Jika anda penggemar haiwan peliharaan terutamanya kucing, anda pasti ingin melakukan yang terbaik buat binatang yang menjadi antara binatang kesayangan Rasulullah S.A.W ini.
Begitu juga halnya buat pengasas tudung mewah Bawal Exclusive, Haliza Maysuri dan suaminya, Mohd Rosli Awang yang mencuri perhatian apabila membawa kucing kesayangan mereka, Money, menyambut hari lahir yang ke-7 di outlet fesyen mewah jenama antarabangsa.
Menerusi video dimuat naik di Instagram peribadinya, Haliza dan ahli keluarganya membawa kucing mereka ke butik Louis Vuitton yang terletak di ibu negara.
Tambah Haliza lagi, ini merupakan kali pertama dalam sejarah apabila Louis Vuitton Malaysia menjemput dan meraikan hari jadi haiwan peliharaan di butik mewah milik mereka.
“Satu penghargaan bagi kami sekeluarga boleh bawa Money masuk mall, sebab Money memang sudah kami anggap anak bongsu kami,” ujar Haliza yang turut berkongsi Money menerima hadiah istimewa dari jenama mewah tersebut selain hadiah yang ditempah khas untuk Money diterbangkan khas dari Paris nanti,” ujarnya.
“Alhamdulillah anak Papa 7 tahun hari ini. Selamat ulang tahun Money. Mama, Papa doa untuk Money panjang usia dengan sihat dan cerdik,” kata Haliza.
Menariknya, selain diraikan dengan penuh kemewahan, si bulus yang menjadi kesayangan keluarga Bawal Exclusive ini turut menggayakan persalinan yang ditempah khas di Haute Couture By RI, milik pereka fesyen terkenal Dato’ Rizalman Ibrahim.
Persalinan busana itu dihiasi dengan batu-batu kristal Swarovski, yang amat sinonim dengan pengusaha Bawal Exclusive ini.
“Akhirnya tercapai juga hajat Money nak pakai baju Haute Couture By Ri macam Mama, meletup berkilau mewah Swarovski itu,” kongsi Haliza.