Mulanya Kongsi Minat Masak, Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Jiran Sebelah Rumah

Share

Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.

Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.

Saya  tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.

Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.

Gemar Masak

Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.

Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.

Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.

Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.

Rapat

Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.

Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!

Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.

Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…

Isteri Berdosa.

Baca lagi di sini:

Jatuh Cinta Dengan Ayah Kepada Adik Angkat

Tanda-Tanda Suami Rasa Diri Tak Lagi Dicintai, Isteri Kena Take Note!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Jawapan Kaunselor

Dengan Nama  Allah Yang Maha  Pemurah Lagi Maha  Mengasihi. Imam  Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada  anak muridnya. Antara satu  soalan yang ditanya  apakah yang  paling besar dalam dunia ini?

Pelbagai  jawapan diberikan oleh anak muridnya.  Tiada  satu jawapan yang betul. Maka  Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar  di sini bermaksud  manusia  tidak pernah puas  dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa  rasa tidak cukup.

Menarik

Mungkin pada ketika itu  manusia rasa  cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya,  namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.

Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya  amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada  dirinya.

Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item,  manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.

Nafsu Sukar Dikawal

Bercinta juga  merupakan  nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama  maka  ianya  akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia  lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik  dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…

Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada  dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta”  itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.

Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan  mungkin tidak nampak ketika  itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.

Tak Diredai Allah

Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah  atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya  nanti azab yang bakal diterima  di neraka kelak. Nikmat  yang dirasai  tidak sepadan dengan azab yang bakal  diterima  di akhirat kelak…nauzubillah….

Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia  tahu bahawa  itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah,  namun dia  belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.

HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU

Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya  pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya  nyatakan di atas,  atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara  dosa  dan pahala?

Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia  lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh”  dosa yang puan lakukan?

Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina  dengan lelaki lain?  Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha  keras untuk “membasuh” dosa  itu. Tidak kira sama  ada ianya  akan jadi bersih atau tidak. Namun  usaha  puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.

Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh  untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat.  Saya  rasa  puan sendiri  tahu caranya…namun saya  hanya mengulangi petua dan panduan untuk  membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga  puan, khususnya suami puan.

Putuskan Hubungan

Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar  nombor telefon. Kedua, jika  ada keramaian dengan keluarganya  atau masyarakat  setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata  dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya.  Jika  puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba  jauhi  daripadanya.

Jika dia minta  untuk berjumpa  buat kali terakhir  untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak.  Kerjaya  puan  adalah kerjaya  yang murni.

Tugas seorang pendidik mendidik manusia  untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.

Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara  pintu taubat  masih diterima  Allah. Banyakkan solat  malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa  puan.

Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.

 

 

 

 

 

Published by
Nurul Azwa