inovasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

“Saya dan rakan dapat mencipta inovasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran di mana objektif kepada inovasi tersebut adalah untuk membantu para pelajar supaya lebih berminat dengan matapelajaran Bahasa Inggeris. Inovasi yang kami cipta adalah berpusatkan pelajar dan mengambil kira minat dan keperluan mereka.

“Apa yang membuatkan kami makin teruja untuk lebih komited dan bersemangat adalah dua inovasi yang kami cipta telah memenagi anugerah emas, satunya diperingkat politeknik dan satu lagi di peringkat negeri Kelantan. Saya dan kumpulan juga pernah mendapat jemputan dari Kerajaan Negeri untuk membuat pameran inovasi kami di Karnival Sains dan Teknologi Kelantan 1.0 pada tahun 2016.

“Selain itu saya dan kumpulan pelajar di bawah seliaan saya pernah memenangi  dua pertandingan Drama dan Choral Reading dalam Bahasa Inggeris di peringkat Politeknik Kota Bharu. Menjadi mentor dan pembimbing kepada para pelajar dalam pertandingan sebegitu telah memberi pengalaman yang paling berharga buat diri ini. Bakat dan kebolehan para pelajar telah dapat dicungkil melalui penyertaan mereka di dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan,” ungkap guru yang mengambil jurusan Ilmu Wahyu (Usul a-Din dan Perbandingan Agama) di Universiti Islam Antarabangsa dan menyambung pengajian di peringkat diploma di Maktab Perguruan Kota Bharu bagi jurusan TESL (KPLI).

Cabaran

Menyentuh tentang cabaran dalam mendidik anak bangsa, Noor Asmaa’ menyatakan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini memberikan cabaran besar kepada semua pendidik.

“Hari ini, tugas pendidik bukan sekadar penyampai ilmu dan maklumat sahaja malah lebih daripada itu. Perkembangan teknologi glo­bal ini turut membuka ruang baru dalam pembelajaran. Internet telah menjadi medium yang membuka medan pembelajaran merentasi sempadan fizikal. Selain cabaran kandungan ilmu dan maklumat menerusi internet, para pendidik turut berhadapan dengan pedagogi alaf baharu yang memerlukan pengintegrasian pintar antara pengajaran semuka dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

“Para pendidik perlu lebih kreatif dan sering melakukan inovasi dalam penyampaian ilmu. Reaksi positif seorang pendidik untuk sentiasa komited dalam mendidik anak bangsa biarpun pelbagai cabaran melanda adalah bukti kemuliaan profesion ini sekali gus memartabatkan lagi keprofesionalan kerjaya sebagai seorang pendidik,” sambungnya yang seronok dapat menyumbangkan idea dan tenaga dalam mendidik anak bangsa bagi melahirkan graduan TVET yang lebih holistic dan berketerampilan.

Mempunyai hubungan rapat dengan pelajar, wanita ini tidak mempunyai masalah dalam mendapatkan sokongan dan bantuan pelajar dalam apa-apa tugas atau program yang dianjurkan.

“Saya sering mendapat ucapan selamat hari guru dari bekas pelajar yang masih mengingati diri ini. Saya merasa sangat berbangga dengan pencapaian mereka sehingga ada yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Kami sering bertanya khabar melalui media sosial. Pada saya bukan nilaian hadiah yang kita lihat tapi tanda ingatan itu yang lebih penting,” ungkap Noor Asmaa’ yang turut mendapat sokongan dari suami dan seluruh ahli keluarga.

Suami menjadi tulang belakang dalam kejayaannya.

Bersama keluarga tercinta.
Published by
Norhayati Suboh