Mulanya tiada rasa cinta, perasaan biasa-biasa saja. Tapi mula rapat apabila sering berhubung untuk berkongsi info tentang minat yang sama. Siapa sangka, akhirnya sama-sama jatuh cinta.
Ya, jatuh cinta memang indah. Lebih membahagiakan andainya cinta itu berbalas. Terasa diri ini orang yang paling bahagia di dunia saat itu. Bak kata orang, ‘mandi tak basah, tidur tak lena’. Tapi, apa yang membahagiakan itu akan bertukar duka andai ia jatuh pada orang yang tak sepatutnya.
Ikuti pengakuan seorang duda yang kini menyesal kerana terpaksa melepaskan isterinya yang teramat baik bagi dirinya. Segalanya gara-gara dia jatuh cinta dengan kawan lama isterinya sendiri!
Kenali aku sebagai Haris saja, berusia awal 30-an. Hasil perkahwinan dengan Liza (nama samaran), kami memiliki tiga orang cahaya mata yang berusia 11, 10 dan 8 tahun. Aku bertugas di sebuah jabatan kerajaan. Begitu juga isteri. Kami bertemu dan bercinta sejak zaman universiti.
Kisah cinta kami tidaklah sehebat Romeo dan Juliet. Bahkan, percintaan kami tidak begitu banyak ranjau yang ditempoh. Segalanya berjalan lancer hinggalah kami akhirnya disatukan dalam ikatan perkahwinan.
Terus terang aku mengaku, Liza seorang isteri yang baik. Amat fokus pada keluarga. Aku juga dilayan dengan baik. Di rumah, aku jarang dibenarkan membantunya membuat kerja rumah kerana nanti ada saja tak kena di matanya. Tapi tugasku adalah menguruskan anak-anak dan membersihkan laman rumah kami. Aku seorang yang suka bercucuk tanam dan tanganku jenis ‘sejuk’. Apa saja yang ku tanam akan tumbuh subur.
Liza pula lebih suka bab menghias rumah dan tak berapa suka bercucuk tanam. Panas katanya bila di luar. Anak-anak makin besar dan boleh diharap untuk membantu.
Baca artikel menarik lain di sini:
Bila Suami Skandal Dengan Perempuan Lain, Ingatlah Bukan Hebat Mana Pun Jampi Wanita Itu..
Pasangan Pernah Curang, Macam Mana Nak Kembalikan Kepercayaan Yang Hilang?
Jangan lupa FOLLOW MINGGUAN WANITA di instagram
Rumah tanggaku dan Liza aman damai saja sehinggalah kedatangan Aina (nama samara) yang merupakan rakan sekolah menengah Liza dulu. Liza kembali berjumpa dengan Aina di dalam majlis reunion sekolah dan mereka mula berhubungan.
Aida janda anak dua dan bekerja sendiri. Membuat kek dan kuih frozen dari rumah. Dek kerana kasihankan Aina, Liza sering membeli kuih daripada Ainda dan turut mempromosikannya di pejabat. Mulanya aku tak mempunyai apa-apa perasaan pada Aina yang ku anggap sekadar rakan Liza.
Bila Aina datang ke rumah menghantar pesanan kuih frozen, pasti aku yang menyambutnya kerana selalunya aku akan berada di laman membelai pokok-pokok kesayanganku. Ternyata Aina juga memiliki hobi bercucuk tanam juga. Walau pun tinggal di rumah flat namun dia masih mampu bercucuk tanam di beranda kecilnya.
Lama kelamaan kami banyak bertukar-tukar info tentang tanam-tanaman. Mulanya aku hanya Add Aina di FB dan DM untuk berkongsi info. Akhirnya kami saling bertukar nombor telefon dan tentunya di belakang Liza.
Mulanya sekadar berkongsi info tentang tanaman, tapi lama kelamaan kami banyak berbual tentang anak-anakj dan kehidupan. Aina selalu bercerita tentang anak-anaknya yang kehilangan kasih seorang ayah kerana bekas suaminya tak bertanggungjawab.
Sikap Aina yang sentiasa ceria dan pandai membuatkan aku ketawa membuatkan aku selesa berkawan dengannya. Akhirnya aku secara sembunyi membantu Aina membuka sebuah bakeri kecil untuk dia meluaskan lagi perniagaannya.
Dari situ, kami akhirnya jatuh cinta dan hubungan kami makin serius. Aku sudah tekad menjadikan Aina isteriku yang sah dan Aina juga sanggup jika kami berkahwin di luar negara kerana tidak mahu Liza tahu. Dia serba salah kerana Liza rakannya.
Tak pernah ku duga, kecuranganku terbongkar jua dan sampai ke pengetahuan Liza. Sudah pasti Liza mengamuk dan tidak dapat terima kenyataan. Walau pun puas ku pujuk dan meminta maaf namun dia sukar terima yang aku bercinta dengan rakannya sendiri di belakangnya.
Malam itu juga dia keluar dari rumah membawa anak-anak bersama. Aku tak menghalang kerana sedar dia teramat terluka dengan sikapku.
Aku masih sayangkan Liza dan anak-anak tapi aku juga sayangkan Aina. Namun Liza tak dapat terima dirinya dicurangi lantas menuntut cerai. Dia sangat terpukul dengan perbuatanku dan tidak dapat memaafkan diriku lagi.
Berbulan-bulan aku cuba memujuknya namun dia enggan. Akhirnya dengan berat hati aku lepaskan Liza pergi. Walau pun kami telah berpisah, namun hubunganku dan anak-anak tidak pernah dihalang. Cuma tiap kali aku datang untuk jumpa anak-anak, aku tak pernah nampak lagi dia. Betapa dia cuba membuangku jauh-jauh dari hidupnya.
Aina? Hingga sekarang dia masih menungguku namun aku yang terpukul dengan tindakan Liza masih tidak dapat membuat keputusan untuk kembali bergelar suami. Aku kasihankan Aina tapi aku masih terluka kerana kehilangan Liza. Ternyata percaturanku silap. Ku sangka Liza sanggup bermadu tapi rupanya tidak…