Beza nak buat cincau hijau dengan cincau hitam, cincau hitam perlu direbus tapi mudahnya cincau hijau ini cuma ramas-ramas dan sejukkan saja dah boleh dimakan.
Cincau hijau ini dari pokok jenis berkayu atau perdu. Nama saintifik pokok cincau hijau ni Melasthoma polyanthum. Kalau mak-mak nak cuba tanamnya, cucuk saja batangnya dekat tanah.
Cara buat cincau hijau ini dikongsikan oleh Jusery Jausin. Jika mak-mak jumpa pokok cincau hijau ini, haa.. jangan pula dibuang daunnya. Besar manfaatnya sebab cincau hijau ni kaya khasiat.
Antara manfaatnya adalah agen antioksida semula jadi, boleh membantu mengatasi masalah keracunan makanan laut, penawar darah tinggi, mencegah asteoporosis dan mengatasi masalah cirit birit.
Sediakan 30 helai daun cincau hijau perdu.
Cuci bersih depan belakang pada daun takut ada bendasing yang tidak diingini.
Toskan daun-daun tersebut. Buang tangkai daun agar cincau kurang hanyir/langu.
Carik -carikkan daun tersebut menjadi cebisan-cabisan kecil dalam bekas.
Tuang air masak 50 ml ke dalam daun yang dicarik-carikkan tadi. Mula lah meramas daun untuk keluarkan patinya. Pati agak likat. Tambah air jika perlu.
Tapis cecair cincau tersebut dengan menuang segala cincau ke dalam penapis, tekan atau ramas untuk keluarkan patinya pada bekas yang baharu. Kemudian masukkan daun-daun itu ke dalam bekas yang pertama semula dan tuang air untuk proses meramas kali kedua. Ulang hingga 3 kali atau 4 kali sehingga pati cincau telah berjaya dikeluarkan.
Sejukkan pati cincau dan apabila dah mengeras. Bolehlah dimakan ikut resepi yang disukai. Saya makan gitu je dengan menambah coklet, air limau, susu cair dan sedikit gula. Jemput makan.
Sila guna air yang sedikit atau sesuai dengan sukatan agar cincau anda tidak lembik ketika disejukkan. Dibenarkan share tak perlu minta izin.. Moga bermanfaat.
Sumber /Foto : Jusery Jausin