Jodoh seseorang bukan boleh dilihat dengan mata kasar. Semua itu perancangan Allah. Samalah halnya dengan rezeki dan anak. Tak boleh nak tafsir. Sebagai seorang yang beriman, jangan putus harap dan doalah yang baik-baik.
Kisah wanita yang baru menginjak usia 40 tahun ini bukanlah sengaja mahu dicanang-canang. Ada sudut baik untuk kita fikirkan bersama.
Tahun 2018 ini, usia saya menginjak ke angka 40 tahun. Pada usia ini, kaum wanita rata-rata telah bernikah dan punya anak-anak yang meningkat remaja. Saya pula sebaliknya, masih kekal memegang status ‘anak dara’ tapi kini ada penambahan ‘tua’.
Terus terang, jauh dari sudut hati, saya juga manusia normal, punya keinginan untuk punya pasangan hidup dan memiliki anak-anak penghias rumah tangga.
Namun ternyata, belum diizinkan Tuhan untuk saya mengecap semua itu. Menyingkap kisah hidup saya, sejak kecil saya tergolong pelajar yang cemerlang.
Sehinggalah akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara. Pulang ke Malaysia, saya berkhidmat dengan sebuah syarikat yang agak tersohor sebagai akauntan.
Ternyata kehidupan peribadi saya tidak selancar kerjaya saya. Saya pernah beberapa kali menjalinkan hubungan dengan lelaki, semuanya terputus di tengah jalan.
Saya tak tahu apa sebabnya. Atau apakah kerana berpunca sikap saya sendiri yang ingin pasangan saya lebih hebat dan bijak daripada diri saya? Kadangkala apa yang kita harapkan tak kita peroleh.
Lupa soal Cinta, Fokus Sampai Dapat Ikut Jejak Mak Ayah
Selari dengan masa, saya seolah-olah ‘lupa’ akan soal cinta dan mencari pasangan hidup. Saya sibukkan diri dengan kerjaya dan menyambung pelajaran lagi di peringkat Sarjana.
Dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan pendidikan, ibu dan ayah tidak pernah beratkan saya dengan soal jodoh. Usia 30-an saya berlalu dengan mengejar ilmu dan kerjaya.
Selepas memiliki Sarjana, saya mengikut jejak langkah ayah dan ibu bergelar pensyarah di sebuah universiti awam.
Saya gembira dengan tugas mendidik anak-anak muda memandangkan dunia pendidikan sebenarnya dekat di jiwa saya. Rasa puas bila dapat berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar walau pun cabaran bukan sedikit.
Kata orang, ajar kanak-kanak lain, tapi bila ajar remaja ni lain. Sabar memang kena tinggi.
Cakap-cakap Belakang Buat Hati Mula Terasa
Kehidupan peribadi saya masih tetap sama. Bahkan ramai yang tidak sedar usia sebenar saya kerana saya kecil molek orangnya dan awet muda.
Saya enjoy dengan kehidupan saya lalui. Saya sering bercuti bersama rakan-rakan dan keluarga bila berkesempatan.
Namun, apabila adik saya mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, baru saya mulai terasa ada kekurangan pada diri saya. Sebenarnya sebelum berkahwin, adik saya itu telah meminta izin saya memandangkan saya anak sulung.
Saya pula tak kisah kerana jika jodohnya sudah tiba, mengapa saya perlu larang pula. Jarak usia kami beza empat tahun. Manakala adik yang ketiga (bongsu) berjarak tujuh tahun daripada saya.
Ditakdirkan, adik saya itu bunting pelamin dan akhirnya selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang comel.
Dia juga menjadi kesayangan saya dan ahli keluarga yang lain. Ketika itu, mula timbul cakap-cakap di belakang, mempertikaikan mengapa saya masih tidak berkahwin.
Saya ingatkan saya mampu menahan diri daripada terkesan dengan kata-kata itu namun ternyata tidak. Itu juga yang menyebabkan saya ‘bawa diri’ dan menyambung pelajaran ke peringkat PhD di luar negara dan kembali ke Malaysia pertengahan tahun lepas.
Kini saya kembali mengajar di universiti yang sama. Namun kedatangan tahun 2018 ini membuatkan emosi saya terusik, mungkin kerana sudah memasuki angka ‘4 series’.
Saya mula terasa dan tertanya-tanya, apakah saya akan hidup bujang selamanya? Masih adakah lelaki yang sudi memperisterikan saya yang sudah berusia ini?
Rata-rata kawan lelaki seusia saya lebih memilih gadis muda sebagai pasangan hidup…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI