Morning sickness atau loya dan muntah ketika hamil sering dialami oleh wanita setiap kali mereka hamil. Apakah penyebabnya dan adakah ia membahayakan kesihatan ibu dan bayi yang dikandung?
Perkongsian Pengamal Perubatan Am Dr Zubaidi Hj Ahmad di akaun Facebooknya ini boleh dijadikan panduan buat wanita yang baru pertama kali hamil dan ibu hamil lain.
“Salam doktor, boleh doktor terangkan apa itu morning sickness? Bila bermulanya morning sickness?”
Morning sickness biasanya bermula sekitar enam minggu usia kehamilan. Oleh kerana setiap kehamilan adalah berbeza, masa bermulanya morning sickness ini boleh berubah dari wanita kepada wanita.
Wanita yang mengalami morning sickness biasanya akan merasa loya, dan mungkin akan muntah apabila bangun pagi.
Walaupun ia dinamakan morning sickness, namun rasa loya dan muntah boleh datang bila-bila masa sepanjang hari.
Rasa loya dan muntah ini lebih kerap berlaku pada sebelah pagi, mungkin disebabkan pada waktu pagi perut kita telah kosong.
Bau tertentu boleh menyebabkan rasa loya, menyebabkan tiada ada selera untuk makan dan minum sehingga membuatkan wanita hamil ini berasa letih sepanjang hari.
Dr Zubaidi Hj Ahmad
“Adakah morning sickness memberikan tanda bahaya pada kehamilan kita?
“Bagaimana pula dengan wanita hamil yang tidak mengalami morning sickness?”
Wanita yang mengalami morning sickness akan merasa sengsara sepanjang hari, kerana tidak dapat makan dan minum, kerana merasa mual sepanjang hari.
Ads
Morning sickness disebabkan oleh kehadiran hormon hCG dalam darah yang dikeluarkan oleh uri dalam rahim. Oleh itu mereka mungkin merasa keletihan kerana tiada makanan yang dapat dimakan dan tiada minuman yang dapat diminum.
Namun begitu ia adalah tanda yang baik bagi wanita yang hamil. Ini bermakna bahawa tahap hormon hCG dalam tubuh mereka semakin meningkat dan bayi berada dalam keadaan yang baik.
Bagi wanita yang tidak mengalami rasa loya dan muntah (morning sickness), ini tidak bermakna kehamilan mereka dalam bahaya. Mungkin wanita seperti ini mempunyai kadar teolenrasi yang tinggi terhadap hormon hCG. Bermakna mereka tidak mudah mabuk, akibat peningkatan hormon ini dalam tubuh mereka.
Kebiasaannya wanita yang mudah mabuk dalam bas atau bot untuk perjalanan yang jauh, lebih mudah mengalami morning sickness berbanding dengan wanita yang tidak mengalaminya.
Wanita yang hamil anak kembar juga mengalami peningkatan hormon yang tinggi secara mendadak, menyebabkan mereka mudah rasa loya dan mundah di awal kehamilan.
“Bolehkah morning sickness ini boleh menjadi bahaya?”
Bagi sesetengah wanita yang hamil, mereka mengalami rasa loya dan muntah yang teruk. Keadaan ini dinamakan “hyperemesis gravidarum” (HG).
HG bermaksud loya dan muntah berlebihan semasa hamil, sehingga wanita yang hamil tidak mampu untuk makan atau minum, muntah-muntah beberapa kali sehari, sehingga menyebabkan dehidrasi.
HG akan mengganggu aktiviti seharian. Dapatkan nasihat doktor untuk mengurangkan rasa loya dan muntah. Selalunya ia hanya berlangsung sehingga antara minggu 14 atau 16 minggu kehamilan.
“Doktor, adakah cara untuk mengurangkan rasa loya dan muntah ketika hamil?”
Ads
1-Makan Dalam Kuantiti Yang Sedikit Tetapi Kerap
Wanita hamil tidak seharusnya membiarkan perut mereka kosong kerana ia boleh membuat rasa loya dan muntah menjadi lebih teruk. Makan sedikit dan kerap boleh membantu memastikan tahap gula dalam darah menjadi stabil. Simpan sandwich yang berkhasiat untuk dimakan sepanjang hari, adalah cara terbaik untuk mengurangkan rasa loya dan muntah, di samping menjadikan tubuh bertenaga.
2-Makan Makanan Yang Kaya Dengan Protein
Wanita yang hamil harus makan makanan yang kaya dengan protein dan vitamin B, seperti kacang. Cuba elakkan makanan yang pedas, masam (berasid), berlemak atau makanan bergoreng yang mungkin menyebabkan rasa loya
3-Makanan Yang Tidak Panas Lebih Baik Daripada Yang Panas
Adakalanya bau masakan bau menyebabkan rasa loya. Oleh itu cuba hindari makanan yang panas.
4-Minum Pagi Di Sebelah Katil
Bagi sesetengah wanita yang hamil, mereka mudah untuk rasa loya dan muntah ketika bangun dari tidur kerana perut yang kosong. Saya nasihatkan agar sediakan minuman seperti teh panas yang disimpan di thermos dan biskut ering di tepi katil, agar mereka dapat memakannya sebelum ke bilik air.
5-Simpan Diari
Menyimpan diari adalah suatu langkah yang baik, kerana dapat mencatatkan bila masanya wanita hamil itu berasa loya dan muntah. Ini membantu doktor dan wanita hamil itu sendiri mencari punca makanan atau minuman yang membuatkan dirinya menjadi loya.
6-Banyakkan Minum Air
Minuman air mineral dan jus sebanyak yang mungkin adalah salah satu cara yang baik bagi mengelakkan loya dan muntah. Cuma perlu ingat, jangan terlalu banyak minum ketika makan kerana ia akan mengganggu pencernaan kerana perut menjadi lebih mudah penuh dan kembung.
7-Dapatkan Banyak Rehat
Tekanan di tempat kerja dan keletihan boleh membuatkan rasa mabuk (loya dan muntah) ketika hamil menjadi lebih teruk. Pastikan dapat masa yang cukup untuk rehat dan tidur bagi mengurangkan rasa loya dan muntah.
8-Minum Teh Halia
Air teh halia yang tidak terlalu pekat dapat membantu untuk melegakan rasa loya. Ia boleh dicampurkan dengan gula, madu atau diminum tanpa gula.
9-Mengambil Pil Multivitamin
Wanita hamil juga dinasihatkan mengambil multivitamin (prenavit atau obimin) ketika hamil bagi membantu untuk mengurangkan perasaan loya.
10-Boleh Mencuba Rawatan Alternatif
Beberapa rawatan alternatif seperti refleksologi dan aromaterapi, boleh membantu wanita yang hamil untuk mengatasi rasa loya ketika hamil. Carilah perawat yang berpengalaman dan berpengetahuan ketika mendapatkan perkhidmatan alternatif ini.
Saat anda lelah menangung sakitnya datang bulan, sudah tentu seseorang wanita tidak rela disentuh suami ketika datang bulan. Haid adalah fasa cukup emosi bagi seseorang wanita.
Oleh hal yang demikian Islam melarang hubungan intim ketika datang bulan. Malahan tahukah anda hubungan kelamin ketika datang bulan juga mendatangkan risiko kepada wanita dan lebih mengejutkan juga memberi kesan pada suami. Mengapa hubungan intim berbahaya ketika haid?
Membuka ruang bakteria membiak
Hubungan intim bukan sahaja menyakitkan wanita sebaliknya hubungan kelamin ketika haid secara tidak langsung akan meningkatkan risiko anda mendapat jangkitan seksual.
Saat datang bulan, leher rahim anda akan terbuka dan dalam masa yang sama akan membuka ruang untuk bakteria masuk dan membiak.
Penyakit seperti hepatitis lazimnya akan lebih mudah merebak sekiranya anda melakukan hubungan intim. Apatah lagi di saat cairan ( darah haid) keluar lebih banyak daripada kebiasaan.
Jangkitan pada faraj
Faraj memang agak sensitif dan mudah terkena jangkita jika tidak kena caranya. Ketika haid, kadar pH meningkat disebabkan kadar pH dalam darah haid juga tinggi. Situasi ini menyumbang kepada pembiakan kulat dengan lebih cepat.
Oleh sebab itu jika anda menjalinkan hubungan cinta saat ini, anda cenderung terkena jangkitan kulat faraj dan impaknya akan menjadi lebih parah.
Jangkitan Salur Kencing
Ketika datang bulan, dinding faraj setiap wanita akan membengkak dan ianya merupakan proses semulajadi. Seterusnya lapisan dinding rahim akan gugur bersama darah haid.
Tahukah anda darah ini berpotensi untuk membiakkan bakteria, seterusnya menyumbang pada jangkitan pada saluran kencing.
Jangkitan pada prostat
Selain wanita, lelaki juga tidak terkecuali mengalami kesan daripada menjalinkan hubungan intim ketika pasangan sedang haid. Lazimnya darah dari faraj dan rahim boleh masuk ke dalam zakar dan tidak dinafikan menjadi tempat penyebaran kuman dan bakteria.
Seperti mana wanita , lelaki juga akan mendapat jangkitan saluran kencing atau jangkitan pada prostat apabila terdapat bakteria yang merbak di kawasan intim.
Tersumbat Pembuluh Darah
Di samping itu, seks ketika datang bulan juga mampu mendedahkan golongan lelaki kepada risiko pembuluh darah tersumbat. Ketika berlakunya gerakan alat hubungan intim, zakar akan menusuk dan membuatkan gelembung udara masuk ke pembuluh darah.
Akhirnya membuatkan pembuluh darah tersumbat dan berlakunya kematian mendadak.
Pendarahan yang teruk
Hubungan kelamin dihalang ketika datang bulan sudah pasti mempunyai sebab-sebab tertentu. Darah haid akan keluar dengan banyak mengikut individu.
Hari pertama hingga ketiga adalah aliran darah agak banyak dan jika hubungan intim berlaku ketika ini, ianya akan menyumbang kepada pendarahan yang teruk daripada kebiasaannya.
Kesimpulannya, elakkan diri anda dan pasangan daripada menjalankan hubungan intim ketika haid kerana terdapat kesan-kesan negatif jika hubungan intim diteruskan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada yang kata lelaki Melayu ini tak romantik. Tak pandai gurau senda dengan pasangan. Dah bertahun kahwin pun, nak pimpin tangan isteri masih malu-malu.
Apakah usaha yang perlu mereka lakukan? Pendakwah bebas dan penulis buku motivasi, ustaz Mohd Fikri Che Hussain berkongsi pandangan dengan Mingguan Wanita.
Sentiasalah Gurau Senda Suami Isteri
Semua orang tahu hidup ini tak pernah sunyi dari masalah. Cubaan dan cabaran yang dilalui manusia dalam hidup sering membuatnya berasa terpinggir sehingga sukar untuk mengatasinya.
Oleh itu manusia sangat memerlukan sesuatu yang dapat memberi kehidupan dan semangat untuk bekerja agar hilang segala rasa bosan dan jemu dalam menghadapi kehidupan seharian.
Bagi tujuan itu, Islam membenarkan adanya gurau senda dalam rangka untuk melahirkan suasana yang penuh kegembiraan dan kasih mesra antara suami isteri. Gurau senda ini penting bagi melahirkan rasa harmoni dan menambahkan kasih sayang antara kedua pasangan.
Bahkan Rasulullah SAW sendiri dalam kehidupan Baginda sering sahaja bergurau senda dengan isterinya terutama ‘Aisyah yang dirakamkan menerusi hadis-hadis Baginda SAW seperti kisah berlumba lari, kisah mengangkat ‘Aisyah untuk menonton persembahan tarian tombak Habsyah dan sebagainya.
Maka semua gurau senda yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu boleh meneguhkan rumahtangga yang sentiasa bahagia.
Segala kelangsungan hubungan rumahtangga dengan gurau senda dan mencipta iklim yang menyenangkan penuh dengan senyum dan hilai tawa itu akan lebih menceriakan kehidupan sebenarnya.
Berlemah Lembut Ketika Menggauli Isteri
Suami sememangnya perlu bersikap lemah lembut kepada si isteri sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu sabdanya, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]
Tentunya akhlak yang terbaik adalah kepada orang yang sering didampinginya iaitu isterinya, bukan hanya kepada rakan sahaja atau kenalan yang rapat sahaja dia berakhlak tetapi dengan isteri bersikap sebaliknya.
Hanya sewaktu ingin menggauli isterinya sahaja bersikap baik dan menunjukkan tingkah laku lemah lembut dan sebagainya.
Sepatutnya, jadilah seperti Rasulullah SAW yang bersabda dalam sebuah hadis, “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah orang yang berbuat baik kepada isteriku.” [Diriwayatkan oleh Ibn Majah]
Jangan Malu Mandi Bersama
Pasangan suami isteri dibolehkan mandi bersama dalam satu tempat dan suami isteri juga dibolehkan saling melihat aurat masing-masing.
Ini berpandukan kepada riwayat dari ‘Aisyah yang mengatakan bahawa ‘Aisyah tidak pernah melihat aurat Rasulullah SAW adalah riwayat yang batil, kerana di dalam sanadnya ada seorang pendusta.
Malah Nabi SAW sering mandi bersama para isteri Baginda seperti ‘Aisyah dan juga Maimunah r.anhuma.
Berhiaslah Untuk Suami.. Jangan Takut Lakukannya
Dalam bab berhias diri si isteri kepada suaminya, maka ia sebenarnya tidak terbatas. Ini kerana kedua mereka tidak ada lagi batasan aurat dan mereka adalah halal sepenuhnya.
Pergaulan antara suami isteri dikira mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala dan tidak juga terhad hanya pada malam Jumaat sebagaimana tanggapan sesetengah masyarakat kita.
Setiap perkara yang halal itu akan diberi pahala yang besar sebagaimana perbuatan zina yang haram tanpa perkahwinan yang sah itu dikenakan dosa besar.
Ini disebabkan persoalan perkahwinan ini adalah satu anjuran yang amat digalakkan kepada kaum muslimin bagi meramaikan umat Nabi Muhammad SAW.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Saya masih ingat lagi pertemuan dengan seorang datin ni. Walaupun usianya dah 50-an tapi aset beliau memang mantap. Elok terletak, kita yang muda plak termalu sendiri. Pandai datin ni jaga asetnya.
Dah namanya perempuan, mestilah saya korek rahsia kecantikan datin tu. Mengekek datin ketawa bila saya tanya tip mantapkan aset. Katanya, dari muda dia memang amalkan petua orang tua. Maaflah beliau segan nak berkongsi nama sebenar dan gambar. Jom hadam perkongsian datin ni.
Petua Jaga Aset
Bahan-bahan
2 cawan kacang hijau
Cara buat:
1-Mula-mula rendam kacang hijau semalaman dalam air putih. Tutuplah bekas tu na, takut nanti lipas masuk. Ni untuk menjamin kebersihan masker juga.
2.Keesokannya, rebus kacang hingga lembut atau sampai kacang tu pecah.
Biarkan seketika sehingga kacang suam. Lenyek bagi hancur kemudian tempekkan pada seluruh payudara kecuali bahagian puting.
4.Biarkan sehingga masker ini kering. Selepas itu, cuci dengan air suam. Hasilnya payudara akan kembali tegang dan menarik.
5.Lakukan dua kali seminggu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Petua ini diamalkan oleh keluarga datin, patut semua adik beradik dia cantik-cantik dan mantap. Memang menjadi. Kalau nak hasil yang best, memang kena rajin dan konsisten.
1-Kacang hijau kaya dengan kalsium, zat besi, zink, kalium, fosfor, vitamin A, B, C, E dan K serta folat.
2-Ia dikatakan dapat membantu mengatasi masalah kulit kasar dan menghilangkan daki pada tubuh di samping menghaluskan kulit.
3-Selain itu, kacang hijau juga dikatakan mampu menegangkan kembali payudara yang kendur.
4- Khasiat lain kacang hijau ialah menjaga kesihatan rambut dan kuku.Kandungan protein dalam kacang hijau membantu rambut sihat dan bersinar, kuku juga menjadi cantik.
5-Selain itu, manfaat kacang hijau juga membantu meremajakan kulit. Kandungan phytoestrogen dalam kacang hijau memproduksi kolagen dan menjaga kulit agar anjal, lembut dan melambatkan penuaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!