Julia Lury memilih untuk memeluk agama Islam apabila melihat cara hidup dan budaya yang diamalkannya selama ini tidak sealiran dengan kehidupan. Julia telah memeluk agama Islam ketika berusia 21 tahun. Keluarganya mengetahui keputusannya itu. Mereka juga tidak menghalang wanita bangsa Murut ini melakukannya.
“ Sebenarnya sebelum mengenali agama Islam, saya tidak suka apabila mendengar laungan azan menandakan masuknya waktu solat. Saya sakit hati terutamanya ketika saya seronok menonton televisyen tiba-tiba rancangan drama yang saya sedang lihat itu perlu dihentikan seketika bagi memberi ruang untuk seruan azan.
“ Namun apabila saya semakin berusia dan menghadapi pelbagai ujian, dan untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu, saya sedar semuanya perlu berbalik pada agama. Apabila seseorang itu ada agama dan belajar mengenai agama itu, saya rasa segala masalah yang dihadapi itu sudah tidak ada. Saya mula ada sifat reda,” ujar Julia Lury memulakan bicara.
Hati Julia terdetik untuk memeluk agama Islam apabila dia merasakan sistem yang manusia buat itu tidak adil.
“ Apabila saya belajar dalam Islam saya dapati sistem yang adil itu. Segala-galanya dijelaskan dengan begitu teliti. Amat berbeza dengan agama lain. Itu yang membuatkan saya tertarik. Saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz di Keningau.
“ Tetapi sebelum saya bertemu ustaz itu, saya pernah suarakan hasrat hati untuk memeluk Islam pada kakak sepupu yang beragama Islam. Saya tanya pada dia bagaimana cara untuk melakukannya. Kakak sepupu yang mengatur pertemuan dengan ustaz tersebut,” tambahnya.
Walau proses pengislamannya mudah tanpa sebarang halangan, namun sebagai saudara baru Julia merasakan masih ada perkara yang perlu dilakukan bagi mengisi kekosongan jiwanya. Hakikat tersebut jugalah telah membawanya berhijrah dari Sabah ke Semenanjung Malaysia.
“ Pada ketika itu saya sedar bergelar saudara baru di Sabah tidak mudah terutamanya jika saya mahu belajar dan mendalami agama Islam dengan sepenuhnya. Saya perlu berhijrah ke tempat di mana mudah bagi saya untuk mempelajari agama Islam.
“ Salah satu tujuan saya berhijrah adalah untuk mengubah minda, cara berfikir dan kefahaman sebab bila saya duduk di kampung yang budayanya tidak sesuai untuk seorang muslim, budaya itu akan terus melekat kuat dalam diri.
“Saya fikir selagi saya tidak berhijrah sudah pasti saya akan ikut budaya yang tidak sesuai dengan gaya hidup seorang Islam,” ujarnya lagi.
Setelah berhijrah ke Semenanjung, Julia mula mencari tempat untuk belajar agama Islam. Namun hasratnya untuk belajar agak sukar direalisasikan apabila memikirkan dirinya perlu bekerja untuk menyara hidup. Dia leka dengan kerja dan terlupa tujuan asal untuk belajar agama.
Hanya apabila berkahwin dengan suaminya sekarang, barulah Allah memberikan hidayah dalam dirinya untuk belajar agama Islam dengan lebih mendalam.
“ Namun begitu, Allah menduga saya dengan memberi ujian hebat. Saya sakit. Semasa sakit saya sering mengalami mimpi yang tidak baik. Setelah berubat, keadaan saya agak pulih. Mula daripada situ, suami sentiasa mengingatkan saya agar sentiasa bersolat dan ucap selawat, serahkan diri pada Allah.
“ Daripada situ juga saya mula buat apa yang disuruh suami. Saya juga nekad untuk mencari kelas agama. Setelah saya mula solat dan melakukan segala suruhan Allah, hidup saya mula tenang,” cerita Julia lagi.
Peluang menunaikan umrah juga telah mengubah hidup Julia. Dia semakin sihat dan mengamalkan ajaran Islam sebaik mungkin.
“ Ketika pergi umrah, saya amat takut kerana sedar ini tidak baik dan banyak dosa yang dibuat. Tetapi dalam perjalanan pergi dan balik menunaikan umrah itu saya berserah seratus peratus pada Allah. Saya bersedia untuk mati pada bila-bila masa.
“ Saya jadi begitu sebab saya rasa apa sahaja Allah bagi dalam kehidupan saya itu saya dapat atasi tanpa saya keluar dari agama Islam. Ketika itu perasaan ketika itu saya rasa diri ini ibarat sudah mendaki bukit yang tinggi dan ketika berdiri di puncak saya seperti sedar seperti mustahil saya melakukannya,” ulasnya.
Selesai menunaikan umrah, Julia merasakan segala-gala pertanyaan tentang hidup dan agama Islam sudah terjawab. Bermula dari situ juga dia merasakan keyakinannya pada Allah lebih tinggi.
“ Islam sangat mengubah diri dan hidup saya. Lebih dari seratus-peratus. Saya rasa sangat bertuah kerana hidayah yang Allah bagi itu bukan diberi pada semua orang. Tetapi hidayah itu perlu dicari juga. Saya rasa amat berbezam,” tambahnya.
Hidup Julia terus juga berubah apabila dia mula menceburi bidang nyanyian. Julia adalah anggota terbaru kumpulan nasyid Safiya. Setelah berehat lebih kurang 3 tahun dari industri, kumpulan nasyid yang terdiri daripada ahli asalnya, Leia Az-Zahra Justin dan Nurain T Abdullah, serta dua orang ahli barunya Julia Lury dan Nur Zee Amani telah melakukan comeback
dengan single terbaru berjudul Mudah-mudahan.Bagi Julia sendiri, dia memang suka menyanyi. Malah ketika ada hari perayaan dan keraian dia mesti menyanyi atau menyertai pertandingan ratu cantik.
“ Tetapi bila berhijrah ke Semenanjung saya nekad untuk berubah telah menyebabkan saya meninggalkan perkara tersebut.
“ Namun pertemuan dengan Nurain, rakan sekelas ketika belajar kelas agama di MAIS telah membuatkan saya menceburi semula bidang nyanyian. Pada mulanya saya tidak tahu Nurain ini penyanyi nasyid. Apabila kumpulan Safiya mencari ahli baru, saya terpilih,” ulas Julia.
Menyanyi ini adalah aktiviti sambilannya. Malah niatnya menyanyi nasyid ini bertujuan untuk menyebarkan dakwah. Dia tidak pernah sesekali akan leka dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim.