Sebagai manusia normal, jika tersesat dalam hutan.. kita boleh fikir ikhtiar hidup. Tidak bagi remaja malang, Nora Anne Quoirin, 15 tahun yang akhirnya ditemui mayatnya dalam keadaan tidak berpakaian berdekatan anak sungai di kawasan berlurah, berhampiran air terjun dekat Gunung Berembun.
Lokasi akhir Nora Anne ini tak jauh dari resort tempatnya dan ahli keluarganya menginap untuk bercuti selama dua minggu di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban.
Selama 10 hari usaha dilakukan mencari Nora Anne, dengan bantuan SAR sehingga pada hari ke-10 kira-kira jam 1.57 petang mayat remaja itu ditemui oleh sekumpulan sukarelawan dari Seremban Hiking Club dalam keadaan terlentang dan sedikit mengiring.
Menurut Kenny Chan Kai Sian, 43 ketika mencari di kawasan pencarian kumpulan sukarelawan yang juga terbabit dalam operasi SAR sejak Ahad lepas, berpecah kepada dua kumpulan. Satu haluan ke kiri dan satu kumpulan lagi menghala ke sebelah kanan.
Tiba-tiba salah seorang pencari dari kumpulan kiri itu ternampak sekujur tubuh berjarak 20 meter dari lokasinya berdiri. Seorang ahli yang terlihat itu menjerit meminta mereka tidak menghampiri mayat, bimbang mengganggu elemen bukti yang diperlukan pihak polis.
Sementara Sean Yeap yang turut berkongsi pencariannya dengan Daily Mail memaklumkan kumpulan ini mengikut jejak di ladang kelapa sawit kira-kira 1.2 meter dari lokasi Nora Anne hilang sejak 4 Ogos lalu. Di situlah mereka bertemu dengan seorang lelaki India yang arif dengan tempat itu dan bersedia menjadi penunjuk arah.
Sewaktu mengikut jejak ladang kelapa sawit itu, salah seorang ahli kumpulan menghidu bau yang kuat dari arah hutan. Ketika kumpulan itu menelusuri laluan sungai, ahlinya ternampak mayat Nora Anne tetapi tidak mendekatinya.
Dua daripada ahli kumpulan itu ada yang tidak dapat menahan air mata dan mula menangis. Sehingga akhirnya ditenangkan oleh ahli pencari yang lain. Sejumlah 25 sukarelawan pendaki menyertai misi itu.
Kira-kira 40 minit menunggu, polis tiba di tempat kejadian.
Hasil bedah siasat yang memakan masa 10 jam akhirnya menemukan jawapan punca kematian Nora Anne.
Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, remaja itu mengalami kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh yang panjang. Nora dikatakan sudah tiada dua ke tiga hari sebelum mayatnya ditemui sekumpulan sukarelawan pendaki itu.
Remaja OKU yang mengalami masalah pembelajaran ini juga mengalami stress (tekanan) yang panjang sepanjang kehilangannya di Gunung Berembun untuk tempoh 10 hari itu.
Keputusan bedah siasat juga mendapati tiada kesan dirogol. Tiada juga elemen dilarikan atau diculik.
Dan terdapat juga calar dan luka kecil pada kakinya. Namun, kecederaan itu tidak boleh menyebabkan kematian kepada remaja berkenaan. Bagaimana pun, siasatan masih dilakukan sebagai kes orang hilang.
Bedah siasat ini dikendalikan Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dan pakar Forensik HTJ, Dr Hanif Mohammad. Dibantu pakar dari Jabatan Kimia, Dr Aidora Saedon dan dari Jabatan Forensik, Sufian Arshad Ahmad.
Terdahulu, sehari selepas tiba di resort penginapan bersama ibunya, Mabh Jasephrine Quorin, 46 dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47 serta dua adiknya, Innes Julia, 12 dan Maurice Arthure, 8, Nora Anne dilaporkan hilang keesokan harinya kira-kira jam 8 pagi.
Kehilangannya disedari apabila tingkap di bahagian bawah terbuka luas.
Sumber/Foto : Mstar, Daily Mail, Harian Metro, Berita Harian