Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.
Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.
Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.
Dua Anak Perempuan Cemerlang
Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.
Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.
Ada Lebih Masa
Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.
Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.
Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.
Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.
Ibu risau. Melaka.
Jawapan Kaunselor
Foto: Pexels
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..
Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Ads
Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.
Ikut Penilaian Umum
Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.
Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.
Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.
Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.
Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.
Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.
Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi
Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.
Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.
Ads
Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak
Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.
Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.
Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.
Lihat Hikmah Di Sebaliknya
Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.
Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.
Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.
Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor
Atas kasih sayang dan sifat melindungi,seorang ayah didakwa memaksa anak gadisnya yang berusia 18 tahun supaya menjalani ujian dara setelah dia didapati membawa masuk teman lelakinya ke kediaman mereka.
Ali Safaraei, 56, berkata, dia dan isterinya Mitra Eidiani, 42, berasa kecewa apabila mengetahui anaknya, Sophia 18 sudah mempunyai teman lelaki.
Ugutan Bunuh
Selain memaksa anaknya menjalani ujian dara, Safaraei turut didakwa melakukan ugutan bunuh ke atas teman lelaki anaknya, Marshall-Telfer yang juga berusia 18 tahun.
Bercakap di Mahkamah Tinggi Kingston Crown, Safaraei berkata dia menyekat kad bank dan telefon bimbit anaknya supaya dia tidak lari dari rumah.
“Sudah beberapa kali perkara ini terjadi, ia membimbangkan saya. Dia sentiasa dengan telefon bimbit, asyik ketawa dan tak fokus pada pelajaran.
“Kamu tak baca ke dalam surat khabar, macam-macam berlaku setiap hari. Gadis muda lari ikut lelaki, tetapi digunakan untuk dadah,” ujar lelaki itu,
Tambahnya lagi, anaknya yang dikenali sebagai Sophia turut melarikan diri sewaktu dia merancang untuk melakukan ujian dara sekitar Mei lalu.
Menafikan Tuduhan
Sewaktu perbicaraan, Safaraei bagaimanapun menafikan memaksa anaknya menjalani ujian itu.Jelasnya, dia hanya mahu membuat pemeriksaan jika anaknya pernah dirogol atau sebaliknya dan ia bukanlah ujian dara.
Anak gadisnya, Sophia turut hadir ke mahkamah. Namun, perbicaraan bakal disambung semula bagi mencari penyelesaian kes itu tidak lama lagi.
Setiap orang rezekinya lain-lain, ada yang sebaik sahaja berkahwin dikurniakan anak yang ramai ada lelaki dan perempuan. Sementelah ada di kalangan kita dikurniakan anak ramai tetapi berderet lelaki atau perempuan.
Nama pun rezeki aturan Allah. Sebagai hamba-Nya kita sepatutnya bersyukur dengan apa Allah anugerahkan. Kerana ada juga yang bernikah bertahun-tahun lamanya masih belum dikurniakan anak.
Kepada yang suka tanya atau bagi cadangan tentang jantina anak orang yang dikurniakan anak jantina yang sama berderet, jangan tanya lebih, adalah lebih baik doakan mereka dan beri kata-kata positif.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma Harun dan cuba jaga perasaan orang lain iya:
Dikurniakan Anak Jantina Sama Berderet
Kepada yang bertanya dan bersedih…
Sering saya ditanya, “Ustazah ada tak amalan, doa atau tips untuk dapat anak perempuan?
Anak saya empat orang semua lelaki, teringin sangat hendak anak perempuan, saya stres dengan provokasi dan pertanyaan orang”.
Ustazah, “Salah ke jika semua anak saya perempuan, enam orang, saya letih dan stres dengan ayat suruh beranak lagi, mana tahu dapat lelaki, supaya ada wakil jadi imam atau yang angkat jenazah kita esok… Macam-macam ustazah orang cakap. “
Jangan Tanya Lebih! Baik Doakan, Beri Kata Positif
Kepada yang suka tanya atau bagi cadangan tentang jantina anak orang, paling manis cukuplah mendoakan dalam waktu yang sama memberikan kata-kata yang positif. Saya sendiri, bila tengok seseorang yang memiliki ramai anak tapi satu jantina, di antara yang selalu saya katakan…
“Subhanallah, semua anak lelaki ya, tak apa.. Nanti dapat semua anak perempuan ekspres, menantu esok-esok, untung juga semua anak lelaki, cukup untuk angkat jenazah kita 4 penjuru… Subhanallah…”
“Alhamdulillah, semua anak perempuan comel-comel, ramailah pembantu dekat rumah ya, insyallah anak-anak ini esok melahirkan ramai pejuang agama Allah, darah daging puan juga..”
Tuan Puan, Ada yang dah nikah lama belum ada anak. Ada yang sampai tua tak ada anak. Ada yang nak sangat nikah belum bertemu jodohnya, apatah lagi ada anak. Ada yang ada anak semuanya sakit kronik. Ada yang ada satu sahaja anak dan anak itu meninggal dunia. Ada yang meninggal kerana melahirkan anak. Dan pelbagai lagi kisah dengan “anak”.
Jika Ditanya Tentang Anak Sama Jantina
Pertama, jika kita ditanya tentang anak semua sama jantina, jawablah ia adalah kurniaan Allah swt, baca dan fahamilah firman Allah dibawah : Surah Asy-Syura ayat 49 dan 50 :
“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki”,
“Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”.
Allahu Akbar, Allah Maha Mengetahui atas setiap pemberian dan ketetapan-Nya. Hikmah di sebalik ketetapan itu akan dirasai oleh orang mukmin, sungguh segala ketetapan Allah itu adalah yang terbaik dan sempurna.
Kepada yang teringin hendak anak, sama ada sudah nikah atau belum, atau sudah sampai tua tetap tidak ada anak.
Percayalah, semua yang kita inginkan namun tidak dapat di dunia ini, lalu kita sabar, redha dan bersangka baik, yakinlah akan diberikan di Syurga kelak
Bagi soalan ada tak tips atau doa…
Selalu saya jawab, maaf tak ada tip, mungkin saintis ada jawaban, Wallahua’lam. Tapi tentang doa, silakan doa dengan ayat sendiri, ayat umum atau khusus.
Allah Maha Mengetahui keinginan yang terkandung di dalam hati.
Soal boleh ke tidak minta doa jantina anak, iya boleh, silakan.. Sebagai hamba kita berhak meminta dengan cara kita, sebagai Tuhan, Allah berhak menunaikan permintaan kita dengan Cara-Nya.
Cuma yang jauh lebih utama daripada isu jantina anak, banyakkanlah berdoa agar dapat anak yang soleh, Surah As-saffat 100 :
رَبِّ هَبۡ لِىۡ مِنَ الصّٰلِحِيۡنَ
“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku zuriat yang termasuk orang yang shalih.”
MW: Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya. Bersyukurlah dengan setiap apa yang dikurniakan dan sebagai orang luar doakan yang baik-baik untuk orang lain. Insyallah suatu hari akan datang yang baik-baik jua untuk kita.
Allahu… sedih bila tengok perangai budak umur 8 tahun berani melukis gambar macam ni di buku sekolah. Ok sekarang apa yang mak ayah di luar sana boleh rasa? Dan salah siapa kalau anak-anak boleh berfikir sejauh ini ya?
Memang tak adil untuk tunding jari pada cikgu-cikgu sekolah sebab kalau ikutkan masa anak-anak sebenarnya banyak habis di rumah dan jika bukan dengan keluarga mungkin anak itu belajar daripada orang sekeliling.
Inilah yang Puan Maryam Aziz cuba sampaikan di laman facebook miliknya, terkilan dan rasa risau dengan anak-anak yang semakin membesar. Buat mak ayah di luar sana, jemput renungkan sekejap…
Lukisan Tak Senonoh Budak Umur 8 Tahun
Maryam rasa tak nak kongsikan cerita ini sebenarnya tapi terasa macam selfishnya Maryam jika simpan sendiri. Setelah berkali kali menimbang tara, Maryam kongsikan juga supaya kita ibu bapa awasi anak kita.
Semalam kami golongan wanita (adik beradik) berbincang hangat dalam group whatsapp. Selalunya kami sembang tentang shopping baju, tudung, masakan, kisah anak anak dsb. Tapi perbincangan semalam buatkan Maryam rasa sakit kepala stress sehingga ke hari ini.
Semuanya gara gara gambar ni. Gambar ini bukan Maryam ambil dari mana mana random posting. Gambar ni adalah colouring book milik anak saudara perempuan Maryam. Katanya kawan sekelasnya (budak lelaki) yang lukis. Lalu bila balik kerumah, ditunjuk kepada mamanya. Sangat disturbing. Umurnya? Mereka baru darjah dua. 8 tahun.
Haritu Maryam saja buat survey di kalangan kawan kawan facebook Maryam. Apa yang kalian buat diumur 7 tahun dulu? Saat itu Maryam rasa terganggu bila tahu ada yang bercinta seawal umur 7 tahun dan berkahwin di umur 11 tahun. Seingat Maryam diumur begitu masih sibuk bermain batu seremban dan getah zero point.
Hari ini Maryam cuba fikir kembali apa agaknya yang Maryam buat dulu diumur 8 tahun. Rasanya masih gigih mengumpul duit raya untuk beli anak patung barbie dan main monopoly. Tapi zaman sudah terlalu banyak berubah. Sampaikan Maryam rasa tak sempat untuk kejar perubahan ini.
Saya selaku ibu kepada 2 anak lelaki, risaunya tidak tertanggung. Tambah lagi dengan Faheem yang sudah bersekolah. Dan pagi tadi Maryam luahkan untuk kesekian kalinya kepada abang (setelah memanjangkan incident ini kepada abang),
“Inilah sebab kenapa ayang taknak bagi Faheem pergi sekolah biasa. Allah bagi rezeki, kita dapat hantar ke sekolah yang lebih kecil bilangan sekelas dan dapat dipantau rapat oleh cikgu”.
Sekarang ni ayang tak tahu apa yang Faheem buat di sekolah, tak tau apa yang disembangkan dengan kawan kawan, tak tahu apa yang ditonton pada skrin handphone kawan.. semua ayang tak tahu” Rasa risau, rasa kecewa. Meskipun dirumah kami memantau apa yang mereka tonton di televisyen, masih rasa seperti ingin buang TV dari rumah supaya tidak ada ruang untuk mereka terdedah dengan bahan lucah.
Itu semua Maryam suarakan kerana kerisauan yang teramat sangat. Tapi Maryam sendiri tahu, pisau ada banyak manfaat. Tapi jika tersalah potong, jari sendiri yang luka. Adakah itu bermaksud kita perlu hidup tanpa pisau? Bukan salah sekolah, bukan salah tv, bukan salah internet.
Apa Yang Mak Ayah Patut Buat?
Berhenti menyalahkan dan ambil langkah penjagaan. Berikan perhatian kepada anak kita. Kepada kecenderungannya. Semak buku sekolah dan buku contengnya. Pantau apa yang mereka lihat di tv dan internet. Lihat bahan bacaan mereka. Kenali dengan siapa mereka berkawan. Selalu berkomunikasi dengan mereka dan korek tentang cerita mereka ketika di luar pengawasan kita. Berikan didikan agama. Wujudkan rasa takut Allah. Berikan didikan hubungan intim yang sesuai dengan umur. Dan sentiasalah berdoa supaya Allah memelihara mereka.
Untuk kes tadi, setahu Maryam ibunya seorang yang berkerjaya elok. Tapi Maryam tak tahu bagaimana background keluarganya. Dan Maryam tak tahu punca dia jadi begitu. Tapi insyAllah situasi ini akan diperpanjangkan kepada ibu bapanya.
Mommy risau sangat rasa macam nak homeschool anak-anak. Agaknya kalau dapat anak perempuan, memang Maryam tak bagi pergi sekolah terus. Nak keluar rumah wajib dengan mommy.
Apa Kata Hakak
Kesimpulannya, mak ayah tolonglah ambil tahu tentang anak-anak. Sesibuk mana pun kita, jangan sampai terlepas pandang untuk jadi ‘cikgu disiplin’, pantau siapa kawan anak dan apa yang anak buat. Lagi bagus sesekali buat sport check dalam bilik anak, dan akhir sekali jangan lupa DOA pada Dia yang Maha Melindungi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!