Mudah Sangat ‘Judge’ Orang, Macam Lebih Tahu Dari Orang Lain

Share

Semuanya ada berkait dengan hati. Apa yang hati bisikkan, itulah yang selalunya terpancar di wajah. Lalu tersalur ke minda kita. Lagi-lagi bila tengok kekurangan orang lain.

Mulalah kita berkata-kata dalam hati, luahkan di media sosial. Betapa tak sepatutnya begitu begini, padahal kita tak duduk dalam kasut orang itu. Dan kita tak tahu pun apa yang sedang orang itu alami.

Pesanan mak-mak yang disampaikan Puan Ashikin Hashim ini tersangatlah biasa jadi di kalangan kita-kita. Tanpa sengaja, ter’judge’ orang. Ternilai orang dari pandangan mata kasar kita sahaja.

Didik Diri Agar Tak Hakimi Orang Yang Baru Kita Jumpa

Jom lah kita didik diri untuk tidak hakimi orang yang baru kita jumpa.

Dia pakai baju tak gosok kita ingat dia memang jenis selebet.

Dia bagi anak dia jajan kita ingat setiap hari dia makan jajan.

Dia bagi anak dia phone masa di rumah terbuka, kita ingat anak dia dah ketagihan.

Dia pakai kereta nak tercabut kita ingat dia sengkek.

Sebelum ‘Judge’ Fahami Dulu Kisah Orang Lain

Kita tak tahu kisah orang. Kita tak tahu yang dia sedang dan pernah alami.

Dia pakai baju tak gosok baru hari ni. Rupanya anak dia berderet demam. Tak sempat gosok baju.

Dia bagi anak dia jajan baru hari tu sebab ada orang hulur, dia nak jaga hati. Ukhwah lagi penting. Balik nanti dia cakap balik dengan anak dia.

Dia bagi anak dia phone kat rumah terbuka kawan dia sebab semalam kat rumah terbuka kawan lagi satu anak dia dah terpecahkan pinggan. Plan bawa mainan tertinggal pula.

Dia pakai kereta nak tercabut sebab kawan dia nak pinjam kereta dia yang elok sebab kawan mak dia sakit kat kampung.

Mudah sangat pemikiran kira judge orang
Mudah sangat kita berkira-kira kita lebih tahu dari orang lain.
Mudah sangat kita kata cara dia salah.

Sumber/Foto : Ashikin Hashim, Ummi Yang Biasa

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Published by
Netty Ah Hiyer