Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Ads
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Ads
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ads
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Beberapa tahun lalu saya pernah berkunjung ke rumah artis yang pernah membintangi drama bersiri 3 Janji iaitu Azuan Mazlan bagi menjayakan sesi fotografi ruangan Santai Selebriti. Kini saya melihat status facebook milik Azuan Mazlan begitu banyak perubahan dalam hidupnya.
Pelakon ini begitu aktif sebagai Jemaah Tabligh. Saya juga berasa sangat terkesan dengan apa yang dikongsi oleh Azuan Mazlan beberapa hari lalu, malah dia juga merungkai bagaimana dia boleh berubah dari seorang selebriti yang hidup sosial dan kini lebih terarah kepada kehidupan yang berlandaskan kehidupan agama.
Paling tersentuh bila Azuan Mazlan menyatakan hidayah itu perlu diusahakan dan hidayah itu sangat Mahal disisi Allah SWT.
Ikuti Luahan Azuan Mazlan;
“Assalamualaikum wbt..
“Korang tengoklah gambar2 aku tu macam mana aku boleh tersesat masuk jemaah tabligh? Meh aku nak cerita..
“Dari kecil aku tak belajar pondok atau madrasah. Aku dibesarkan di bandar dan penuh dengan keadaan kehidupan moden & up to date. Dari kecil Allah swt anugerahkan pada aku pelbagai bakat dari segi sukan, hiburan, seni mempertahankan diri sampailah ke fashion. Hobi aku dulu main bola sepak & futsal sehingga kerjaya aku sedikit sebanyak pun ada sikit dalam bidang ni pada awalnya tapi sekejap jer. Cinta aku pd bola sepak tetap penuh membara.
“Selepas itu ditakdirkan aku jadi pelakon, banyak jugaklah aku diberi peluang utk watak2 besar sehingga watak utama. Sehinggakan satu hari tu buka setiap channel tv ada je muka aku melalui iklan tv dan drama dimainkan. Muka aku pun banyak juga menghiasi majalah2 & surat khabar. Tapi atas izin Allah ianya hanya bertahan 8 tahun saja utk aku serius dalam bidang lakonan ini dan aku sedar, aku ni pun hanya Artis suam2 kuku jer walaupun aku minat giler dalam bidang ni.
“Tapi.. sepanjang menjadi Artis sendu selama 8 tahun, sebenarnya hidup aku tak tenang & jiwa aku kosong walaupun nikmat kehidupan yg aku kecapi dlm bidang glamour ini penuh dgn keseronokkan & sosiality. Selepas itu musibah demi musibah berlaku dalam hidup aku sehingga aku rasa kehidupan aku, bukan kehidupan orang islam. Jangan cerita pasal solat mmg selalu period jer (😂), paham2 je la. Dalam sekelip mata aku hilang kesemuanya disebabkan dosa dan kejahilan aku dalam agama.
“Waktu itu aku cuba2 solat sendiri kat rumah.. biasa la bila ada musibah baru nk cari Allah. Korang pun sama kan? Orang kata kalau solat semua masalah boleh selesai. Tapi aku solat makin byk masalah aku adalah.. Dan aku tak dapat rasa langsung apa itu erti nikmat ibadah? Bengong jugak aku jadinya.. Orang kata kita kena Cintakan Allah swt & Rasulullah saw.. tapi, aku dapat lakukan hanya sekadar kata2 sajalah. Nak feel lebih2 ni mana boleh sebab benda ghaib bai.. kalau cinta pada ibu atau isteri, tu lainlah cerita sbb aku nampak depan mata dan dapat peluk & pegang.
“Dua bulan lepas tu aku cuba belajar2 solat hari2 kat masjid, aku tgk YouTube sbb ustaz kata lelaki kena solat berjemaah di masjid kalau solat kat rumah dia bukan soleh tapi solehah.. adehh.. terkena aku 😅.. tapi aku masih belum dapat FEEL utk letakkan cinta Allah & Rasulullah di dalam diri aku walaupun dah sebulan aku solat kat masjid. Aku cuba utk feelkan solat itu seolah2 Allah tengah melihat aku solat. Tapi nothing laaa. I can’t feel it. Impossible bro.
“Sehinggalah Allah takdirkan aku belajar2 join tabligh keluar 3 hari, 1day aku keluar 3 Hari aku dah rasa feelnya lain mcm sehingga aku mengeluarkan air mata sepanjang aku keluar 3 hari dan air mata ini keluar atas sebab diri aku & agama.. aku jaga nisab aku sbb ustaz2 tabligh ni ckp, aku kena jaga nisab 3 hari setiap bulan utk renew iman aku seperti mana kereta pun nk kena servis setiap bulan.. 5 bulan jugak aku jaga nisab aku.. tapi serius wehh, selepas itu baru aku dapat rasa kerohaniat dalam solat sikit demi sedikit. Jiwa Islam tu dah masuk, masa itu fesyen aku dah mula berubah sikit demi sedikit ke arah islamic.
Belajar Ke Jalan Allah
“Masuk bulan ke-6 aku belajar keluar 40 hari di jalan Allah swt utk aku belajar2 korban. Nak tahu jgk betul ke ustaz2 tabligh ni kata kat situ ada bantuan Allah swt? Aku try tambah korban Masa aku utk Allah, tapi mmg betul pun sbb waktu tu aku takde duit nak keluar ke sarawak selama 40 hari. Karkun2 ni cakap jaga Amal insyaaAllah bantuan Allah akan sampai. Benda yg kita tak pernah buat mana kita nak yakin dan percaya, tp aku cuba2 jela.. Sumpah demi Allah weh!! Aku jaga Amal ada saja bantuan Allah swt pd aku sebelum ke sarawak. Waktu itu keyakinan aku pd pertolongan Allah Makin bertambah, mmg betullah Alim Ulama cakap, lagi banyak Kita korban Masa, diri, harta kita di jalan Allah lagi banyak bantuan Allah & nusrah Allah yg kita dapat. Byk giler ilmu agama yg aku dapat dan barulah aku rasa diri aku ini Islam yg belajar2 hidupkan Sunnah Rasulullah saw.
“Selepas aku habis keluar 40 Hari di sarawak, kehidupan aku mula berubah sedikit demi sedikit sehingga pakaian aku pun dah berubah mirip2 seperti Rasulullah saw.. Malah rezeki aku pun makin bertambah seperti air sungai yg mengalir. Allah campakkan dlm diri aku, aku jadi sayang pada jubah, serban, kayu sugi, kain reda, makan dalam talam, solat berjemaah, aku mula sayangkan masjid/surau dan paling utama baru aku dapat rasa cintakan Rasulullah dan terasa betul2 takut pd Allah swt. semuanya totally change bro in my life.. Dulu aku sukakan fashion2 urban bro, aku suka pakai seluar pendek yg nampak aurat kaki aku ni & semua fashion2 aku dulu up to date.. Skrg ni aku jaga giler2 aurat aku dan semua amalan aku, sehingga aku takut nak buat satu dosa. Kalau korg nak tahu, doa kita Allah akan makbulkan dgn segera & cepat, jangan kita langgar satu pun perintah Allah, Cuba tahan nafsu!!, kerana nafsu kita ini selalu di kawal oleh syaitan… Pastikan juga doa kita tu utk kebaikan akhirat kita atau ummat islam. Kalau doa kita lebih kpd kepentingan nafsu maka Allah swt tak makbulkan. Giler laaa aku pun tak percaya Allah boleh ubah aku jd mcm sekarang ni, totally change.
“End up, aku nekad nak belajar2 tiru cara nabi saw & aku taknak tinggal satu pun sunnah Nabi saw dlm kehidupan aku kerana aku sayangkan sunnah. Baru aku tahu betapa besar nikmat cintakan pada Allah swt & kekasihnya Rasulullah saw. Selepas sebulan balik dr sarawak aku terus keluar 4 bulan ke India tanpa aku ragu2 tanpa aku ada sesen pun kat poket seluar dan akaun bank aku. Di sebabkan aku dah belajar2 yakin dalam tempoh 40 hari dari masjid ke masjid, dari pintu ke pintu rumah aku ketuk maka tiada masalah bg aku tentang duit atau apa saja mengenai keperluan aku didunia sebab aku yakin Allah swt akan tunaikan janji-Nya seperti di dalam surah Al-Ankabut ayat : 69 (Orang2 yang bersungguh2 bantu agama Kami, maka Kami akan bagi bantuan & pertolongan kepadanya).
“Kini, aku belajar2 sediakan hidup aku untuk agama Allah dan aku nk menjadi anak panah Allah utk dihantar ke semua pelusuk dunia seperti sahabat2 Nabi saw demi melihat agama ini di kemuncak.. Setelah byk belajar praktikal Iman Yakin (bergantung hanya pd yg Satu) pada Allah swt dan sewaktu keluar di jalan Allah swt dalam majlis taklim seperti halaqah Al-Quran & bacan hadis2 melalui Kitab taklim Fadhilat Amal, Muntakhab Hadis, Fadhilat sedekah & kitab Hayatus Sahabah yg dibacakan setiap hari selama 4 jam ianya menjadi asbab aku sayangkan agama ini melebihi diri aku sendiri.
“Aku berani cakap, korang kena tahu Allah swt jadikan asbab jemaah tabligh ini sebagai pembawa rahmat utk mendekatkan manusia kpd Allah swt, jalan kerja yg mirip2 ikut tertib Rasulullah saw utk sebarkan Islam dan bantu agama Allah swt di waktu Kebanyakkan orang lalai & sibuk mencipta dunia mereka sendiri. Disebabkan usaha tabligh inilah bala besar Allah swt belum diturunkan lagi.. kerana usaha ini mirip2 cara kerja dakwah Nabi saw yang telah lama ummat Islam tinggalkan.. Dan usaha ini telah banyak membawa manusia yg jahil & rosak menjadi dekat dan taat pada perintah Allah serta sayangkan Sunnah Rasulullah saw. Kalau korang nak org2 lelaki korang dapat jaga solat & menjadi lelaki yg taat pd perintah Allah swt, inilah saja cara yg terbaik. 😭😭😭😭
“Kalau rezeki perlu di cari, hidayah kembali pd Allah swt lagilah kena dicari untuk selamatkan diri dari Neraka. Kerana hidayah itu perlu diusahakan dan Hidayah itu sangat Mahal disisi Allah swt.” tulis Azuan Mazlan menerusi Facebook miliknya.
Terima kasih Azuan Mazlan kerana sudi berkongsi kisah hidup dengan Mingguan Wanita.
Kehidupannya kini begitu bahagia di sisi isteri kesayangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ia bagaikan sebuah ‘hadiah terakhir’ buat keluarga apabila seorang ibu kepada 4 orang anak lelaki dapat melahirkan satu-satunya anak perempuan yang dinanti-nantikan sekian lama sebelum meninggal dunia ketika dalam tempoh berpantang.
Memetik laporan Berita Harian, seorang isteri di Taman Soga,Batu Pahat, Johor di sini, sempat melahirkan satu-satunya anak perempuan yang sekian lama ditunggu sebelum menghembuskan nafas terakhir, awal pagi semalam.
Akibat Sesak Nafas
Roslina Ariffin, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas kira-kira jam 2 pagi semalam, selepas melahirkan anak kelimanya, Nur Aishy Amanda, 19 hari lalu.
Empat lagi anak pasangan berkenaan adalah lelaki berusia antara 5-16 tahun.
Suami Allahyarham, Azrow Othman, 43, berkata dia tidak menyangka isterinya meninggalkan mereka selepas melahirkan anak bongsu.
Katanya, isterinya yang melahirkan anak bongsu menerusi pembedahan tiada penyakit atau sebarang masalah ketika mengandung.
19 Hari Selepas Melahirkan
“Namun kira-kira jam 11.45 malam tadi, isteri tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum pengsan. Saya membawa isteri ke sebuah hospital swasta, namun doktor mengesahkan isteri meninggal dunia jam 2 pagi.
“Saya tidak sangka isteri akan pergi selepas 19 hari melahirkan anak bongsu yang juga satu-satunya anak perempuan yang sudah kami nantikan sejak empat tahun lalu.
“Saya sendiri buntu dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan tanpa isteri di sisi,” katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya.
Azrow turut dilihat tidak mampu menahan kesedihannya apabila beberapa kali menangis ketika menceritakan kisah isterinya kepada wartawan BH.
Sementara itu, anak sulung arwah, Muhammad Aniq Azriel, 16, berkata mengikut perancangan ayah, arwah ibu serta adik beradiknya yang lain hendak menghantarnya pulang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian hari ini.
“Namun tidak sangka ibu akan pergi meninggalkan kami adik-beradik termasuk Baby (Nur Aishy) dan tidak sempat menghantar saya ke MRSM seperti selalu, ” katanya.
Mingguan Wanita mendoakan agar keluarga ini terus kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan yang diberikan. Semoga roh allahyarhamah dicucuri rahamat dan ditempatkan dikalangan golongan orang yang beriman.
Bila anak nak masuk darjah 1 tahun 2020 ini, mak ayah jangan kalut ya. Persediaan awal boleh mak ayah buat ikut panduan yang Cikgu Mohd Fadli Salleh kongsikan ini.
Selain anak dah kena kenal huruf, penting juga untuk anak tahu macam mana nak guna wang. Mudahlah nanti bila mak ayah dah tak teman di kantin sekolah. Persiapan lainnya, bolehlah mak ayah hadamkan faktanya.
Ada Anak Darjah 1 tahun 2020? Ini Persiapan Sebagai Ibu Bapa
1) Pastikan anak kenal huruf dan boleh membaca dan mengeja walau sedikit. Operasi asas nombor, tambah dan tolak bawah 10 dia dah kuasai.
Silibus KSSR Semakan 2017 sangat tinggi arasnya. Murid yang masuk dengan ‘zero’, pasti ketinggalan jauh ke belakang. Silap-silap akan masuk kelas pemulihan.
Bahasa Malaysia tahun 1 silibus baru ini murid dah kena pandai bina ayat berdasarkan gambar menjelang pertengahan tahun.
Matematik pula dah diperkenalkan asas bundar, asas pecahan malah pengurusan data. Ini semua topik di Tahun 4 kalau ikut silibus lama, KBSR. KSSR ni lain macam dia punya pergi.
Bayangkan kalau anak kita masuk dengan ‘zero’. Pasti tertinggal kerana cikgu tak akan tunggu anak kita seorang.
2) Bimbing anak di rumah. Ini sangat penting. Berhenti merungut kata silibus tinggi dan soalan terlampau KBAT.
Anak walau ada asas membaca dan tahu operasi asas nombor pasti ketinggalan juga jika tiada bimbingan lanjut di rumah.
Silibus berat, masa singkat. Namun sebenarnya anak-anak kita boleh kuasai. Majoriti murid mampu ikut dengan baik.
Kebanyakan murid yang tertinggal adalah yang tidak diberi bimbingan lanjut di rumah.
Nak anak berjaya? Bantu mereka. Jangan harap ilmu di sekolah dan guru semata-mata.
.
Penting Ajar Anak Darjah 1 Guna Wang
3) Ajar anak kenali wang. Ya, ajar anak guna wang. Ajar anak tunggu terima baki. Dan ajar anak jangan bagi wang jika murid lain minta. Ajar anak maklumkan pada cikgu kalau murid lain minta wang dari mereka.
Semua asas ini perlu diajar dari rumah lagi. Cikgu tak mampu nak ajar beratus murid cara guna wang dan cara jaga duit poket mereka.
Fakta : Ramai murid tahun 1 tidak tahu guna wang.
4) Ajar anak guna tandas awam/sekolah. Jangan buat macam di rumah. Ajar anak minta izin untuk ke tandas.
Fakta : Ada murid buka seluar dalam kelas dan berlari bogel menuju ke tandas tanpa rasa malu. Ada pula buka seluar di luar pintu tandas dan seluar basah kuyup kena air kat lantai dan kotor dipijak kawan yang lalu lalang.
5) Jangan takutkan murid dengan bagitahu mereka cikgu garang. JANGAN!
Ramai ibu bapa takutkan anak mereka dengan ayat,
“Abang jangan nakal-nakal. Nanti cikgu rotan.”
Akibatnya, murid takut nak minta izin ke tandas.
Fakta : Kebanyakan murid yang kencing berak dalam seluar kerana takut untuk minta izin sebab dimomokkan oleh ibu bapa mereka bahawa cikgu garang.
6) Ajar anak berkongsi dan menjaga barang sendiri.
Bekal makanan buatlah lebih. Suruh anak berkongsi dengan murid lain. Ini amalan mulia.
Begitu juga pensel, pemadam dan alat tulis. Berkongsi, tapi sila pastikan mereka ambil dan simpan semula.
Fakta : Ramai murid tidak pandai jaga harta sendiri. Hasilnya, di kantin lambakan botol air dan bekal makanan yang murid tinggal. Dalam kelas, lambakan alat tulis yang jatuh tidak dikutip, buku ditinggalkan di bawah meja.
Elakkan Kasut Bertali
7) Jangan bagi murid pakai kasut bertali jika mereka tak pandai ikat. Ajar juga anak buka dan pasang tali pinggang.
Ramai murid tahun 1 pakai tali pinggang buat kali pertama bila menjejak kaki di sekolah. Mak ayah yang pakaikan di rumah.
Fakta : Ramai murid terkencing dan terberak dalam seluar gara-gara tak pandai buka tali pinggang.
8. Ajar anak susun jadual ikut hari. Jangan bawa semua buku. Bawa buku mengikut jadual sahaja. Baru beg tak berat.
Ajar ayah dia sekali susun jadual anak. Ini pun penting!
Fakta : Biasa murid bawa buku ikut jadual dan beg tak berat. Suatu hari semua buku murid itu bawa. Rupanya ibu dia ‘out station’ dan ayah tukang susun buku.
Semua buku ayah dia sumbat. Banana punya ayah. Kesian kat anak.
Syarat Ada Group Wasap Kelas
9) Jika ada group wasap kelas, jangan wasap tengah-tengah malam buta dan mengharap balasan segera. Cikgu bukan kedai 7-Eleven yang setiap masa tunggu nak reply mesej anda.
Hormati group wasap tersebut. Jangan post status politik, jangan spam dengan nasihat, kata-kata hikmah, perkongsian cerita menarik atau apa jua. Cukuplah group itu untuk maklumat anak dan kelas.
Nak sangat post isu semasa, hadis, kata nasihat, mutiara kata, mutiara naga, kau buka group wasap lain dan add lah semua parent. Post lah semua benda sesuka hati kamu.
Paling penting, jangan promote barang anda berniaga dalam group tu. Menyampah dan mengganggu tahu tak?
10) Tampal no telefon ibubapa pada bekas pensel, buku komunikasi dan beg sekolah anak. Mana tahu ada kecemasan, anak terberak dalam kelas, anak jatuh terluka, anak demam dan sakit tiba-tiba, senang cikgu nak hubungi.
11) Usah lagi diratib tentang sukarnya silibus baru dan payahnya soalan KBAT.
BERHENTI MERUNGUT!
Sebaliknya bertindaklah. Merungut tidak mampu mengubah apa-apa. Orang lain yang bertindak anak mereka dah maju ke depan.
Kita yang sering merungut di hadapan anak tentang sukarnya silibus sehingga anak pun set dalam kepala ‘payahnya belajar’.
Oh ya, kau yang ada tips penting silalah kongsi diruangan komen. Nanti kawan-kawan boleh pakat baca.