rokok

Jika selama ini rasa lemas dan tidak selesa berada di kedai makan atau restoran gara-gara bau rokok yang melemaskan dan menyesakkan pernafasan, bermula tahun depan tiada lagi situasi ini.

Ini kerana berita gembira yang sekian lama dinanti-nantikan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun depan.

Melibatkan Semua Premis Makanan

Menurutnya, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua restoran dan premis makanan termasuk warung-warung makanan di tepi jalan.

“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran-restoran tertentu sahaja.

“Tetapi kali ini, semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan ini bermula tahun depan,” katanya.

IKLAN

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program International Conference on Life Style Disease (AICLSDs) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Universiti AIMST, Profesor Emeritus Dr Harcharan Singh Sidhu.

Mulai 1 Januari 2019, Mak-Mak Boleh Rasa Lebih Tenang & Selesa Bawa Anak Ke Kedai Makan, Ini Sebabnya!

IKLAN

Tindakan Akan Diambil

Dr Lee berkata, tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Katanya, pihak kementerian juga tahu akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan juga pemilik restoran berikutan arahan ini namun pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.

“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.

IKLAN

“Peniaga juga tidak perlu risau akan risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok,” katanya.

Kurangkan Perbelanjaan Kerajaan

Beliau berkata, ini adalah antara usaha KKM untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

“Situasi ini sekali gus diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya.

Tahniah buat Kementerian Kesihatan Malaysia atas langkah penguatkuasaan larangan ini yang sememangnya telah lama dinanti-nantikan. Barulah mak ayah boleh boleh bawa anak-anak keluar makan dan menikmati makanan dengan tenang dan selesa serta bebas daripada bau asap rokok.

Sumber: Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI