1 Januari 2019 bukan sahaja pembuka lembaran tahun baru bagi semua orang. Ia juga membuka lembaran baru dalam kehidupan artis dan selebriti jelita bernama Elfira Loy. Tarikh penuh bermakna ini juga menjadi detik penyatuan Elfira dengan jejaka pilihan hati, Muhamad Faris Khairol Anuar, yang kini sah bergelar suaminya. Elfira dan Faris telah melangsungkan majlis pernikahan mereka di Cyberview Lodge, Cyberjaya.
Berita gembira itu telah dikongsi oleh Elfira dengan memuat naik sekeping foto berserta kapsyen melahirkan rasa syukur menerusi akaun Instagram miliknya. “ Alhamdulillah,” tulisnya secara ringkas.
Majlis pernikahan hanya dihadiri kaum keluarga, sanak-saudara dan rakan baik kedua belah pihak. Umum hanya mengetahui pasangan ini bercinta setelah kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada bulan September 2018 lalu. Akui Elfira, dia dan Faris hanya berkenalan lebih kurang 10 minggu sebelum mengambil keputusan untuk bertunang. Seterusnya pada bulan Julai 2018, ketika berada di Bali, Faris telah melamar Elfira untuk menjadi suri hidupnya.
Dengan hanya sekali lafaz, Elfira dan Faris sah bergelar suami-isteri. Pasangan pengantin ini telah dinikahkan oleh bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin dalam majlis yang bermula jam 9.00 pagi.
Bagaimana kedua-dua pasangan pengantin baru ini bertemu? Cerita Elfira, pertemuan pertama mereka agak kasual dan bersama teman lain. Namun bagi Faris, sebelum ini dia pernah bertemu Elfira.
“Saya pernah bertemu malah bergambar dengan Elfira beberapa kali sebelum ini tapi saya tak rasa itu pertemuan pertama kami yang sebenar-benarnya. Itu hanyalah sekadar seorang rakyat biasa bergambar dengan artis terkenal tanah air. Elfira mungkin tak ingat pun kami pernah bergambar bersama.
“Jadi untuk menjawab pertanyaan ini, saya rasa kami berjumpa buat kali pertama di Publika ketika Elfira sedang bersama-sama dengan Anis membeli-belah. Anis merupakan rakan baik Elfira dan juga rakan saya.
“Saya sepatutnya berjumpa dengan Anis bersama rakan-rakan lain bagi makan malam pada hari itu. Akan tetapi saya habis kerja sedikit awal dan terus ke Publika. Dan disebabkan itulah saya bertemu dan berjumpa dengan Elfira buat kali yang pertama,” ujar Faris mengimbau detik pertemuan pertama bersama Elfira.
Ternyata pertemuan tidak dirancang itu telah menerbitkan rasa ingin tahu antara satu sama lain. Perancangan Allah sangat indah buat pasangan muda yang sama cantik sama padan ini. Tahniah Mingguan Wanita ucapkan kepada Elfira dan Faris.
Dalam majlis nikah yang telah berlangsung, Elfira dan Faris kelihatan sama cantik menggayakan sepersalinan busana rona putih hasil rekaan pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini. Majlis yang bertemakan ‘garden wedding’ ini diadakan secara tertutup namun tetap meriah. Beberapa hari selepas itu, majlis resepsi di sebelah pihak pengantin perempuan pula telah dilangsungkan.
Pada malam sebelum, Elfira dan beberapa orang rakan wanita yang juga ‘bridemaids’ sempat lagi meraikan majlis berinainya di lokasi yang sama berlangsungnya majlis pernikahan. Majlis ini diadakan secara tertutup namun peminatnya boleh melihat gambar-gambar menarik di dalam Instagram Elfira dan juga program eksklusif Walimahtul Urus Elfira dan Faris di Astro Ria.
Selesai majlis pernikahannya, telah tersebar khabar mengatakan bahawa pasangan ini bakal mengadakan lima majlis resepsi. Terkejut Elfira sebaik ditanya soalan tersebut.
“Saya tiada lima resepsi seperti yang digembar-gemburkan. Kami hanya mengadakan majlis nikah di sebelah saya dan majlis bertandang di sebelah Faris,” ujar Elfira majlis resepsi di sebelah pihaknya telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Seminggu selepas itu barulah majlis bertandang di pihak pengantin lelaki.
Pada malam resepsi pihak pengantin perempuan, sekali lagi busana rekaan Rizman Ruzaini jadi pilihan hati. Jenama Rizman Ruzaini sudah bekerjasama hampir 10 tahun dengan Elfira. Sudah pastilah kedua pereka fesyen yang dipanggil Abang oleh Elfira ini jadi pilihan hati bagi menghasilkan busana indah untuk digayakan pada hari penuh istimewa dan bersejarah buat dirinya itu.
Majlis resepsi di sebelah pihak pengantin lelaki pula memperlihatkan Elfira dan Faris menggayakan busana daripada Cosry dan Rico Rinaldi.
Ternyata Elfira memberikan komitmen seratus peratus bagi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar. Dia mahukan segala-galanya mengikut perancangan dan impiannya.
“Saya yang rancang, urus dan pilih setiap details about the wedding. Saya turut dibantu oleh Nas Great Idea. Tetapi semuanya mendapat kelulusan dan bantuan ibu saya yang sentiasa menemani saya ke sana ke sini, famili saya dan kawan-kawan saya. Saya juga yang menentukan setiap konsep dalam majlis yang telah berlangsung. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” tambahnya penuh syukur.
Ketika temu ramah ini dibuat, Elfira baru selesai mengadakan majlis resepsi di sebelah pihaknya. Melihatkan kemeriahan majlis yang telah berlangsung menimbulkan persoalan adakah dengan mengadakan perkahwinan sebegini meriah menjadikan Elfira sebagai penanda aras kepada artis lain untuk mengadakan majlis perkahwinan sepertinya?
“Wedding is not a benchmark. Ia adalah satu majlis untuk meraikan keluarga, sahabat handai daan tetamu. Tak kisah sama ada besar atau serba sederhana saja. Janji kita memberi jemputan untuk diraikan. Setiap orang tentunya ada impian majlis perkahwinan yang mereka ingini. Ada yang inginkan majlis yang lebih ringkas dan ada yang ingin majlis lebih kelihatan gah dan mewah. Walau apa pun, ia adalah apa yang mereka mahukan,” jelasnya lagi.
Perkahwinan pada usia 25 tahun adalah waktu yang sesuai bagi seorang wanita sepertinya untuk mendirikan rumah tangga. Akui Elfira, mungkin dia nampak muda tetapi apa yang berlaku bukanlah apa yang dirancangnya. Semuanya atas kuasa Allah SWT.
“Tidakkah risau populariti dalam bidang seni akan turun? Populariti adalah perkara terakhir yang saya akan fikir dalam hidup saya. Sebabnya populariti bukan saya yang cari tetapi ia adalah sesuatu yang diberikan oleh masyarakat terhadap pencapaian saya selama ini, yang saya bersyukur dan ingin dikekalkan kalau ia mendatangkan hanya perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. I wont take that for granted,” ulasnya lagi.
Jelas Elfira lagi, walau kini telah bergelar isteri, berkaitan kerjaya segala-galanya masih sama. Dia akan tetap fokus pada kerjaya dan perniagaannya.
“Tetapi saya lebih kena menjaga masa sebab kepentingan sudah pastilah buat suami tersayang,” tambahnya.
Bagi Faris pula, dia tidak menetapkan sebarang syarat khusus kepada Elfira selepas bergelar isteri.
“Alhamdulillah kami mempunyai tahap pemahaman yang tinggi antara satu sama lain. Ia membuatkan segala perancangan dan fikiran kami dapat dikongsi dan diterima dengan mudah sesama sendiri,” sambung Faris pula.
Sepanjang kemeriahan dan panasnya cerita mengenai perkahwinan Elfira Dan Faris pada bulan Januari lalu, tidak dinafikan ada juga kata-kata manis dan tidak manis yang keluar daripada mulut warga alam maya atau netizen terhadap perkahwinannya. Apa komen Elfira?
“Tak ada gunanya hendak bertelingkah. Orang boleh menyukai atau membenci kita tanpa sebarang alasan dan saya okay saja. Saya kena cari hikmah dalam setiap apa yang berlaku. Dan hikmah itu kita akan nampak bila kita berdoa, mendengar dan melihat. Bukan dengan berbalah balik,” luahnya lagi.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan pengantin baru Elfira Loy dan Faris ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita isu Februari, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Teks: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Terima kasih www.mysweetpictures.com @sweetpictures_kl / @blackpepperweddings / Kakifoto by Rashidee Azman