Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.