Berita

Motif Bunga Telang dan Bunga Lado Dapat Sentuhan Eksklusif

Share

Acara seni sulung SeriGreen, “Sidang di Telang,” melakar sejarah baru dalam dunia seni tempatan dengan pameran terbuka yang memukau, menampilkan koleksi lukisan terbaharu Jailani Hassan bertajuk “Bunga Rasa Seranum Kata.”

Acara ini bukan sahaja menjadi platform bagi memperkenalkan karya seni unik tetapi juga mengangkat warisan dan kebudayaan Negeri Sembilan yang kaya dengan motif tradisional.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir binti Almarhum Tuanku Ja’afar, yang turut memuji inisiatif SeriGreen dalam memartabatkan seni dan budaya tempatan.

Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir menekankan betapa pentingnya usaha ini dalam menghidupkan semula identiti Negeri Sembilan melalui motif tradisional seperti ‘bunga lado.’

Motif Bunga Telang: Simbol Flora dan Identiti Melayu

Pengasas SeriGreen, Jamaliah Hamdan, dalam ucapannya, menyatakan bahawa motif bunga telang telah dipilih untuk dijadikan inspirasi dalam koleksi fesyen yang direka oleh pereka terkenal, Anuar Faizal.

 

Koleksi ini bukan sekadar mencerminkan keindahan flora yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga sebagai simbol keunikan budaya tempatan.

“Karya-karya lukisan Jailani Hassan yang dipamerkan di sini, serta pelbagai fesyen dari telekung hingga pakaian kasual, menonjolkan motif bunga telang. Kami berhasrat membawa koleksi ini ke CIMB ARTOBER 2024 pada bulan Oktober nanti, dan insyaAllah, koleksi ini akan dikomersialkan selepas itu. Saya pasti motif bunga telang ini akan mendapat perhatian ramai,” kata Jamaliah.

Kerjasama Diraja dan Penghormatan kepada Warisan Negeri Sembilan

Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir turut menambah bahawa motif ‘bunga lado’ akan menjadi tumpuan utama dalam usaha menghidupkan kembali identiti Negeri Sembilan.

Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir menjelaskan bahawa motif ini bukan sahaja mewakili keunikan masakan pedas negeri itu tetapi juga melambangkan identiti dan seni yang kaya dalam setiap luak di Negeri Sembilan.

Jelasnya, bunga lado melambangkan keunikan Negeri Sembilan yang sinonim dengan masakan pedas manakala ciri-ciri bunga itu ialah berwarna putih, mempunyai kelopak daun, lima stamen dan stigma.

Daun melambangkan rakyat di negeri ini, lima kelopak bunga (lima Rukun Islam dan lima Rukun Negara), Stamen (Benang Sari) iaitu Undang Yang Empat (Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau) dan Tuanku Besar Tampin manakala stigma (Yang Dipertuan Besar).

Songket dengan motif bunga lado ini akan ditenun oleh banduan Penjara Marang, yang terkenal dengan kemahiran mereka dalam menghasilkan tenunan berkualiti tinggi. Pereka fesyen Anuar Faizal menjelaskan bahawa hasil tenunan ini akan menjadi lambang kebanggaan negeri dan akan diperkenalkan dalam koleksi fesyen terbarunya.

Sidang di Telang: Menyatu Seni, Fesyen dan Warisan

Acara “Sidang di Telang” bukan sekadar pameran seni tetapi adalah pertemuan antara seni, fesyen, dan warisan yang memperlihatkan bagaimana elemen-elemen tradisional boleh disatukan dengan rekaan moden. Usaha ini juga menunjukkan komitmen SeriGreen dalam mempromosikan dan memelihara warisan tempatan, sambil menjadikan seni sebagai jambatan antara masa lalu dan masa kini.

Dengan kerjasama erat antara SeriGreen, Diraja Negeri Sembilan, dan pereka fesyen tempatan, “Sidang di Telang” telah meletakkan asas yang kukuh untuk mengangkat seni dan warisan Negeri Sembilan ke pentas antarabangsa.

Ini adalah langkah yang bukan sahaja memartabatkan seni tempatan tetapi juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan melestarikan warisan budaya kita.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Rosmah Idayu