
Isi Kandungan
ToggleMinta dikembalikan semula. “Menantu kecewa ibu mentua arah robohkan pintu rumah gara-gara dia inginkan semula pintu yang dia berikan.
Bayangkan pintu yang telah siap dipasang, perlu dirobohkan semula. Terus cacat rumah wanita ini, pasti hatinya sakit dengan sikap ibu mentua hingga membuatkan dia memuatnaik situasi yang berlaku di TikTok.
Minta DiKembalikan Semula
Seorang wanita di Jakarta, Indonesia menjadi perhatian netizen selepas berkongsi kisah dia terpaksa merobohkan pintu rumah kerana diarah oleh ibu mentuanya, lapor laman berita Detik kelmarin.
Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan di laman TikTok, wanita berkenaan memberitahu bahawa ibu mentuanya meminta agar pintu itu dikembalikan sedangkan ia merupakan pemberian ibu mentuanya sebelum ini.
Menantu Kecewa
“Ini adalah rumah saya yang terpaksa dirobohkan sebahagiannya kerana ibu mentua menyuruh saya mengembalikan pintu yang dia beri sendiri,” tulis wanita berkenaan pada keterangan video itu.
Tambah wanita tersebut, ketika diberikan pintu itu, dia telah menolak pemberian ibu mentuanya kerana enggan perkara berkenaan menjadi isu dalam keluarga.
Ibu Mentua Arah
“Namun, ibu mentua tetap memaksa saya memasang pintu ini di rumah sedangkan rekaan rumah tidak sesuai dengan pintu itu.
“Sekarang, dia menjerit-jerit seolah-olah saya yang minta dibelikan pintu tersebut,” ujarnya.
Baca Di Sini :
Mentua ‘Mulut Laser’ Menantu Mampu Bertahan Bila Suami Faham, Bukannya Menangkan Mak Sendiri!
Mentua, Hargailah Menantu, Hanya Dia Tahu Kekurangan & Kelebihan Suaminya!
‘Suami Masuk ‘Dalam’, Dihalau Mak Mentua..’ Derita Ibu Marah Anak Dalam Bas
Robohkan Pintu Rumah
Video itu dikongsikan semula di laman Instagram dan menerima pelbagai komen netizen.
“Seburuk-buruk perlakuan mentua, dia ialah ibu kepada suami anda. Jangan sesekali mendedahkan aib rumah tangga atau ibu bapa di media sosial hanya demi mendapatkan simpati ramai,” kata seorang netizen.

“Masalah dengan mentua atau ipar, biar suami yang selesaikan. Jangan bercakap berlebihan kerana sama ada kita di pihak yang benar atau salah, orang akan tetap mencari salah kita,” kata netizen lain.. – AGENSI
Mingguan Wanita : Kadang-kadang hal rumah tangga perlu diselesaikan baik-baik tanpa melibatkan orang luar. Bila sudah jadi begini, sudah tentu hubungan menantu dan mentua terjejas.
Sumber : Kosmo Online
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiba Masa Anak Perlu Hidup Sendiri, Belajar Berdikari, Mak Ayah Bertenanglah

Isi Kandungan
ToggleBila anak kecil kita yang ditatang bagai minyak yang penuh itu sudah meningkat remaja, mak ayah kenalah terima hakikat yang dia perlu belajar hidup sendiri.. berdikari.
Bersediakah mak ayah? Berat rasa hati mahu melepaskan kan.. risau.. takut jadi apa-apa bila anak tak ada depan mata. Tiba masa, kita memang perlu lalui juga saat ini.
Menarik cara ibu ini, Farizah Shamsudin mendidik anaknya hidup berdikari. Paling unik, dia mulakan pelajaran survival hidup itu di pinggiran London, ketika anak daranya memasuki usia 13 tahun.
Pertama Kali Lepaskan Anak Naik Bas Sendiri Di London
“Kalau salah bas nanti macamana, mama?” rintih dia selepas bersalam.
Dia genggam erat tangan saya. Wajahnya gelisah. Waktu berlepas hanya tinggal 10 minit lagi.
Di terminal bas TBS, yang bukan penumpang tidak dibenarkan turun sehingga ke platform. Maka, hanya setakat itu saya boleh mengiringi dia. Selepas tiket diperiksa, dia perlu turun eskalator sendirian dan terus ke platform bas.
Saya senyum sahaja sambil tepuk bahu dia.
“Tak apa. Kakak tanya je orang yang jaga kat situ. Sebelum naik bas, tunjuk tiket tu dulu. Yang penting, pastikan tunggu di Gate 16.”
Lalu dia pun pergi dengan muka yang cuak, antara nak senyum dengan tidak. Saya maintain wajah tenang-tenang sahaja.
Risau? Eh mestilah. Ini pertama kali saya melepaskan dia pulang seorang diri ke kolej. Naik bas ekspress. Kawan-kawan yang lain ada yang mak ayah hantar. Ada yang dah beli tiket awal-awal.
Jadi, mahu tak mahu kali ini dia perlu pulang sendiri. Tiba di stesen bas destinasi nanti, dia perlu pandai-pandai cari kenderaan untuk ke kolej pula. Sama ada call senior tolong ambilkan, atau tempah GRAB.
Saya tahu dia pun risau, namun saya percaya dia boleh!
Saya mula mendedahkan dia naik bas awam sendiri semasa kami direzekikan menetap 1 tahun di London. Antara semua anak yang lain, hanya sekolah dia yang paling jauh dari rumah dan perlu naik bas awam. Perjalanan pula mengambil masa lebih kurang 30 – 40 minit.
Mula-mula Anak Takut, Lama-lama Jadi Biasa
Setiap pagi, dia akan ditemani oleh abahnya berjalan kaki hingga ke hentian bas ( kerana laluannya sama), dan kemudian, mereka akan berpisah sebelum ke destinasi masing-masing. Pulang, dia sendiri.
Mula-mula dia takut, lama-lama dia semakin biasa. Dan selama tempoh itu, alhamdulilah semuanya baik-baik sahaja.
Umur 13 tahun. Menaiki bas awam sendirian berulang-alik ke sekolah di sebuah pekan kecil di pinggir London. Saya rasa itu pengalaman yang mahal dan satu pencapaian peribadi yang sangat hebat bagi dia.
Dia berjaya melaluinya dengan baik!
Dan setelah sekian lama, hari ini pada umur 18 tahun, dia perlu melalui sekali lagi perkara yang sama, cuma di sudut bumi yang berbeza.
Dan saya percaya dia tetap boleh melakukannya! InsyaAllah.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anaknya selamat di depan mata dan dalam jagaannya sentiasa. Apapun, itu impian yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Akan tiba satu masa nanti mereka perlu hidup sendiri dan belajar berdikari.
Dan sudah pasti proses melatih mereka berdikari itu perlu dilakukan secara bertahap agar mereka lebih bersedia apabila tiba saat untuk menghadapinya. Maka, ini adalah salah satu ilmu kemahiran hidup yang sangat penting dikuasai.
Tip Bertenang Lepaskan Anak Lalui Fasa Hidup Berdikari
Buat ibu-bapa yang perlu melalui fasa melepaskan anak berdikari, ini antara tip yang boleh diamalkan supaya hati anak tenang, hati kita pun sama.
1. Kepercayaan.
Jangan amalkan sikap, ‘anak yang nak balik, mak ayah yang panik.’
Bukanlah bermaksud kita tak boleh risau, tetapi janganlah ditunjukkan segala perasaan itu secara keterlaluan di depan anak-anak. Simpan kejap-kejap segala rasa itu dalam hati.
Percayalah, kerisauan kita hanya akan meruntuhkan keyakinan diri mereka. Sebaliknya, ketenangan dan kepercayaan kita akan menjadi modal kekuatan dalam diri mereka.
Lepaskan dengan doa dan restu.
2. Persediaan diri.
Tak perlu tunjuk cemas dengan berpesan itu ini. Namun, jangan pula lepas tangan semua benda. Cukuplah dengan membekalkan kepada dia dengan pesanan yang berpada-pada. Ringkas, padat dan tak perlu panjang berjela.
Percayalah, mereka tak akan mampu nak ingat semua benda dalam satu masa.

Cukuplah memberikan mereka persediaan diri yang asas dan penting. Maklumkan apa yang perlu dibuat jika terjadi begitu begini. Kalau kecemasan, siapa yang perlu dihubungi. Nak bertanya apa-apa, orang yang bagaimana boleh dipercayai.
3. Tawakal.
Sebagai ibu bapa, kita tak mungkin akan mampu untuk menjaga dan melindungi mereka sepanjang masa. Maka, ini adalah masa terbaik untuk kita memperkenalkan peranan Allah dalam hidup mereka.
Biar mereka rasa betapa nikmatnya rasa pergantungan hanya kepada Allah semata-mata, dan bukannya manusia ( termasuk ibu bapa mereka ).
Lepaskan dengan rasa percaya.
Percaya kepada dia.
Percaya kepada diri kita sendiri.
Dan teratas daripada semua itu, percaya kepada Allah.
Doa dan tawakal.
Serahkan kepada Allah untuk jaga dia.
***
Beberapa jam selepas itu, dia mesej saya.
“Mama! Kakak jumpa kawan sama kelab debat naik bas yang sama! Kakak dah ada kawan balik tempat sama!”
Riang sekali nadanya kali ini.
Alhamdulillah.
Begitulah cara ALLAH menghantar pertolongannya apabila perlu, melalui sesuatu yang tak disangka-sangka.
Hanya perlu percaya. Itu sahaja.
Sumber/Foto : Farizah Shamsudin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ayah Jadilah BFF Anak Perempuan, Sebelum Kepercayaannya Diambil Orang Lain

Isi Kandungan
TogglePenting sebenarnya untuk ayah jadi bff atau teman baik anak perempuan, yang boleh bercerita apa saja termasuklah hal yang peribadi untuk anak perempuan kongsikan.
Kerana ketika anak perempuan sedang meningkat remaja, mereka juga berubah emosi dan perwatakannya. Sebab itulah, jangan biarkan kepercayaan itu diregut orang lain.
Sebagaimana ayah ini, Ammar Kamilin tersedar betapa tak mudahnya untuk mendapatkan momen berdua bersama anak perempuannya. Untuk membolehkan anak itu berkongsi cerita dengan si ayah tanpa didengar oleh adik-adik yang lain.
Sibuknya Ayah, Tak Sempat Bercakap Dengan Anak Perempuan
“Dia macam ada masalah dengan ayah dia. Ayah dia terlalu sibuk, sampai tak sempat bercakap dengan dia.
Mula-mula dia tak kisah sangat. Dia faham, ayah dia bekerja untuk sara keluarga. Tapi, lama-lama dia macam kecil hati, sebab dengan abang dan kakak dia, ok je ayah dia layan. Dengan adik-adik dia pun ok.” Panjang lebar dia bercerita.
“Tapi, pelajaran dia di sekolah, elok kan. Tak silap abah, ‘Top 5’ lagi.”
“Itulah. Pelajaran dia masih ok. Tapi, itu tahun lepas. Kebelakangan ni, dia macam banyak berkhayal dan tiba-tiba menangis. Risau juga, takut dia ‘stress’ dan ‘effect’ pelajaran dia.”
Abah hanya mengangguk-angguk. Mengenangkan karakter rakan perempuan yang dia diceritakan.
Abah memang biasa dengan kebanyakan rakan-rakan dia. Hampir satu kelas pernah bersembang dan bergurau mesra dengan abah.
Kebiasaan, semasa mengambil dia di depan sekolah, sempat juga menyapa mereka dan mengambil hati dengan soalan-soalan bertanya khabar.
Ada antara mereka pernah datang ke rumah untuk buat tugasan sekolah dan belajar bersama.
Rakan yang diceritakan ini pernah bertandang ke rumah. Sudah pasti, perasaannya lebih berat apabila terkenang ujian yang sedang dilalui anak remaja ini.
Abah tidak pasti apa yang difikirkan oleh bapa-bapa sehingga ada antara mereka ‘terlepas pandang’ perasaan anak remaja perempuan.
Ini ‘Alarm’ Untuk Ayah Agar Kekal Di Sisi Anak Remaja Perempuan
Dalam kes anak ini, dia berada di ranking tengah dalam susunan adik beradik. Dia memiliki kakak dan abang yang hampir dewasa, juga memiliki adik-adik kecil di bawahnya.
Abang dan kakak sudah boleh membawa diri, walaupun tidak dipeduli si ayah.
Adik-adik masih dijaga dan dikawal oleh ibu.
Lalu dia yang di tengah-tengah, seperti terabai. Masih di peringkat awal remaja, tetapi dibiar keseorangan berdikari.
Saya tidak mendabik dada, konon bapa sempurna. Ada masa terlupa juga.
Apabila cerita begini diceritakan oleh anak, ia seperti ‘alarm’ yang mengingatkan diri sendiri supaya kekal berada di sisi anak remaja, terutamanya perempuan.
Walaupun, umumnya, mereka lebih rapat dengan ibu, tetapi ada sisi seorang bapa yang masih mereka perlukan (bagi yang punya bapa).
Para bapa, tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar memperuntukkan masa khusus untuk anak remaja perempuan?
Tanpa ada abang, kakak, atau adik-adik bersama mereka.
Mereka perlukan masa ‘berkualiti’ bersama kita. Mereka tidak akan berbincang isu-isu ‘dewasa’ sekiranya wujud terlalu ramai gangguan di sekeliling mereka.
Macam anak remaja perempuan saya, dia cukup tidak selesa apabila mahu mengadu sikit, adik-adik terlopong mendengar bersama-sama di sebelah abahnya. Dia terus ‘turn off’. Di rumah, memang ruang itu hampir tiada.
Lalu, dia memilih untuk banyak diam. Yang ruginya, saya sebagai bapa. Tempoh paling kritikal perkembangan seorang remaja, tidak dapat dikongsi bersama.
Tetapi, Allah ilhamkan ruang yang saya tidak nampak sebelum ini sebagai ‘sesi berdua berkualiti’ bersama dia.
Waktu pergi dan balik sekolah setiap hari di dalam kereta.
Hanya itu waktu kami boleh bercakap berdua sesuka hati tanpa didengari sesiapa.
Jika sebelumnya, waktu itu dia isi dengan tidur selenanya. Sekarang, seboleh mungkin saya isi dengan aktiviti yang menghalang dia tidur.
Waktu itulah, saya mendapat pelbagai cerita dari sudut pandang seorang remaja perempuan. Saya boleh kata, bukan mudah mengumpan mereka membuka mulut. Kita perlu dapatkan ‘kepercayaan’.
Bagaimana?
Pastikan, waimma satu patah perkataan yang mereka sebut, tidak disampaikan pada orang lain. Sekali mereka terdengar kita ‘tercerita’, kepercayaan akan hilang. Membina semula kepercayaan, perlukan usaha berkali ganda.
(cerita rakan tadi, dicerita atas keizinan)
Anak Ini Semakin Dewasa
Sesekali dia tertidur semasa saya memandu, saya renung wajah anak perempuan remaja ini.
Dia makin dewasa.
Budak kecil yang saya letak dalam bakul motor dan bawa meronda waktu petang, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang meradang jika saya sorokkan bantal busuknya sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang memeluk kaki saya dan minta didukung, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang setiap hari menyanyi riang lagu ‘Barney and friends’ dan memeluk saya sebagai Barney, sudah ‘tiada’.
Tahu-tahu, stereng kereta basah disebabkan tangan yang mengesat airmata terus hinggap padanya.
Begitu saya hiba, kerana,
Budak kecil yang setiap masa dulu, sebelum tidur mahu abah bacakan kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran, sudah tidak perlukan abah untuk memeluk dia sebelum tidur.
Dia sudah remaja. Menuju dewasa.
Semuanya telah lepas.
Yang tinggal, kenangan.
Sedang saya hiba,
Kepalanya menunjal-nunjal batang gear manual kereta Myvi yang sedang bergerak.
‘Hai anak. Abah tahu nak tukar gear. Tak perlu tanduk gear abah ni.’
Saya tersenyum dalam leleh airmata. Menolak perlahan kepalanya ke tingkap.
Penat sangat agaknya.
Dia bukan tak perlukan abah.
Cuma, keperluannya sudah berbeza.
Dia sudah tak perlu didukung, tetapi dia mahu seorang abah yang mendorong.
Dia tak perlu pencerita, tetapi dia mahukan seseorang untuk bercerita.
Dia tak perlu bantal busuk, tetapi dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan dia dalam sukar, sama seperti fungsi bantal busuk pada dirinya dulu.

Bapa.
Ini bukan cerita anak saya saja.
Cerita anak remaja kita jua.
Usahakan ‘5C’ Pada Anak Remaja Perempuan
1. Cakap
Bapa kena selalu bercakap dengan anak perempuan. Jangan biarkan sehari berlalu dalam hidup kita tanpa sepatah perkataan untuk dia. Dia perlu tahu, dia masih ada tempat dalam hidup ayahnya. Dia perlu rasa ‘visible’ di mata ayahnya.
Anak perempuan yang sunyi dari suara ayahnya, cenderung mencari suara lelaki lain untuk mengisi kekosongan itu.
Mahukah begitu, wahai ayah?
2. Cakna
Bapa perlu ambil tahu, apa keperluan anak perempuan. Terutama apabila mereka baligh. Mereka sudah mula mempunyai hormon yang dirembes mengikut kitaran. Dia akan berperangai saling tak tumpah seperti ibunya. Haruslah, mereka sedang menuju dewasa. Jadi, emosi mereka, bapa perlu cakna (ambil tahu).
3. Calm
Bapa perlu sentiasa tenang dalam menangani anak perempuan. Tunjukkan pada mereka, kemampuan kita mengawal emosi, barulah mereka dapat meniru yang baik daripada kita.
Ada masa kita betul, ada masa mereka juga mungkin betul.
Elakkan panas baran tak tentu hala. Maki sesedap rasa. Mereka akan takut dan menjauhkan diri.
Tahu kan, statistik menunjukkan ramai lelaki di rumah orang-orang tua? Elakkan daripada puncanya kerana perangai kita yang mudah ‘naik hantu’.
4. Ceria
Bapa perlu menunjukkan sisi ceria seorang ayah. Ayah perlu dilihat ‘jinak’ oleh anak perempuan supaya mudah didekati. Tiada siapa yang berani dengan ayah yang bengis 24 jam.
Kalau pun tidak pandai berhumor, tunjukkan kita mampu ketawa. Kalau mampu ‘gila-gila remaja’, itu lebih mereka suka, kerana kita ‘match’ dengan mereka.
Ya, perkara serius, kita perlu kekal serius.
Bercanda mengikut kesesuaian ya.
5. Cinta
Ini yang terpenting bagi saya, tetapi diletakkan terakhir supaya tidak dilupakan.
Bawa anak remaja perempuan mencintai Allah. Cari ruang menjadi imam untuk mereka. Ambil peluang bercerita kisah-kisah perempuan baik dalam sirah Islam.
Sentiasa ingatkan mereka, “Abah tidak selalu ada, tetapi Allah sentiasa ada dan dekat dengan kita. Mengadu dan meminta pada Dia. ”
Satu lagi abah, Dalam masa sama, usah berhenti menunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Peluk dan cium mereka. Elakkan mereka kekok memeluk kita dek kerana lama tidak menyentuh mereka.
Dia, anak kita. Budak kecil yang kita buatkan susu dan tukar pampersnya. Masih budak yang sama, cuma dia sedang mendewasa. Jauh dalam hatinya, kita kekal abah dia. Sampai bila-bila.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin, Bahu untuk anak perempuan bersandar.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Umi Tolong Peluk Zara, Sakit…” Demi Bantuan Rawat Anak Hidap Aplastik Anemia Ibu Ini Tolak Tepi Rasa Malu

Isi Kandungan
ToggleLuahan hati seorang ibu bernama Saneeha Sulaiman yang lebih mesra dengan panggilan Umi Zara ini meruntun hati sesiapa saja yang membacanya. Catatan sayu itu tentang anak kecilnya, Nur Syifa Zara, 4 tahun yang menghidap penyakit Aplastik Anemia iaitu sejenis penyakit sum-sum tulang yang tidak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Betapa susahnya mereka setiap kali mahu ke hospital. Kerana tiada kereta, Umi dan suami, anaknya yang sakit Zara malah baby 9 bulan menunggang saja motosikal dari Damansara Damai ke PPUM.
Apa yang menjadi keperluannya kini adalah tambang perjalanan ulang aliknya ke PPUM, bantuan susu dan lampin pakai buang. Anda baca luahan ini, rasai kepedihannya dan hulurkanlah sumbangan.
Ya Allah Tak Kuat Umi Rasa
Saya tak pandai nak mula macam mana, nak bicara macam mana
Hanya luahan hati seorang ibu
Nur Syifa Zara permata hati Umi
Kaulah kekuatan Umi
Kalau lah semangat Umi
Siapa percaya anak Umi yang comel hidap penyakit Aplastik Anemia
Sejenis penyakit sumsum tulang tak berfungsi untuk menghasilkan darah sendiri.
Setiap kali si comel ini sakit atau lemah
Dia akan panggil Umi
“Umi tolong Zara Umi”
Tolong peluk Zara
Zara sakit”
Ya Allah sayu hati ini. Hiba perasaan. Dalam pelukan Zara akan tenang.
Tapi hati Umi tak tenang sayang. Tak kuat Umi rasa.
Tapi Umi kena kuat demi anak Umi.
Kegembiraan Ini Hanya Seketika
4 tahun lepas Umi tak ada anak
Allah pertemukan kita
Dengan kasih sayang
Kau membesar betapa bahagianya saat itu
Dan saat bahagia bila
Allah hantar kan khabar yang Umi hamil
Ya Allah sekian lama menanti akhirnya tercapai jua
Tapi kegembiraan
Ini hanya seketika
Allahuakbar
Allah uji Umi
Dengan khabar sakit anak Umi boleh bawa maut
Ya Allah ujian apakah ini?
Baru doktor katakan Umi risiko hamil di usia 40
Dengan darah tinggi lagi
Ini pula Zara sakit tenat
3 nyawa di hujung tanduk
Badan Zara Senang Lebam, Senang Berdarah
Zara sakit Aplistik Anemia
Sejenis sum sum tulang tak berfungsi
Seolah kilang darah dah tutup
Zara senang dijangkiti
Atau jatuh sakit. Zara tak ada darah putih
Badan Zara senang lebam senang berdarah
Dan darah yang susah untuk berhenti
Zara tak ada darah platelet
Yang paling Umi risau bila Zara jatuh. Paling takut pendarahan dalaman
Atau pendarahan otak
Ini yang paling Umi takut.
Umi akan pastikan Zara cek atau tambah darah setiap minggu.
Walau minggu ni Umi dah pecah tabung untuk tambang grab bawa anak Umi ke PPUM
Abah sakit minggu ni abah kena serang asma
Kita tak boleh naik motor, kena naik grab
Tapi Umi tak ada duit
Nasib Umi ada tabung duit syiling dapatlah buat tambang grab
Umi bersalin dengan selamat walau pun cesaer
Walau pun berpantang dekat wad menjaga Zara
Pantang Umi entah kemana
Adik pun ikut jaga kakak dekat wad
Masa di usia adik baru semingu adik dah tidur atas simen kat wad jaga kakak.
Suami Bekerja Kilang, Memang Tak Cukup
Saya tak kerja, saya kena jaga Zara sepenuh masa
Kami dapat bantuan dari Zakat 2017
RM3000 setahun zakat bayar ke hospital kos tambah darah
2018 kami tak dapat apa-apa bantuan dari Zakat
Dan kami dapat bantuan hospital PPUM untuk ringankan bil Zara
Kos ulang alik naik grab ke hosptl
Kos-kos yang terpaksa beli ubat kat farmasi luar
Itu kena cari sendiri
Dengan hanya suami yang bekerja kilang memang tak cukup
Itulah untuk rumah sewa
Untuk ubat pampers dan dan susu Zara
Kalau nak berjimat
Kami akan bangun pukul
4 pagi ke PPUM
Berasak dengan baby naik motor
Kemudian suami ke Shah alam sambung kerja
Kami tak ada kereta
Hanya motor itulah kaki kami
Tolak Ke Tepi Malu Umi
Umi tolak ke tepi malu Umi
Demi Zara, Umi minta bantuan
Dan sumbangan orang ramai untuk ringankan beban kami
Umi nak kerja nak menjahit
Tapi Umi tak ada mesin jahit
Masa susah kami jual semua barang yang mana boleh jual untuk menampung kos-kos rawatan.
Pada sesiapa yang ingin
Bagi bantuan ringankan beban kami
Salur kan bantuan anda ke akaun
No Akaun
Maybank : 512213319167 atas nama Mohamad Zamri Khalid (Ayah)
Maklumat lengkap
Boleh hubungi Umi Zara / FB : Nur sz
No. Telefon : 0182775337
Siapa yang nak melawat kami pun boleh, di alamat : Lg29 saujana apartment jln PJU 10 1c Damansara Damai 47830, Selangor
Ada Rezeki Orang Derma
Ketika Mingguan Wanita menghubungi Umi, menurutnya buat masa ini Zara doktor nasihatkan berulang alik dari rumahnya di Damansara Damai ke hospital PPUM.

“Buat masa ini doktor suruh kami ulang alik setiap 3 hari sekali. Sebab kat wad banyak kes batuk dan selesema. Tak baik untuk Zara. Sebab dia tak ada darah putih senang dijangkiti.”
Jadi, selang tiga hari dia akan ke hospital untuk urusan rawatan. Ibu ini akan mengambil grab jika masa rawatan yang singkat. Dan dibawa sekali anak kecilnya, Mohammad Zariff Rizqin, 9 bulan. Walau bermotosikal tetap si kecil ini tak ditinggalkan.
“Kalau time tengah bulan kami naik motor dengan baby sekali. Baby masih menyusu badan, Sekarang dah ajar susu botol.”
“Bila jarak ke seminggu sekali kami naik motor. Nak jimat untuk keperluan dia nanti. Ni sebab 3 hari sekali. Kesian dia penat.
“Alhamdulillah hari ini naik grab. Ada rezeki yang orang derma. Boleh lah bagi keselesaan buat Zara.”
Tambah ibu ini lagi, disebabkan penyakit anaknya itu ada banyak perkara yang perlu dipantangkan. Zara juga tak boleh ambil makanan yang ada bakteria baik. Keju tak boleh malah makanan kena betul-betul masak. “Haiwan apa pun dia tak boleh dekat, walaupun dengan kucing sebab alahan.”
Sememangnya tak mudah untuk menjaga Zara. Dalam keadaan suami yang sakit, ibu ini punya anak kecil. Umi tetap meneruskan kehidupan dan ujian tuhan dengan ketabahan.
“Saya terima takdir Allah dengan REDHA. Dia adalah semangat saya. Dia adalah kekuatan saya. Hanya dia. Demi dia. Semuanya untuk dia. Dia adalah kekuatan ku.” Inilah pegangan Umi yang membuatkan dia mahu terus berada di sisi Zara. Mengasihi anak kecil ini selagi hayat di kandung badan.
Zara Minta Belon Harga RM4.50 Pun Umi Tak Boleh Tunai
Akui Umi, Zara sangat petah berkata-kata. Dia anak yang sangat bijak. “Selalu minta nak pergi ke sekolah. Ada kawan-kawan. Macam Upin dan Ipin katanya.
“Tapi doktor tak beri Zara terdedah sangat. Kesian kat dia. Bila tak dapat nak tunaikan permintaan dia sedih rasanya. Hati ibu mana yang kuat, bila permintaan anak tak dapat nak tunaikan.”
“Kadang dekat wad dia minta macam permainan. Tengok budak sebelah main, dia pun nak juga. Umi terpaksa pujuk dengan bermacam helah. Sedih je bila anak minta belon harga RM4.50 pun tak dapat tunaikan.”
InsyaAllah Bantuan Zakat Dipermudahkan Untuk Tahun Ini
Setelah perkongsian ibu ini menjadi tular, ada di kalangan individu menghulurkan sumbangan. Begitu juga dengan Zakat Selangor daerah Petaling yang telah membuat kunjungan ke rumah Umi pada 5 Februari lalu.
“Saya baru nak hantar borang selepas mereka buat lawatan hari itu. InsyaAllah katanya lulus tahun ini.” ujar Umi ketika ditanya tentang bantuan zakat.
Pada tahun 2017, adik Syifa turut telah menerima bantuan perubatan daripada Zakat Selangor sebanyak RM3,000.
Seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Zakat Selangor, bantuan perubatan yang disalurkan kepada penerima adalah mengikut tempoh tertentu yang diluluskan. Oleh itu, pemohon perlu membuat permohonan baru jika tempoh penerimaan bantuan tersebut telah tamat.
“Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan perubatan kepada keluarga Adik Syifa mengikut keperluan mereka.
“Semoga dengan bantuan zakat yang diterima kelak akan meringankan dugaan keluarga Adik Syifa. Zakat Selangor turut mendoakan Adik Nur Syifa sembuh segera,” maklum Zakat Selangor dalam updatenya di laman rasmi facebook Lembaga Zakat Selangor.
Sumber/Foto/Video : Prinz Firusi, Lembaga Zakat Selangor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI