Ekonomi

Minuman ikonik Sabah bakal terbang ke Matta Fair 2024

Share

Sabah, sering mendapat jolokan sebagai syurga alam semulajadi, menawarkan lebih daripada sekadar panorama yang memukau dan kaya dengan biodiversiti. Dalam suasana indah ini, tersembunyi juga permata agropelancongan yang menghasilkan minuman-minuman paling aromatik di Malaysia.

 

Tahukah anda, budaya kopi di negeri Sabah merupakan hirupan secangkir Kopi Tenom panas di waktu pagi sebagai pemulaan hari. Daerah Tenom sememangnya amat terkenal dalam penghasilan biji kopi Robusta.

Jenama kopi yang terkenal dari Sabah,  Yit Foh  ditanam, dituai, dipanggang, dikisar dan dibungkus secara tempatan merupakan perintis industri kopi di Negeri di Bawah Bayu. Taman Kopi Yit Foh yang terletak di Kampung Chinta Mata, Tenom, Sabah kini bukan sekadar kilang kopi.

Ia telah berkembang menjadi sebuah destinasi pelancongan yang popular untuk bersiar-siar selain mempunyai kemudahan tempat penginapan yang kini menjadi pilihan pelancong yang inginkan gaya percutian yang berbeza dari kebiasaannya.

Ingin merasai sendiri keenakan  Kopi Tenom segar? Di sinilah tempatnya. Kilang Yit Foh menggunakan kayu api untuk memanggang biji kopinya. Tahukah anda, penggunaan arang meningkatkan aroma biji kopi? Bagi penggemar kopi, pasti anda lebih menghargai secawan kopi yang kaya dengan aromanya yang tersendiri!

Sememangnya Sabah kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan yang menarik dan bersesuaian dengan setiap lapisan umur. Mana tidaknya, dari ladang kopi Tenom yang terletak di bahagian Selatan, kawasan utara pantai barat Sabah iaitu Ranau juga terkenal dengan teh iaitu Teh Sabah.

Sememangnya ladang Teh Sabah merupakan salah satu daripada beberapa ladang teh organik di dunia. Daun Teh Sabah yang terbaik, dituai dari kaki Gunung Kinabalu yang terletak kira-kira 2,272 kaki dari paras laut.

Suhu yang dingin di kawasan tanah tinggi seperti musim bunga, membolehkan hasil kualiti tuaian Teh Sabah yang banyak dan segar. Lebih istimewa, Teh Sabah dihasilkan tanpa sebarang pewarna tambahan dan bebas semburan kimia. Ia  sememangnya kaya dengan rasa.

Pucuk daun pokok teh Camelia Sinesis dipilih dengan teliti, dituai dan diproses untuk menghasilkan teh hitamnya. Apabila dibancuh dengan susu pekat, gabungan ini akan menghasilkan minuman Teh Tarik Sabah yang sangat sedap!

Antara aktiviti yang boleh dijalankan di Ladang Teh iaitu memetik sendiri teh

Inovasi Teh Sabah

Meskipun sudah lama berada di pasaran, Teh Sabah turut menawarkan pelbagai pilihan teh yang inovatif. Anataranya termasuklah minuman teh pandan Sabah dan kuih lempeng buatan sendiri yang popular dan mendapat tempat di hati para pelanggan di restoran mereka.

Seperti Yit Foh, Ladang Teh Sabah juga memiliki sebuah resort yang dinamakan Sabah Tea Resort.  Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism, Julinus Jimit, Sabah Tea Resort memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk menikmati percutian yang santai disamping pengunjung boleh menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan.

“Tetamu yang bermalam mempunyai pilihan untuk menginap di rumah panjang, kabin, banglo atau bagi mereka yang gemar membuat stargazing dan tidur di bawah bintang, kawasan ini mempunyai tapak perkhemahan yang luas.

Lawatan ke ladang teh juga memberikan manfaat pendidikan dengan mengajar pengunjung cara pemprosesan daun teh. Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti rekreasi di kawasan rekreasi Sapaon, mendaki denai ke puncak Bukit Kamunsu, atau ‘night walk’ untuk memerhati serangga yang unik.  Selain itu, rumah pokok yang terletak bersebelahan dengan restoran dan ladang rusa juga dibuka untuk pengunjung.

Sekadar info, ladang Teh Sabah juga merupakan titik bersejarah yang penting dalam sejarah Perarakan Maut Perang Dunia Kedua. Pakar telah mengesan laluan Sandakan Death March

dan mendapati bahawa laluan yang dilalui oleh tawanan perang (POW) melintasi kawasan yang kini dikenali sebagai Ladang Teh Sabah. Apabila menyedari kepentingan sejarah tapak tersebut, pengurusan Ladang Teh Sabah telah membina sebuah tugu peringatan bersempena peristiwa itu.

Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan September akan menghimpunkan kedua-dua tarikan dan mempamerkan minuman ikonik mereka dari Sabah. Taman Kopi Yit Foh, Tenom dan Ladang Teh Sabah akan ditampilkan sebagai pempamer di Zon Sabah sebagai tempat tarikan pelancong yang terkenal, seterusnya mempertingkatkan kehadiran negeri Sabah di Matta Fair edisi ini sebagai destinasi pilihan bersama negeri Sarawak untuk ‘Discover Borneo: Malaysia’s Favourite Destination’

Published by
Rosmah Idayu