Agak lama berdiam diri, akhirnya penyanyi dan pelakon, Ziana Zain atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 50, membuka mulut dan meluahkan apa yang terbuku di hati tentang isu permohonan cerai yang dibuat.
Cukup sebak bila membayangkan situasi seorang isteri yang sudah lama memendam rasa tentang sikap baran suami yang dilepaskan pada anak-anak yang masih kecil. Ya, inilah yang dilalui oleh penyanyi Madah Berhelah dalam rumah tangganya bersama Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53 tahun.
Apa yang lagi menyakitkan hati ibu ini, apabila melihat keadaan anak sulungnya Muhammad Aiman yang berumur 18 tahun dan Ammar jadi murung serta lebih suka duduk dalam bilik. Punyalah tertekan kadang sampai migrain!
Ibu mana yang sanggup derita si anak, orang luar marah anak pun mak-mak dah rasa geram sampai ketap bibir. Ini pula suami sendiri yang melukakan anak-anak. Satu dugaan besar buat Ziana sekali gus nekad untuk failkan cerai. Ada suatu ketika anak-anak sampai serik nak makan luar…
“Saya pernah tanya pada anak-anak tak nak makan diluar ke? Pastu dia menjawab, ‘Tak nak Ma, nanti Ayah maki kita. Malu kita nanti dekat restoran.”
Luah Ziana dengan nada yang sedih, malahan dia merasakan tiada guna untuk teruskan hidup bersama jika perasaan takut-takut itu selalu ada.
“Tiap kali nak keluar dengan dia, kena berjaga-jaga. Jangan jadi apa-apa. We are not living in the reality. What for? This is not life.
Bila ditanya adakah ini waktu kemuncak segala emosinya, Ziana tenang menjawab…
“Dah lama benda-benda ni cuma major tak major je lah. Dulu kita pernah juga kena rotan dengan mak kita. Tapi rotan tu tahap mana. Kalau dah sehingga mencederakan anak saya, sampai muka anak bengkak, bercalar-calar, pecah tangan anak… saya dah tak boleh terima. Cukuplah. Sebelum ini pun anak yang kecik tu pun dicilikannya, Si Aril tu baru 3-4 tahun. Ini diperingkat dah tak boleh tahan.”
Namun Armin atau Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa, dia hanya akan bersetuju melafazkan cerai terhadap Ziana sekiranya dia dibenarkan untuk berjumpa dengan anak-anak mereka.
Dari pihak Ziana sendiri, bukan tak bagi tapi Ziana pun hanya mengikut prosedur ditetapkan polis yang tidak membenarkan semua anak mereka menemui Armin sepanjang kes perbicaraan.
“Saya bukannya zalim dan tidak mahu membenarkan dia berjumpa anak tapi saya perlu mematuhi arahan polis kerana mereka menjadi saksi kes penderaan seorang daripada anak kami.”
Rasa sedih bila dapat tahu masalah rumah tangga pasangan ini, tetapi inilah salah satu ujian bila sudah bertahun berkongsi hidup. Mungkin netizen boleh tepek macam-macam tentang keputusan ini tapi hakikatnya Ziana lebih mengenali siapa suaminya itu setelah 20 tahun hidup bersama.
Walau apa pun yang berlaku, team Mingguan Wanita mendoakan moga Ziana Zain terus kuat demi masa depan anak-anak.