Keluarga angkat yang banyak memberi tunjuk ajar kepada Zulaikha

Suatu ketika dahulu Siti Zulaikha Choo Abdullah, 29, pernah membenci Islam. Hanya dengan cabaran oleh salah seorang rakan kolej ketika belajar, wanita yang pernah dikenali dengan nama Choo Ti Ma ini amat membenci Islam, namun setelah diselami dan dipelajari, perasaan benci bertukar menjadi sebaliknya.

Peluang melanjutkan pelajaran ke Selangor telah memberi hikmah yang besar. Wanita yang mesra disapa dengan nama Zulaikha berasal dari Lundu, Sarawak ini mendapat hidayah Allah tatkala bulan Ramadan yang mulia. Melihatkan keberkatan yang ada pada bulan tersebut, menuntut dirinya untuk lebih mengenali agama Islam yang suci ini.

“Saya merupakan seorang yang sangat membenci Islam, hanya kerana kawan kolej cabar saya untuk ‘cari sebab kenapa saya membenci Islam’? Dari saat dan detik itulah saya mula mencari tentang agama ini. Saya nak buktikan kepada kawan saya yang Islam ni teruk, jahat. Tapi semakin saya mencari tentang Islam perasaan benci itu berubah menjadi suka, minat dan lebih kepada ingin tahu. Bertahun-tahun mencari tentang keburukan Islam tapi apa yang saya ketemu adalah ketenangan dan bukannya kebencian.

Mulanya Nak Buktikan Islam Teruk, Akhirnya Zulaikha Dapat Hidayah Allah Dan Ucap Syahadah
Sering menghadiri kursus untuk mendalami tentang Islam

“Apa yang boleh saya katakan juga saya tertarik dengan Islam kerana bulan Ramadan. Di daerah tempat saya tinggal di Sarawak bilangan penduduk di sana tidak ramai. Ketika di sekolah rendah hanya ada seorang pelajar Islam di sekolah saya. Jadi saya memang tak nampak cara-cara kehidupan orang Islam. Bila saya sambung belajar ke Selangor, saya mula nampak kehidupan orang Islam dengan lebih jelas terutamanya bila tibanya masuk bulan Ramadan. Saya tertarik bila melihat umat Islam bersama-sama ketika waktu berbuka dan seterusnya mengimarahkan masjid untuk solat sunat tarawih bersama-sama,” ujar Zulaikha.

Tidak Putus Asa

Setelah banyak belajar tentang Islam, hati Zulaikha mula terbuka untuk memeluk agama Islam. Namun ia ditentang oleh keluarganya yang merupakan penganut agama Buddha dan Kristian. Memandangkan dirinya jauh di perantauan, dia nekad untuk teruskan hasrat tersebut dan pada 2016 secara rasminya Choo Ti Ma memeluk Islam dan menukar namanya kepada Siti Zulaikha Choo Abdullah.

“Pada tahun 2015 saya dah nyatakan hasrat pada keluarga untuk peluk Islam tetapi ditentang oleh mereka. Tapi saya nekad dengan keputusan saya, kebetulan saya ikut kawan serumah balik ke kampungnya di Terengganu. Di sana saya memeluk Islam di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada 3 Januari 2016.

IKLAN

“Saya sembunyikan tentang pengislaman saya selama dua tahun. Namun sepanjang tempoh tersebut saya tetap pulang ke Sarawak seperti biasa terutamanya setiap kali perayaan Tahun Baru Cina. Setelah ada kekuatan mental dan fizikal akhirnya saya berterus terang. Saya kuatkan diri dan bersedia dengan segala kemungkinan.

“Apabila dimaklumkan sahaja, keluarga tidak dapat menerima saya. Namun, saya tetap berusaha untuk berbaik semula dengan keluarga sehingga sekarang walaupun saya masih tak diterima sepenuhnya,” ujarnya penuh sayu.

Tambah ZUlaikha lagi, kehidupannya juga kini berubah setelah menjadi seorang muslim. Dari suka bersosial, mengambil minuman beralkohol untuk mencari ketenangan, kini sedikit demi sedikit Zulaikha berubah ke arah kebaikan.

IKLAN
Mulanya Nak Buktikan Islam Teruk, Akhirnya Zulaikha Dapat Hidayah Allah Dan Ucap Syahadah
Menyertai salah satu aktiviti pengagihan bantuan kepada mualaf lain

“Dahulu saya boleh dikategorkan suka bersosial. Lepak dari malam hingga pagi. Pendek kata banyak habiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Tapi sekarang Alhamdullilah walaupun tidak sebaik dan sesempurna orang lain, saya mula berubah ke arah kebaikan. Kalau dahulu cepat marah, kini saya lebih tenang dan sukakan kedamaian. Doakan saya semoga ia berterusan dan berkekalan,” ujar anak bongsu dari tujuh orang adik-beradik ini.

Dugaan Demi Dugaan

Perjalanan Zulaikha untuk terus mendalami Islam bukanlah mudah, sudahlah ditentang keluarga malah ada juga teman-teman yang seolah tidak menyokong keputusan yang diambilnya itu.

“Awal penghijrahan saya amat terkilan bila rata-rata kawan saya yang beragama Islam menjauhkan diri dari saya kerana mereka merasakan saya memperlekehkan mereka dari segi penampilan, sikap adan amalan sebagai muslim. Majikan dan kakitangan bukan Islam di tempat kerja pula tak boleh menerima saya dan merasakan Islam itu punca utama saya harus dibuang kerja. Setiap hari saya disindir, di maki,” katanya dengan nada sedih.

IKLAN

Walaupun terpaksa lalui pelbagai rintangan untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, itu semua tidak menjadi penghalang buat Zulaikha. Dia yang turut aktif menghadiri kursus-kursus yang disediakan untuk saudara-saudara baru.

Mulanya Nak Buktikan Islam Teruk, Akhirnya Zulaikha Dapat Hidayah Allah Dan Ucap Syahadah
Rakan-rakan yang banyak membantu

“Saya banyak ikuti kursus-kursus yang dianjurkan untuk saudara baru, contohnya di Selangor, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyediakan kelas-kelas fardhu ain khas untuk mualaf. Memandangkan saya bekerja pada waktu siang, saya akan hadir kelas pada waktu malam. Pada masa yang sama saya turut mengikuti kelas belajar al Quran berbayar bagi memantapkan lagi pengetahuan saya,” katanya lagi.

Ternyata apabila memeluk Islam, satu perasaan yang cukup indah mendatangi Zulaikha. Kini dia berasa lebih tenang, aman dan damai.

“Bagi saya setiap apa yang berlaku menjadikan saya lebih reda dan percaya ada hikmah tersembunyi disebaliknya,” ujar Zulaikha mengakhiri perbualan.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI